Tuesday, September 27, 2016

Kandungan Media Sosial Bukan Semuanya 'Kebenaran Mutlak' - Dr Ahmad Zahid

Dr Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis bersama pelajar Malaysia di New York.
"Lebih memudaratkan, perbalahan sesama sendiri antara jentera media sosial kerajaan memburukkan keadaan...dengan bertembak sesama sendiri akan menghakis keyakinan dan kepercayaan pembaca atau pelayarnya."

Kenapa Timbalan Perdana Menteri mengingatkan semua pihak, khususnya pelajar Malaysia di luar negara  supaya jangan mudah percaya kandungan media sosial?

Jangan anggap apa yang disebut atau diperkatakan di media sosial sebagai 'the gospel truth' (kebenaran mutlak).

Apakah kerana ia tidak benar, kebanyakannya bersifat fitnah, tiada fakta atau ditulis berasaskan sumber tidak tepat?

Atau apakah kerana kandungan media sosial sebagai yang mudah merosakkan minda dan menghakis kepercayaan kepada kerajaan, selain  menyokong pembangkang.

Atau apakah kerajaan, khususnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bimbang bahawa maklumat yang disalurkan media sosial sebenarnya juga mempunyai kebenaran?


Kelmarin di New York, Timbalan Perdana Menteri menasihati pelajar Malaysia di luar negara tidak mudah menerima segala perkara yang disiar tanpa bersandarkan kepada fakta terutama di media sosial.

Beliau menarik perhatian bahawa antara isu yang sering dimainkan ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), harga minyak dan kehadiran warga Bangladesh di Malaysia.

"Masyarakat tidak harus percaya apa yang berlegar di media sosial sebagai 'the gospel truth' (kebenaran mutlak)," katanya berucap pada majlis ramah mesra bersama pelajar Malaysia pada Sabtu sempena lawatan kerjanya ke New York. Ia dihadiri kira-kira 65 pelajar universiti yang terletak di timur Amerika Syarikat.

Dr Ahmad Zahid berada di New York untuk mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.-

Pertanyaan ialah, dengan nasihat ini menunjukkan bahawa pihak tertentu, khususnya pembangkang mampu menyediakan bahan yang menarik untuk ditatap oleh pelajar dan rakyat Malaysia di luar Malaysia.

Cara mereka menganalisis dan memaparkan fakta (berpihak kepada mereka) mungkin lebih baik daripada apa yang dipaparkan oleh kerajaan atau yang prokerajaan.

Juga, paparan oleh pihak yang menentang kerajaan mungkin bersifat ‘satu suara’ iaitu mereka seiringan dalam memperkatakan sesuatu isu, sedangkan cara media kerajaan memaparkannya, terpisah dan tidak melalui satu pandangan atau pendirian.

Masing-masing cuba menunjukkan kehebatan masing-masing demi kepentingan jabatan, kementerian atau ketua-ketua di jabatan dan kementerian berkenaan.

Akhirnya fakta yang dipaparkan berbeza antara satu sama lain, malah kenyataan-kenyataan juga kadangkala bercanggah.

Lebih memudaratkan, perbalahan sesama sendiri antara jentera media sosial kerajaan memburukkan keadaan apabila antara satu dengan yang lain saling tuduh menuduh.

Malah, ada yang bertembak sesama sendiri di media sosial yang akan menghakis keyakinan dan kepercayaan pembaca atau pelayarnya.

Dr Ahmad Zahid mempunyai sebab besar menasihati pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara supaya menapis bahan yang dipaparkan.

Mamun, isunya apakah jentera media sosial kerajaan mampu melawan jentera pembangkang dan jentera pihak yang tidak berpihak, walaupun mereka menjalankan kegiatan itu dengan bajet lebih kecil daripada pembiayaan kerajaan terhadap media sosial kerajaan?

Juga apakah kerajaan memiliki mereka yang benar-benar dapat menganalisis dan mengupas sesuatu isu, bukan hanya meletak harapan kepada blogger, facebookers serta pelapor ‘muda’ yang kurang berpengalaman?

“Muda” di sini dimaksudkan dengan mereka yang baharu dan kurang pengalaman dalam ‘perang siber’ yang menyebabkan apa yang diperkatakan hambar dan mengulangi sahaja apa yang dikatakan seseorang pemimpin atau menteri.

Apabila Timbalan Perdana Menteri berkata tidak salah untuk mempunyai perbezaan pendapat, namun pendirian berlainan pihak lain harus turut dihormati, ia bermakna bahawa pembentangan pendapat bukan melalui satu cara sahaja.

Umpamanya cara konvensional ialah menunjukkan sokongan semata-mata.

Dalam dunia yang  bebas berkomunikasi seperti sekarang, analisis yang hanya menunjukkan fakta menyokong tidak lagi menarik untuk dibaca.

Dengan pembaca semakin kritis, penulisan juga mestilah bersifat ‘kritikal’ walaupun pendirian penulisanya menyokong sesuatu pihak.

Mesti ada pro dan kontra. Yang kontra itu akan menyumbang kepada penambahbaikan. Jangan anggap apabila ada kritikan, ia suatu perbuatan ‘menentang’, ‘mengkhianati’ atau sengaja memburuk-burukkan kerajaan.

Pemimpin  hendaklah faham bahawa ‘menyokong jangan sampai membawa rebah’ bermakna jika asyik ‘jek’ semata-mata,  pemimpin akan semakin menjadi ‘buta dan tuli’, sedangkan yang sering memberikan ‘pandangan kedua’ sebenarnya menyumbang untuk membawa kesedaran dan penilaian kepemimpinan seseorang.

Terimalah ‘second opinion’ dan baca sesuatu tulisan secara ‘read between the lines’.

Apapun, saranan Dr Ahmad Zahid yang mengingatkan pelajar bahawa nama baik dan imej negara terpikul di bahu mereka sangat benar dan sangat dihargai.


"Kalau kita lakukan sesuatu yang tak baik yang merosakkan imej negara, orang tak kata dia tu dari Pulau Pinang atau Gombak, misalnya, tapi dari Malaysia," katanya.

No comments: