Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan
semua masjid dan surau di negeri ini agar tidak menjadikan tazkirah sepanjang
Ramadan ini sebagai ceramah politik serta mengambil imam luar untuk solat
tarawih.
Semua aktiviti tazkirah hendaklah dibuat antara solat
tarawih dan Isyak atau setelah selesai solat tarawih dan witir.
Tazkirah pula tidak disampaikan dalam tempoh lama
melebihi 20 minit.
Peringatan itu disampaikan baginda kepada Pengarah
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.
Haris berkata, baginda melarang isi kandungan tazkirah
menyentuh isu-isu sensitif yang menyinggung pihak-pihak tertentu kerana
perbuatan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak senang hati serta perpecahan dalam
masyarakat.
Menurutnya, baginda mahu perasaan saling menghormati diterapkan
sepanjang bulan yang penuh keberkatan itu.
“Ramadan sebagai bulan rahmat, berkat dan bulan keampunan
akan hadir tidak berapa lama lagi.
“Maka, saya sebagai individu yang diamanahkan untuk
menyelia pengurusan masjid dan surau di Selangor ingin memohon beberapa perkara
penting supaya diambil perhatian oleh semua nazir dan pengerusi surau.
“Tambahan pula, apa yang saya sebut ini seringkali
diperingatkan serta dititahkan oleh Sultan Selangor kepada saya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian
Konvensyen Pemantapan dan Pemerkasaan Pengurusan Masjid dan Surau Negeri
Selangor dan penyampaian sumbangan bantuan moreh di Shah Alam, kelmarin.
Haris menambah, semua penceramah yang dijemput perlu
mempunyai tauliah berceramah yang dikeluarkan oleh pihaknya.
Menurutnya, keingkaran nazir dan pengerusi surau mematuhi
peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 119(1) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Mengenai solat tarawih pula katanya, masjid dan surau
digalakkan mengambil imam-imam tempatan terdiri daripada pelajar atau lulusan
tahfiz dalam negara.
Beliau memberitahu, solat tarawih pula perlu
dilaksanakan sebanyak 20 rakaat sebagaimana amalan Saidina Umar, juga sama
seperti dilakukan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
No comments:
Post a Comment