Showing posts with label Kesedar. Show all posts
Showing posts with label Kesedar. Show all posts

Tuesday, September 29, 2009

Projek agropolitan Rantau Manis gagal

Sumber: Berita Harian

Kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah tanah dalam projek agropolitan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Rantau Manis, Gua Musang, membantutkan usaha membangunkan 1,000 rumah untuk golongan miskin di kawasan itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Kemajuan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata projek penempatan penduduk miskin yang dirancang dalam program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu kini menghadapi kelewatan disebabkan kerajaan negeri gagal meluluskan tanah.
Katanya, ECER sudah menyiapkan perancangan lengkap mengenai pembinaan rumah berkenaan dan sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi mendapat kelulusan segera, namun sehingga kini belum mendapat tindak balas.

"Matlamat kerajaan Pusat menerusi projek agropolitan Rantau Manis ialah membina 1,000 penempatan untuk peserta Kesedar yang juga termasuk dalam projek ECER dengan tujuan mengeluarkan mereka daripada jurang kemiskinan menjelang 2010 nanti.

"Namun, perancangan itu mengalami sedikit kelewatan kerana masalah tanah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri sedangkan ECER sudah membuat perancangan rapi terhadap projek di situ.
"Kita berharap dapat kerjasama kerajaan negeri dengan mempercepatkan kelulusan tanah, sekali gus membantu membasmi miskin tegar di negeri ini," katanya kepada media pada majlis penyerahan kunci rumah kepada Salleh Mohamed, 51, menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Manik Urai, dekat sini, semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu lagi, kerajaan Pusat akan membelanjakan RM1.5 juta untuk membaiki 500 rumah penduduk miskin di Manek Urai.

Katanya, program menerusi projek khas pilihan raya dengan menyediakan peruntukan RM3,000 adalah untuk membaiki sebuah rumah penduduk yang rosak.

"Kita berharap menjelang akhir tahun ini program membaiki 500 rumah itu akan siap sepenuhnya sekali gus membuktikan kesungguhan kita membantu rakyat," katanya.
Beliau berkata, bagi Parlimen Kuala Krai, kerajaan Pusat sudah membelanjakan lebih RM4 juta bagi membina 130 rumah baru untuk penduduk miskin di situ.

"Daripada jumlah itu, 45 rumah sudah dibina di Manek Urai dengan membabitkan peruntukan RM1.5 juta," katanya.

Sunday, September 27, 2009

Kesedar urus penempatan penduduk

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dengan kerjasama kerajaan negeri telah membentuk satu jawatankuasa bagi menguruskan penempatan penduduk di kawasan seluas 960 hektar di Rantau Manis, Gua Musang.

Pengerusinya, Datuk Ramzi Abdul Rahman berkata, jawatankuasa itu bertujuan menempatkan 1,000 penduduk miskin tegar di bawah program Pelan Pembangunan Koridor Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

Bagaimanapun, katanya, perbincangan lanjut masih lagi diadakan dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kewujudan pertindihan hak di tanah berkenaan.

“Insya-Allah kita akan umumkan apabila perkara ini selesai, sekarang ini kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa antara pihak Kesedar dan kerajaan negeri untuk membincangkan perkara ini.

“Saya tidak mahu menjelaskan dengan lanjut kerana ia masih dalam perbincangan. Nanti kita akan umumkan hasilnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Pembentukan jawatankuasa tersebut merupakan perkembangan positif kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit kerana sebelum ini Kesedar telah pun menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri.

Melalui ECER, wilayah pantai Timur dijangka menerima pelaburan bernilai RM112 bilion selama tempoh 12 tahun pelaksanaannya bermula tahun 2008 sehingga 2020.

Selain itu, ECER juga komited dalam usaha pembangunan sosialnya bagi membasmi kemiskinan dan ia sejajar dengan objektif kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.

Monday, August 31, 2009

Gua Musang bakal muncul bandar kedua terbesar Kelantan

Kerajaan pusat merancang untuk membangunkan bandar Gua Musang sehingga menjadi bandar kedua terbesar di Kelantan selepas Kota Baharu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kemajuan ke arah itu semakin kelihatan terutama tumpuan kerajaan dalam melaksanakan banyak projek pembangunan khususnya jalan perhubungan di Gua Musang.

“Rakyat di jajahan ini bukan sahaja dapat menikmati jalan perhubungan ke Kota Baharu, malah boleh berhubung dengan negeri lain termasuk Pahang, Perak dan Terengganu seperti yang dirancangkan di dalam pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 2007,” katanya.

