Sunday, March 12, 2017

Sokongan Kepada RUU 355 Buka Jalan Ke Arah Rundingan PAS-PPBM?


Apakah faktor sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terhadap cadangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (ruu 355) yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang DI Dewan Rakyat akan menjadikan PAS semakin mesra dengan PPBM?

Dengan kedudukan di mana PAS melihat isu RUU 355 ini sebagai sesuatu yang ‘tersangat penting bagi mereka’, sokongan PPBM kepada perkara ini mungkin akan memudahkan kepada perbincangan agihan kerusi kedua-dua parti berkenaan.

Kemesaraan kedua-dua parti ini semakin jelas, apalagi jika benar PPBM menyokong RUU 355 berkenaan.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada 8 Mac lalu bahawa PAS sudah menjemput PPBM  berbincang mengenai pembahagian kerusi menghadapi pilihan raya.

Ia dianggap sebagai satu kemajuan yang baik dan ia akan dibincangkan dalam satu pertemuan yang akan diadakan pada masa terdekat.

“ Kalau dulu awalnya tak ada. Sebagai parti baharu, memang minat kami untuk (bekerjasama) dengan semua pihak. Kami tak nak menolak minat sebegitu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Hari ini dilaporkan oleh FMT bajawa Timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai berkata berkata Presiden PPBM itu menyokong cadangan pindaan RUU 355 berkenaan.

RUU 355 yang dibawa presiden PAS itu bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan ia dijadualkan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Ia dibaca kali kedua di Dewan Rakyat tahun lalu, tetapi Hadi menangguhkannya dan berkata beliau mahu memastikan masyarakat faham yang pindaan itu tidak terpakai kepada bukan Islam.

RUU 355 itu bertujuan meningkatkan hukuman sedia ada untuk kesalahan syariah tertentu, termasuk hukuman penjara kepada 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Muhyiddin, dikatakan dalam suatu mesyuarat bersama PAS, pernah  menyatakan PPBM akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam isu yang berbangkit di Dewan Rakyat termasuk isu yang dikenali sebagai RUU 355 itu.


“Sebenarnya perkara kita bincang dan dia (Muhyiddin) secara prinsipnya bersetuju dengan RUU 355, tidak ada apa-apa masalah. Dalam perbincangan mesyuarat kami, kita sudah ada dan bicarakan isu ini.

“Apa-apa isu yang berbangkit di Dewan Rakyat, dia tidak ada masalah untuk sokong,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam dan dialog politik di Dewan Seri Iskandar, Setiawangsa malam tadi.

Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata sehingga ke saat ini isu pembahagian kerusi dengan PPBM masih belum dibincangkan, malah dianggap sebagai belum tiba masanya lagi.

“Rundingan kerusi belum lagi. Cuma, jawatankuasa teknikal akan adakan perbincangan untuk lihat macam mana. Kita akan tengok, lagipun pilihan raya belum tahu bila lagi,” katanya.

Sebelum ini, PAS dan PPBM mengadakan beberapa pertemuan awal dalam usaha mencari serta memperhalus rangka kerjasama persefahaman politik antara kedua-dua parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Tindakan PPBM itu sekali gus dilihat sebagai cubaan parti itu menjadi orang tengah dalam perbalahan yang wujud antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan AMANAH.

Muhyiddin pula merupakan satu-satunya ahli Parlimen yang mewakili PPBM.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata perbincangan mengenai kerusi pilihan raya dengan PAS adalah perkembangan yang baik tetapi pihaknya berpendapat kerangka kerjasama dengan parti Islam itu perlu jelas.

“Perlu juga mengambil kira hubungan kerjasama yang sudah kita jalinkan dengan Pakatan Harapan,” katanya.

Perbincangan antara PPBM dan PAS ini tidak melibatkan PK seperti dijelaskan oleh Muhyiddin sebelum ini bahawa: “Ini peringkat PPBM dan PAS saja.”

Muhyiddin mengakui hubungan parti itu dengan PAS semakin mesra dan parti itu juga hampir dijemput setiap hari untuk mengadakan ceramah bersama.

“Tahap makin mesra. Kami dijemput hampir setiap hari. Datuk Seri Mukhriz dijemput oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob. Saya hadir majlis dengan Tuan Ibrahim, menyatakan kesediaan berunding di peringkat negeri,” katanya.

No comments: