Sunday, November 30, 2008

UMUMLAH SEGERA ZAID

Kalau nak masuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) cepat-cepatlah umum, jangan malu tapi mahu.

Jangan sebut masih ahli UMNO dan belum dipecat seolah-olah mahu dipecat.

Semalam, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim turut menjadi tetamu yang hadir dalam Perasmian Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) di Stadium Malawati Shah Alam.

Kehadiran Zaid bersama beberapa lagi tokoh politik termasuk Dato' Yong Teck Lee dari SAPP dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar mendapat tepukan gemuruh kalangan perwakilan yang menunggu di dalam Stadium.

Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah, Niab Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Kahlid Samad; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; AJK PAS Pusat, Dr Lo Lo Mohd Gahazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa; Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; Karpal Sing (DAP) dan Teresa Kok.

Apakah datang kerana minat semata-mata?

Beberapa minit selang selepas kehadiran Zaid, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba dengan disambut laungan reformasi.

Zaid dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee terus menerus mencetuskan persoalan mengenai fahaman politik mereka apabila muncul membuat kejutan pada majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun Zaid yang ditemui selepas itu tetap menafikan penyertaannya sebagai ahli parti berkenaan.

"Saya masih ahli Umno, saya masih belum dipecat," katanya ringkas.

Jelas beliau kehadirannya ke kongres berkenaan kerana menerima jemputan dan atas dasar minat yang mendalam tehadap politik.

Ditanya sama ada kekerapannya yang dilihat sering menghadiri majlis-majlis anjuran parti pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah kerana bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat, beliau tetap menidakkannya.

"Saya sekadar tunjukkan minat dalam politik...itu saja," katanya.

Menurut Zaid, pakatan pembangkang bukanlah musuh namun sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.

Diminta mengulas sama ada beliau sedar bahawa dengan kehadirannya hari ini akan menyebabkan Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata tidak takut mengenai perkara itu.

"Saya rasa saya tak takut mengenainya (tindakan), saya lebih takut akan kesihatan saya sekarang ini...saya tak berapa sihat," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehuddin Hashim turut mengesahkan bahawa hingga kini PKR masih belum menerima sebarang permohonan kemasukan Zaid mahupun Yong.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Zaid menjadi menteri yang mencetus kontroversi berikutan meletakkan jawatan dalam isu ISA.

Peletakan jawatan beliau menjadi tanda tanya hingga ada yang menyatakan kemungkinan beliau akan menyertai Pakatan Rakyat.

No comments: