Wednesday, May 31, 2017

Serang Muhyiddin - Akibat Tidak Puas Hati Tuntutan Peribadi Ditolak


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  Terengganu kesal dengan tindakan pihak tertentu mempersoalkan kewibawaan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan Muhyiddin dengan kepincangan yang berlaku dalam PPBM di peringkat kebangsaan dan Perak.

Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris menegaskan, pihaknya mengutuk dan menolak sebarang perbuatan mensabotaj kepimpinan serta menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin dan juga timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membawa parti ke arah yang lebih teguh dan cemerlang.

Beliau mendakwa, pihak yang mendatangkan suasana tidak selesa dalam parti adalah pemimpin di peringkat negeri dan bahagian tertentu yang tidak berpuas hati disebabkan tuntutan mereka bersifat peribadi tidak dilayan.

“Sewajarnya kita sebagai ahli dan pemimpin bawahan menghormati dan memahami arah dan matlamat kepimpinan atasan, bukan mengkritik secara terbuka.

Kenyataan Razali di Sinar Harian semalam.
“Sebarang pendapat atau pandangan kedua perlu dikemukakan dan dibincangkan pada mesyuarat dalaman parti, bukan mengkritik secara terbuka dan menggunakan media bagi mencari populariti diri,” katanya kepada Sinar Harian, di Kuala Terengganu.

Razali berkata sebagai mengulas mengenai Ketua Pendaftar PPBM Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar kononnya seluruh bahagian PPBM Perak membuat desakan supaya Muhyiddin meletakkan jawatan ekoran kepincangan di peringkat kebangsaan dan Perak.

Azrul Suhadi juga didakwa turut menyatakan Muhyiddin tidak pernah ikhlas kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, penyokong dan pendokong parti.

Mengulas lanjut, Razali menolak dakwaan berhubung sikap tidak ikhlas Muhyiddin sambil menyifatkan ia bertujuan memecahbelahkan parti dengan sengaja.

Jelasnya, berdasarkan kenyataan ditunjukkan oleh 3M atau Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, ternyata ketiga-tiganya menunjukkan semangat setia kawan dan persefahaman padu dalam meningkatkan maruah dan perjuangan parti.

“Tuduhan bahawa sepanjang masa Tan Sri Muhyiddin ‘menangguk di air yang keruh’ dengan mengambil kesempatan di atas populariti Tun Mahathir bagi mencatur parti adalah pandangan cetek dan dipengaruhi akal yang sempit dan berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, dakwaan yang mengaitkan Muhyiddin mahu bersekongkol dengan PAS disifatkan tuduhan untuk memperkecilkan usaha bertujuan memenangi pilihan raya.
Sedangkan sebagai presiden parti katanya, Muhyiddin sudah tentu arif dalam membentuk formula dan hala tuju parti untuk menang pilihan raya.


“Semua pihak perlu bergerak secara berpasukan dan meletakkan nilai serta situasi menang-menang untuk kestabilan parti,” katanya.

Monday, May 29, 2017

‘Pakatan Harapan Tidak Akan Jadi Barisan Nasional 2.0 - Mukhriz


Pada satu ceramah baru-baru ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menceritakan pertemuannya dengan seorang penyokong yang bertanyakan apakah jaminan Pakatan Harapan tidak akan jadi seperti Barisan Nasional (BN).

Pembangkang kebelakangan ini menuduh pakatan pemerintah menyalah urus wang rakyat.
Timbalan presiden PPBM cuba meyakinkan penyokong itu yang PH tidak akan mengikut langkah kerajaan BN.

Hujahnya? Jika PH memenangi Putrajaya, ia bermakna pengundi menolak rasuah dan pemimpin yang merompak rakyat.


“Jika pengundi menghukum kerajaan lama yang melakukan perkara itu, kami tidak berani mengulangi kesalahan itu, kerana kita tidak mahu dihukum pada pilihan raya nanti.”
Bukan Mukhriz sahaja yang berfikiran begitu.

Rakannya dari DAP, Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran berkata BN dan PH seperti oren dan epal, yang tidak patut dijadikan perbandingan.

“Sama sekali berbeza. Kami berazam menghapuskan rasuah. Kami mahu kewangan negara diurus dengan lebih baik dan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan banyak lagi,” kata Ahli Parlimen Ipoh Barat kepada FMT.

Kulasegaran berkata Pakatan Harapan merupakan gabungan parti setara, berbeza dengan BN, di mana “abang sulung”, Umno, memutuskan semua perkara.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad juga bersetuju dalam Pakatan Harapan walaupun ada perbezaan pendapat dalam kalangan komponen, tiada “abang sulung” yang membuat kata putus.

“Kerana kita tidak ada pendekatan ‘abang sulung’ dalam gabungan ini, saya fikir kita akan terselamat daripada budaya politik BN.

“Kita mahu menggantikan BN tetapi tidak mahu meniru mereka.

“Dalam mesyuarat kami ditekankan berulang kali Pakatan Harapan ialah gabungan setara,” kata Ahli Parlimen Shah Alam kepada FMT.

“Kita tidak mahu jadi BN 2.0.”

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke membangkitkan isu itu 27 Mac lalu, menegaskan Pakatan Harapan gabungan parti setara tanpa parti teraju.

“Kami gabungan setara. Tidak ada isu parti mana yang menerajui gabungan ini.

“Tidak ada satu parti yang mendominasi gabungan ini. Ini yang membezakan Pakatan daripada BN. Kita bukan BN 2.0,” kata Loke dalam satu laporan.

Sumber - FMT