Beliau turut meminta pengurusan Kesedar agar mengatur perancangan lebih tersusun untuk dilaksanakan di Gua Musang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Kita mahu penyusunan perancangan ini dibuat sebaik-baiknya bagi mendapatkan peruntukan lebih besar dalam RMK-10 kerana kerajaan mahu lihat kemajuan lebih pesat berlaku di Kelantan khususnya Gua Musang,” katanya pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) semalam.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan berkata matlamat utama kerajaan memfokuskan kemajuan itu ialah bagi menarik ramai penduduk di utara ke Kelantan Selatan.

Kata beliau, ini bersesuaian dengan keadaan kawasan Gua Musang yang mempunyai banyak peluang pekerjaan dan mampu menampung lebih ramai penduduk.

"Kerajaan tidak mahu penduduk di utara Kelantan terus dengan kemelut kemiskinan berikutan terlalu padat dengan penduduk dan adalah lebih baik mereka berhijrah ke Gua Musang. “Kita lihat suasananya strategik dalam menarik pelabur dan sekali gus memberi banyak peluang pekerjaan di pelbagai sektor,” katanya.

Tuesday, November 11, 2008

PUSAT LATIH KESEDAR UNTUK BELIA

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan membina sebuah pusat latihannya yang serba lengkap di Taman Etnobotani Gua Musang bernilai RM7 juta awal tahun depan.

Pengerusinya Datuk Ramzi Ab Rahman berkata pembinaan pusat latihan itu bukan sahaja untuk kakitangan agensi berkenaan mengadakan kursus, tetapi juga untuk kemudahan bagi belia dan peneroka Kesedar mengikuti pelbagai latihan serta kem motivasi.

“Langkah itu sekali gus menjimatkan perbelanjaan Kesedar kerana selama ini kami mengadakan program berkenaan di merata tempat termasuk luar Kelantan,” katanya di Kuala Krai semalam.

Sementara itu Ramzi yang berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai semalam, berkata Kesedar mengatur pelbagai program bagi membaiki tahap hidup golongan sasar di Kelantan Selatan termasuk penduduk kampung tradisional dan peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT).

Katanya program-program berkenaan bertujuan membantu golongan itu menambahkan pendapatan selepas harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit jatuh semula sejak beberapa bulan lepas.

“Peluang terbaik bagi golongan itu mengatasi masalah tersebut ialah dengan menceburi di bidang ternakan dan perniagaan yang mampu mengembalikan pulangan lumayan.

“Kami menyediakan peruntukan untuk membantu golongan terbabit menceburi bidang-bidang itu seperti di Kuala Krai, kami menyediakan RM1.4 juta untuk tujuan itu dengan kadar RM10,000 seorang,” katanya.

Sementara itu Kesedar juga mengeluarkan bantuan sebanyak RM2.22 juta kepada 232 orang peserta Program Kesejahteraan Rakyat (SPKR) pada tahun ini.

Ramzi berkata, bantuan tersebut diagihkan mengikut jenis permohonan dan aktiviti ekonomi peserta yang telah dikenal pasti dalam usaha meningkatkan pendapatan sekali gus mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan.

Katanya, bantuan tersebut diberikan mengikut jenis aktiviti ekonomi yang dipohon oleh peserta seperti pertanian, ternakan, kedai runcit, kedai jahit dan sebagainya.

''Kesedar akan terus menyalurkan bantuan ini bagi memastikan ia dapat membantu hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan sepenuhnya menjelang tahun 2010 nanti," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pada masa ini, Wilayah Kuala Krai mempunyai 965 peserta SPKR yang masih berada di bawah garis kemiskinan dan usaha dilakukan secara berterusan bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Ramzi berkata, bagi memastikan bantuan tersebut digunakan sebaik mungkin oleh peserta, Kesedar sentiasa membuat pengawasan dan pemantauan berterusan terhadap setiap peserta.

Katanya, pemantauan tersebut dilakukan untuk memastikan peserta menggunakan bantuan untuk tujuan memula atau mengembangkan perniagaan masing-masing dan bukannya untuk tujuan lain.

''Kita amat berharap segala usaha ini akan dapat dicapai dan mendapat kerjasama serta komitmen daripada peserta SPKR itu sendiri," katanya.

Seorang peserta SPKR yang menerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Siti Khaziah Jusoh, 51, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada berpeluang mengembangkan perniagaan kedai runcitnya di kampung Manjor, dekat Kuala Krai.

Sebelum ini, Siti Khaziah hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan keluarga selain menoreh.

Siti Khaziah memberitahu, dia merupakan seorang ibu tunggal dan telah memohon bantuan berkenaan pada 2006 lalu dan menerima sebanyak RM5,000.

''Sebahagian kecil daripada bantuan saya gunakan untuk membaiki kedai yang sudah uzur dan selebihnya untuk menambahkan modal pusingan iaitu membeli barangan," katanya.