Thursday, April 6, 2017

RUU355 - Speaker Benarkah Hadi Bentang Di Sebalik Bantahan???

 

Apakah PAS boleh bentangkan pindaan kontroversi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) hari ini?

Juga apakah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan usul asli yang dirangka oleh PAS, bukan dengan beberapa pembaikan oleh pihak kerajaan?

Sebelum ini Hadi menegaskan, pihaknya mahu melihat pindaan usul berkenaan jika kerajaan mahu membentangkannya.

Pada Ahad (2 April 2017), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, usul RUU 355 akan dibentangkan sebagai usul persendirian pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, (6 April hari ini).

Katanya, usul itu akan dibentangkan oleh Hadi selepas semua urusan kerajaan diselesaikan.

Bermakna bahawa cadangan kerajaan membentangkannya sudah menjadi sejarah dan Hadi boleh melakukan apa yang beliau impikan sebelum ini bagi mencipta sejarah!


Namun semudah itukah  Hadi akan diberikan laluan untuk melakukannya di Dewan Rakyat serta apakah usul itu kekal sebagai ‘versi PAS’?

Ternyata kini kerajaan BN bukan sahaja memberikan laluan sepenuhnya kepada Hadi dan kandungan usulnya oleh PAS juga ‘diluluskan sepenuhnya’?

Namun perkembangan terbaru semalam -  usaha untuk menggagalkan pembentangan RUU355  itu dturut berlaku apabila bekas Ahli Parlimen Benut, Mohamed Tawfik Ismail menghantar dokumen perisytiharan kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menghalang usul meminda RUU 355 dibentangkan di Dewan Rakyat.

Mohamad Tawfik yang memfailkan saman pemula kepada Speaker Dewan Rakyat itu diramalkan boleh  menyebabkan usul pindaan itu akan menjadi subjudis jika dibentangkan dan menimbulkan banyak persoalan.

Mohamed Tawfik Ismail, anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abd Rahman, berkata semalam, beliau menjangka PAS tidak jadi membentangkan pindaan di Dewan Rakyat hari ini.

Tawfik memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur Jumaat lalu, bagi memohon pengisytiharan bahawa cadangan pindaan Akta 355 adalah tidak berperlembagaan.

"Kami tidak menjangkakan pindaan Akta 355 akan berada dalam Peraturan Mesyuarat esok," kata Tawfik kepada pemberita selepas saman pemula yang diperolehi daripada Mahkamah Tinggi, diserahkan sendiri kepada Pandikar.

Peguamnya, Mansoor Saat, yang turut hadir menjelaskan speaker telah menetapkan keutaman pada masa lalu bahawa isu subjudis akan timbul di dalam dewan sebelum perkara itu dibawa ke mahkamah.

"Berikutan keutamaan dalam beberapa kes lain, sama dengan isu ini, pindaan itu tidak seharusnya dibentangkan di Dewan Rakyat," tambah Mansoor.

Bagaimanapun, difahamkan, keputusan untuk membenarkan RUU 355 dibentangkan esok masih tetap bergantung kepada kuasa dan budi bicara Speaker Dewan Rakyat.

Pada 3 April lalu pula sebuah kumpulan -BEBAS - menentang rancangan PAS untuk mengenakan hukuman syariah lebih keras di Malaysia SAMBIL merayu kepada ahli Parlimen supaya hadir di persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (pindaan) 2016 dijangka dibentangkan.

BEBAS berkata berkata semua ahli Parlimen perlu hadir untuk bercakap bagi pihak sebahagian rakyat Malaysia.

Jurucakap Bebas Azrul Mohd Khalib meminta Ahli Dewan Rakyat supaya jangan biarkan kedatangan sedikit di Dewan Rakyat kerana ia boleh menyebabkan RUU itu dibawa ke peringkat seterusnya.


Sebelum ini RUU persendirian itu dibentangkan dua kali oleh Presiden PAS itu yang memohon supaya kuasa menjatuhkan hukuman di mahkamah syariah diperkasakan, daripada 3 tahun penjara pada masa ini dan denda RM5,000 serta 6 sekatan dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebat 100 kali.

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini menyuarakan sokongan kepada RUU itu walaupun dibantah parti komponen bukan Islam dalam BN.

Azrul mengulangi bantahan BEBAS terhadap RUU itu, berkata pindaan berkenaan akan mengubah cara keadilan ditadbir dengan bergantung pada ketakutan dan hukuman.

“Ia akan menyebabkan ketidaksaksamaan. Ia akan menyebabkan ketidakadilan. Inikah yang Malaysia mahu? Mari kita bersatu dalam mempertahankan identiti pelbagai bangsa dan kesederhanaan Malaysia,” tegasnya.

Kelmarin, PAS menegaskan presidennya tidak akan memohon penangguhan sekali lagi bagi meminda Akta 355 jika diberi ruang membentangkannya kali ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tidak ada sebab untuk mereka menangguhkan usul rang undang-undang itu sekali lagi, seperti yang pernah dilakukan Ahli Parlimen Marang itu sebelum ini.

"Tidak, mengapa kita nak tangguhkan? Kami sedang menunggu peluang untuk mengemukakannya," kata Takiyuddin kepada Malaysiakini.

RUU355 dibawa Abdul Hadi melalui peruntukan rang undang-undang persendirian Dewan Rakyat dalam usaha PAS memperkasa mahkamah syariah di negara ini, namun dibantah sesetengah pihak.

Sebahagian mendakwa pindaan itu membuka jalan kepada pelaksanaan hukum hudud, manakala pengkritik lain melihatnya sebagai tergesa-gesar serta mempunyai maksud politik tersirat.

Ada kalangan yang membantah mengatakan usul sepatutnya dibawa ke pengetahuan Majlis Raja-Raja Melayu untuk dinilai terlebih dahulu.

Kita menunggu apakah Speaker akan memberikan laluan atau usul Hadi akan tergantung kali ini tanpa diberikan ruang untuk bentangkannya.

Jika demikian, polimik mengenai isu ini akan menjadi 'perbicaraan politik' yang akan mengakibat banyak pihak dan pastinya menjadi antara isu penting sebelum dan pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.



No comments: