Tuesday, September 29, 2009

Projek agropolitan Rantau Manis gagal

Sumber: Berita Harian

Kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah tanah dalam projek agropolitan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Rantau Manis, Gua Musang, membantutkan usaha membangunkan 1,000 rumah untuk golongan miskin di kawasan itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Kemajuan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata projek penempatan penduduk miskin yang dirancang dalam program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu kini menghadapi kelewatan disebabkan kerajaan negeri gagal meluluskan tanah.
Katanya, ECER sudah menyiapkan perancangan lengkap mengenai pembinaan rumah berkenaan dan sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi mendapat kelulusan segera, namun sehingga kini belum mendapat tindak balas.

"Matlamat kerajaan Pusat menerusi projek agropolitan Rantau Manis ialah membina 1,000 penempatan untuk peserta Kesedar yang juga termasuk dalam projek ECER dengan tujuan mengeluarkan mereka daripada jurang kemiskinan menjelang 2010 nanti.

"Namun, perancangan itu mengalami sedikit kelewatan kerana masalah tanah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri sedangkan ECER sudah membuat perancangan rapi terhadap projek di situ.
"Kita berharap dapat kerjasama kerajaan negeri dengan mempercepatkan kelulusan tanah, sekali gus membantu membasmi miskin tegar di negeri ini," katanya kepada media pada majlis penyerahan kunci rumah kepada Salleh Mohamed, 51, menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Manik Urai, dekat sini, semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu lagi, kerajaan Pusat akan membelanjakan RM1.5 juta untuk membaiki 500 rumah penduduk miskin di Manek Urai.

Katanya, program menerusi projek khas pilihan raya dengan menyediakan peruntukan RM3,000 adalah untuk membaiki sebuah rumah penduduk yang rosak.

"Kita berharap menjelang akhir tahun ini program membaiki 500 rumah itu akan siap sepenuhnya sekali gus membuktikan kesungguhan kita membantu rakyat," katanya.
Beliau berkata, bagi Parlimen Kuala Krai, kerajaan Pusat sudah membelanjakan lebih RM4 juta bagi membina 130 rumah baru untuk penduduk miskin di situ.

"Daripada jumlah itu, 45 rumah sudah dibina di Manek Urai dengan membabitkan peruntukan RM1.5 juta," katanya.

No comments: