Showing posts with label PMBK. Show all posts
Showing posts with label PMBK. Show all posts

Thursday, November 12, 2009

MENANTU NIK AZIZ DAPATKAN KHIDMAT PEGUAM

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Mohd Ariffahmi Abd Rahman berkata beliau akan mendapatkan khidmat peguamnya bagi meneliti beberapa dakwaan bekas Pegawai perhubungan korporatnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz.

"Saya ingin katakan bahawa saya tidak boleh memberi banyak komen mengenai kes ini kerana pihak perbadanan kini sedang disiasat oleh SPRM.

"Adalah tidak adil bagi pihak perbadanan jika saya memberikan banyak komen mengenainya," katanya.

Hari ini Syed Azidi mendakwa beliau akan mendedahkan salah laku yang wujud di perbadanan itu khususnya mengenai kepincangan kewangan serta penyalahgunaan kuasa.

Syed Azidi juga lebih dikenali dengan nama penanya ‘Blogger Kickdefella’.

Bagaimanapun Ariffahmi menegaskan beliau tenang dengan kenyataan Syed Azidi kerana beranggapan berkas pegawai PMBK itu boleh untuk membuat apa-apa dakwaan.

"Saya tak lakukan apa-apa kesalahan," katanya kepada pihak media di rumahnya yang terletak tidak jauh daripada kediaman bapa mertuanya di Pulau Melaka di Kota Bharu semalam.

Ariffahmi yang juga menantu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan bahawa perkhidmatan Syed Azidi telah 'ditamatkan' dan bukannya diberhentikan.

"Syed Azidi telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dan perkhidmatannya telah ditamatkan kerana prestasinya tidak mencapai piawaian perbadanan.

"Tapi kami masih memberikan beliau RM20,000 sebagai pampasan, semua ini telah dilakukan dengan kelulusan jabatan undnag-undang," katanya.

Bagi tuduhan mengenai pelantikkan sebagai CEO PMBK telah melanggari undang-undang kerana beliau merupakan menantu kepada Nik Abdul Aziz, Ariffahmi menafikannya.

Kata beliau pelantikannya telah mendapat persetujuan daripada penasihat undang-undang negeri dan PAS.

"Saya tak nampak mengapa pelantikan saya dipertikaikan, saya tak sembunyikan apa-apa.
"Malah saya telah berikan kerjasama yang sepenuhnya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Isnin lalu SPRM menemui Ariffahmi dipercayai untuk mengambil keterangan bagi membantu siasatan terhadap perbadanan itu.

KICKDEFELLA ANCAM DEDAH SALAH LAKU DALAM PERBADANAN MB KELANTAN

Oleh mStar

Pegawai perhubungan korporat Pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), yang dipecat, Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali dalam dunia blog sebagai Blogger Kickdefella bernekad untuk mendedahkan apa yang sebenarnya telah berlaku di perbadanan itu khususnya tentang kepincangan kewangan serta penyalahgunaan kuasa.

PMBK diketuai oleh Mohd Ariffahmi Abd Rahman yang juga menantu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Syed Azidi, yang menyertai perbadanan itu pada 2007, menerima surat pemecatannya yang ditandatangani oleh Mohd Ariffahmi semalam (Selasa) kerana dituduh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah laku pengurusan di PMBK.

Beliau juga didakwa telah berkonspirasi dengan Barisan Nasional (BN) dalam hal ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar yang diadakan di hadapan pejabat perbadanan itu di Jalan Kuala Krai di sini hari ini, Syed Azidi menuntut perletakan jawatan Mohd Ariffahmi sebagai ketua pegawai eksekutif PBMK demi menjaga nama baik Nik Abdul Aziz sebagai ketua pentadbir negeri.

“Ada banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku di sini telah pun berlaku dan semua ini terpaksa disenyapkan hanya kerana beliau adalah menantu kepada menteri besar,” dakwa Syed Azidi.

“Dan kini memandangkan saya telahpun dipecat oleh Mohd Arrifahmi, saya bebas untuk mendedahkan apa yang telah berlaku di PBMK, yang telah memalukan menteri besar, Kerajaan PAS Kelantan dan juga Islam,” katanya lagi.

Syed Azidi yang sebenarnya lebih dikenali dengan nama penanya ‘Kickdefella blogger’, mendakwa dalam genggamannya kini terdapat minit mesyuarat yang disifatkannya sebagai sensitif, dokumen kewangan dan lain-lain dokumen yang boleh disabitkan dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di PMBK.

Maklumat-maklumat itu katanya diperolehi daripada pihak-pihak luar yang pernah berurusan dengan PMBK.

“Sebenarnya isu-isu PMBK ini bukan lagi satu rahsia tetapi dah jadi rahsia terbuka. Hanya tidak ada siapa yang lakukan sesuatu mengenainya,” tegas beliau lagi.

Syed Azidi juga menjelaskan, yang beliau tidak ada kena mengena dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM ke atas PMBK malah tidak terlibat pun dalam membawa SPRM masuk untuk menyiasat PMBK.

“Malangnya saya juga dituduh menggunakan laman blog saya untuk menimbulkan kekecohan tetapi hakikatnya ialah saya masih terus menyokong Nik Aziz dan pada masa yang sama ingin membuka mata Nik Aziz bahawa menantunya itu adalah satu liabiliti kepadanya," ujar Syed Azidi.

Sementara itu, Nik Aziz, yang mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri enggan menjawab sebarang pertanyaan berkaitan semua dakwaan yang dibuat oleh Syed Azidi.

Siasatan yang sedang dilakukan oleh SPRM ke atas PMBK telah menjadi buah mulut ramai lebih-lebih lagi dengan tindakan Nik Aziz untuk mempertahankan menantunya sebagai seorang yang beliau yakini dan percayai.

Beliau pernah dipetik sebagai berkata bahawa tidak ada apa yang salah dengan melantik menantu memegang jawatan tertentu sama seperti Nabi Muhammad dahulu pernah melantik menantunya memegang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan Islam di Madinah.

Pada 5 November lalu, para pegawai SPRM telah merampas beberapa dokumen kewangan PMBK termasuk menyoalsiasat pengurus kewangan perbadanan itu.

Dan kelmarin, (9 November) pegawai-pegawai SPRM sekali lagi telah berkunjung ke pejabat PMBK dan kali ini mereka telah menyoal Abdul Ariffahmi.

PMBK, yang terletak di bawah bidang kuasa menteri besar, ditubuhkan untuk menguruskan pembangunan ekonomi dan sosial negeri.

Perbadanan tersebut melalui pelbagai anak syarikatnya terlibat dalam aktiviti pertanian, infrastruktur, hartanah, utiliti, takaful, bioteknologi dan pendidikan.

Abdul Ariffahmi, yang merupakan seorang jurutera pada mulanya dilantikan sebagai ketua pegawai operasi PMBK pada awal tahun lalu sebelum secara rasminya dilantik ke jawatan ketua pegawai eksekutif kira-kira dua bulan yang lalu.