Monday, March 13, 2017

Indeks Rasuah - Kerajaan ‘Masih Bangga’ Walaupun Malaysia Terjerumus Lagi...


Terang dan nyata, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2016 dunia terus terjerumus daripada tangga ke-55 berbanding 54 pada 2015.

Apakah ini berlaku kerana kekurangan kesungguhan pemimpin politik dalam menangani rasuah dengan hanya memberi janji kosong tetapi tidak memperjuangkannya? 

Transparency International (TI) dalam laporannya 25 Januari lalu, meletakkan Malaysia di belakang negara kecil seperti Brunei (41).

Di pihak kerajaan, kedudukan ini – walaupun jelas merosot dan bukan semakin baik – tetap dianggap masih dalam kelompok terbaik CPI.

Apakah kerajaan berbangga dengan kedudukan ini?

Apakah  CPI Malaysia yang  masih dalam kelompok satu pertiga terbaik daripada 176 negara yang terlibat dalam kajian itu - di peringkat ASEAN, Malaysia pada kedudukan ketiga terbaik (daripada 10 negara ASEAN) - seabagai sesuatu yang memuaskan di pihak kerajaan?

Akhbar (kiri)...kurang kesungguhan pemimpin
Presiden Transparency International - Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar berkata 25 Januari lalu, menganggap penurunan itu berikutan kekurangan kesungguhan pemimpin politik dalam menangani rasuah dengan hanya memberi janji kosong tetapi tidak memperjuangkannya.

Begitu juga dengan tindakan rasuah di peringkat atasan yang ditemui dalam simpanan mereka.

"Rasuah dalam perkhidmatan awam (kerajaan persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan) yang berleluasa dimana mereka mengambil dan menyimpan dalam simpanan mereka," kata Akhbar.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini,  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata, walaupun kedudukan negara merosot kepada satu anak tangga berbanding tahun lepas, namun ia tidak boleh dijadikan indikator perbandingan.

Ini  kerana CPI itu adalah bagi membantu kerajaan menambah baik pentadbiran dengan mengambil dapatan kajian berkenaan, katanya.

"CPI adalah satu kajian mengenai pandangan keadaan rasuah yang dikumpul daripada ahli perniagaan antarabangsa di Malaysia. Ia tidak boleh dijadikan indikator perbandingan, banding tahun ini dengan tahun lepas. CPI ialah untuk bantu kerajaan menambah baik pentadbiran dengan mengambil dapatan kajian tersebut," katanya.

Razali Ibrahim...CPI bukan petunjuk.
Menjawab soalan Lim Guang Eng (DAP-Bagan) mengenai adakah kerajaan berpuas hati dengan kemerosotan kedudukan negara dalam CPI dari kedudukan ke-54 pada tahun 2015 kepada 55 tahun lepas.

Razali berkata kedudukan itu juga terbukti tidak menjejaskan keadaan ekonomi dan dijadikan penilaian apabila Malaysia terus mendapat perhatian dan kepercayaan pelabur luar.

"Lawatan Raja Salman (Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud) berjaya membawa pelaburan sebanyak RM40 bilion baru-baru ini. Kalau negara ini teruk, maka sudah tentu orang tidak datang melabur,"

Walaupun demikian, Razali menegaskan, kerajaan akan tetap mengambil berat setiap hasil yang diperolehi daripada kajian itu dan akan terus menjalankan usaha menambah baik pentadbiran serta berharap pihak tertentu tidak mempolitikkan kedudukan berkenaan.

"Sudah tentu kita tidak gembira bila ada aduan mengenai rasuah dalam kalangan penjawat awam kita, sebab itu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menjalankan tugasnya bagi mencegah setiap salah laku rasuah yang berlaku," katanya.

Menurut TIM, skor atau mata negara juga jatuh daripada 49 mata pada tahun 2015 kepada 50 mata pada tahun lalu memasukkan Malaysia dalam senarai negara yang mempunyai skor menurun tetapi kedudukan itu masih ketiga tertinggi di Asia Tenggara.

Negara-negara lain yang skornya turut merosot di rantau ini ialah Singapura, Brunei dan Thailand.

Di tangga pertama di dunia adalah Denmark (90 mata) diikuti kedua, New Zealand (90 mata) dan ketiga, Finland (89) mata.

Negara jiran, Singapura di kedudukan ketujuh dengan (84 mata), Indonesia di kedudukan ke-90 (37 mata) manakala Thailand pada kedudukan 101 (35 mata).

Berdasarkan CPI, skor 0 bermakna “sangat rasuah” manakala 100 dianggap sangat bersih.

Indeks itu meletakkan ranking kepada negara berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam.


Ia berasaskan gabungan beberapa tinjauan dan penilaian rasuah yang dikumpul pelbagai institusi bereputasi.

No comments: