Friday, October 2, 2009

JPN SASAR PENCAPAIAN TERTINGGI PMR

Sumber: Utusan Malaysia

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menjangkakan Kelantan mencatatkan pencapaian terbaik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan bermula dari 7 hingga 13 Oktober ini.

Pengarahnya, Mohd. Ghazali Abd. Rahman berkata, pihaknya menyasarkan 5,312 calonnya berpotensi mendapat 9A, jumlah tertinggi berbanding pencapaian 399 orang dalam PMR tahun 2007 dan 409 pelajar pada 2008.

Katanya, sasaran mereka yang lulus tanpa E juga tinggi tahun ini iaitu 77.16 peratus berbanding tahun 2007 iaitu 60.17 peratus dan 61.30 peratus tahun 2008.

"Seramai 30,784 pelajar dari 155 sekolah menengah termasuk sekolah agama bantuan kerajaan di negeri ini akan menduduki peperiksaan PMR tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sambutan Aidilfitri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1 di sini semalam.

SMK Zainab yang diiktirafkan sebagai sekolah kluster pada April 2009 merupakan salah satu daripada lapan sekolah di negeri ini yang mendapat pengiktirafan itu selain Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Sekolah Kebangsaan Zainab 2, SMK Datuk Ahmad Maher dan SMKA Naim Lilbanat.

Mohd. Ghazali yakin sasaran itu akan dicapai berikutan pelbagai program kecemerlangan yang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Katanya, program kecemerlangan itu tidak termasuk motivasi serta teknik menjawab soalan yang dijalankan secara bersepadu bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

No comments: