Monday, March 22, 2010

JANGAN BIARKAN PEGAWAI KUSUTKAN LAGI KEMELUT

Kemelut yang melanda Istana Kelantan seperti tiada penghujungnya.

Hanya kenyataan daripada Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra sendiri atau Pemangku Raja akan mengendurkan kemelut ini.

Kemelut adalah daripada isu Hari Keputeraan hinggalah kepada soal kedudukan Datuk Wan Hashim Wan Daud sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan.

Kenyataan Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad yang tidak mengiktiraf Wan Hashim menghangatkan lagi kontroversi kedua-dua isu berkenaan.

Abdul Halim menegaskan semalam Sambutan Hari Keputeraan ke-60 Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra diteruskan dengan acara penganugerahan diadakan pada 30 Mac ini.

Beliau berkata, penganugerahan itu akan diteruskan sempena sambutan tersebut tetapi acara perayaan tidak dijalankan dan ia digantikan dengan solat hajat dan doa selamat di semua masjid di negeri berkenaan.

"Penganugerahan akan diteruskan dan Pemangku Raja, Tuanku Tengku Muhammad Faris Petra Ismail Petra akan menentukan siapa yang berhak menerima anugerah,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata, selain acara penganugerahan, acara solat hajat dan majlis hari hol Almarhum Sultan Yahya Petra diadakan pada 25 Mac ini.

Sebelum ini, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa dirinya, Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Tuanku Ismail Petra menitahkan semua perayaan dan penganugerahan sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 pada 30 Mac ini tidak dilangsungkan.

Berikutan itu, Abdul Halim telah membuat laporan polis tiga hari lepas kerana mempertikaikan kesahihan kenyataan dan pelantikan Wan Hashim kerana pelantikan itu tidak melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

Akhbar semalam melaporkan Wan Hashim mendakwa pelantikannya tidak tertakluk di bawah SPN kerana pelantikannya di bawah bidang kuasa Sultan Ismail Petra.

Dakwaan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu bahawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra telah melantik beliau sebagai Setiausaha Sulit baginda tidak boleh diterima pakai, kata Abdul Halim.

Bagi Wan Hashim, kedudukan beliau tidak tertakluk di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) kerana pelantikannya di bawah bidang kuasa Tuanku Ismail Petra.

Beliau berkata, baginda mempunyai kuasa mutlak untuk menitahkan pelantikan mana-mana pegawainya tanpa melalui SPN.

Katanya, laporan polis dan kenyataan akhbar yang dibuat oleh Pengelola Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad tidak tepat sama sekali disebabkan baginda masih berkuasa di negeri ini.

''Saya memulakan tugas rasmi sebagai Setiausaha Sulit Sultan bermula Khamis lalu tetapi telah dimaklumkan kira-kira seminggu sebelumnya. Pelantikan saya tidak boleh disamakan dengan Setiausaha Sulit sebelum ini, Engku Rajhan Engku Ismail kerana beliau adalah pegawai kerajaan yang ditugaskan di istana dan tertakluk di bawah skim perkhidmatan SPN.

''Sebagai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri saya maklum mengenai perkara ini dan perlu dijelaskan bahawa saya dilantik di bawah bidang kuasa tuanku dan bukannya orang yang berkhidmat di bawah perkhidmatan kerajaan,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di Kota Bharu.

Utusan Malaysia kelmarin turut melaporkan kerajaan negeri tidak mengiktiraf kenyataan Wan Hashim bahawa Tuanku Ismail Petra menitahkan semua perayaan dan penganugerahan sempena Hari Keputeraan Baginda yang Ke-60 pada 30 Mac ini tidak dilangsungkan.

Wan Hashim menegaskan, Tuanku Ismail Petra tidak perlu menunggu pengesahan daripada Majlis Perajaan untuk kembali berkuasa kerana baginda telah pulang ke negeri ini.

''Alasan yang diberikan sebelum ini baginda keluar negara disebabkan gering dan sehingga sekarang tidak boleh melaksanakan tugasnya. Tetapi saya ingin jelaskan bahawa baginda semakin pulih, jika baginda mengalami gering yang serius kenapa tidak dirawat di hospital sekarang, memang baginda gering sekarang tetapi ia tidak begitu serius,'' katanya.

Mengulas mengenai penggunaan kepala surat Pejabat Istana Kelantan, kata Wan Hashim, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana Tuanku Ismail Petra telah memberikan kebenaran untuk menggunakannya.

''Kepala surat ini disediakan di pejabat saya di istana baginda. Saya hanya menyediakan kenyataan akhbar seperti yang dititahkan oleh baginda kepada saya. Mengenai laporan polis saya tidak mahu komen, saya hanya menyampaikan perintah baginda tuanku,'' katanya.

Ditanya mengenai khabar angin yang menyatakan 'kumpulan Abdul Halim' mempunyai agenda tertentu kerana beria-ia untuk mengadakan sambutan Hari Keputeraan dan majlis penganugerahan darjah kebesaran, beliau enggan mengulas.

Difahamkan surat penganugerahan darjah tersebut telah dikeluarkan kepada penerimanya dan menggunakan nama Tuanku Ismail.

Sementara itu Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, dakwaan Wan Hashim bahawa Sultan Kelantan melantik beliau sebagai Setiausaha Sulit baginda tidak boleh diterima pakai.

Ini kerana pemerintah yang sah di negeri itu pada masa kini ialah Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Katanya, pelantikan Tengku Muhammad Faris yang dilakukan melalui Majlis Perajaan Negeri (MPN) adalah sah dan mengikut Undang-undang Tubuh Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

Sham Rahayu berkata, pelantikan Tengku Muhammad Faris dan segala keputusan atau titah perintah baginda yang dibuat melalui MPN adalah terpakai dan tidak boleh dipertikaikan.

''Setakat ini Pemangku Raja adalah pemerintah yang sah sehingga MPN dan kerajaan negeri memutuskan Sultan Kelantan sudah sembuh dan boleh menerajui negeri itu semula.

''Jadi, apa saja keputusan atau kenyataan mana-mana pihak berhubung titah perintah Sultan Kelantan tidak terpakai memandangkan kuasa tidak terletak pada baginda pada masa ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas krisis Istana Kelantan yang terus berlarutan apabila Wan Hashim mendakwa beliau dilantik oleh Sultan Kelantan sebagai Setiausaha Sulit baginda.

Sultan Kelantan pulang dari Singapura 4 Mac lalu setelah mendapat rawatan di Hospital Mount Elizabeth sejak 24 Mei 2009.

Putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris dilantik sebagai Pemangku Raja bagi memikul tanggungjawab mentadbir negeri.

No comments: