Monday, October 17, 2016

Jangan Salahkan Ahli, UMNO Berkudis Kerana Pemimpinnya Yang Pengotor


Siapa ‘kudis’ dalam UMNO?

Semalam Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron mengingatkan kepimpinan tertinggi UMNO di semua peringkat termasuk akar umbi supaya berwaspada dengan segelintir anggota parti yang diumpamakan 'kudis'.

Mereka dikatakan boleh merosakkan seluruh jentera UMNO sekiranya tidak dirawat dengan baik.

Maknanya kudis itu adalah  anggota parti dan sesetengah pemimpin peringkat pertengahan, yang dilihat mempunyai niat dan tindakan negatif terhadap UMNO.

Bagi Idris, mereka ini juga perlu disisihkan segera agar tidak memberi kesan pada pergerakan jentera parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Jika di teliti daripada sudut kesihatan, wujudnya atau terjadinya kudis kerana seseorang atau sekumpulan masyarakat tidak menjaga kesihatan dengan baik.

Dengan kata lain kudis ada di badan mereka yang pengotor, tidak menjaga kebersihan diri atau kerana jangkitan. Bukan semuanya kerana diakibatkan oleh diri sendiri.

Kalau dalam UMNO, ‘kudis’ ini bukan wujud dengan sendirinya. Ia ada kaitan dengan tindakan dan keputusan pemimpin parti itu sendiri.

UMNO seperti manusia juga, hakikatnya mereka adalah bersih. Tetapi kerana pemimpinnya membiar atau sengaja engan menjaga kebersihan dan kesihatan, UMNO akhirnya berkudis.

Parti berkudis kerana pemimpinnya.


Dan jika Idris tahu adanya kudis dalam UMNO, mereka ini sepatutnya dirawat dengan baik.

Sama ada ia diubati atau anggota ‘seseuatu badan’ itu dipotong yang menyebabkan kecacatan kepada parti.

Apakah formula yang sewajarnya dilakukan?

Bukankah baik jika dilakukan pencegahan, iaitu menjamin tidak ada kudis dalam UMNO?

Bukankah buruknya ikan bermula daripada kepala?

Kata Idris hari ini, “ada individu di dalam UMNO yang di hadapan kita mengaku bersama perjuangan parti tetapi di belakang kita, mereka tidak bersama dan inilah sebenarnya cabaran yang perlu kita hadapi.

"Saya telah mengesan beberapa individu yang merupakan penyokong parti pembangkang tetapi di hadapan kita, berlakon seolah-olah mereka tetap bersama kita (UMNO).

Orang ini nanti, apabila kita berhadapan dengan pilihan raya umum, akan menyusahkan kita," katanya.

Idris melontarkan pendapatnya mengenai ‘kudis dalam UMNO’ mengulas tindakan lebih 30 pemimpin akar umbi UMNO termasuk bekas Exco Pemuda Mohd Rafiq Naizamohideen semalam yang mengumumkan keluar daripada UMNO kerana hilang keyakinan terhadap Presiden parti Datuk Seri Najib Razak.
  
 Beliau berkata tindakan Mohd Rafiq merupakan kelegaan buat parti kerana tidak perlu lagi risau tentang individu yang tidak setia dan mempunyai perancangan tidak baik terhadap parti berkenaan.

"Saya pada mulanya tidak mengambil berat tentang pengumumannya keluar parti tetapi sikapnya yang memburukkan kepimpinan UMNO itu adalah fitnah," katanya.

Wujudnya penentang dalam UMNO bukan kerana mereka menyokong pembangkang atau bersimpati dengan mereka.

Rata-rata yang mengambil kaputusan keluar UMNO, digantung atau dipecat keahliannya sedikit sebanyak ada kaitan dengan kepimpinan dan kritikan terhadap UMNO.


Kumpulan ini jarangan didekati sebaliknya mereka cepat dicop sebagai penentang, walapun bertahun-tahun setia dan berjuang dalam UMNO.

Rasa tidak puas hati memang tidak dapat dielakkan tetapi apakah sebagai ‘kudis’ mereka perlu dihukum atau ‘dipotong daripada bahagian badan’ dengan sewenang-wenangnya?

Apakah semua penyakit memerlukan pembedahan dan apakah semua kudis ibarat barah yang perlu dipisahkan daripada badan?

Ada keputusan untuk menghapuskan penyakit memerlukan pembedahan dan membuang bahagian yang berpenyakit itu daripada badan.

Namun, jika dapat dielakkan kenapa tidak melakukan cara lain agar UMNO terus kukuh?

Mengapa memilih keputusan yang boleh merosakkan ‘badan UMNO’ dan tidak mencari jalan untuk mengubatinya dengan bijak?

Idris sebagai pemimpin, perlu mendedahkan ‘kudis’ berkenaan, bukan secara kenyataan am yang boleh menilbulkan syak wasangka.

Ujian kepada UMNO bukan sahaja terletak di kalangan penyokong tetapi ketua dan pemimpin UMNO itu sendiri.

Sewajarnya mereka yang dipilih, sama ada melalui pemilihan parti atau juga pilihan raya perlu menilai dahulu diri sendiri.

Apakah mereka pemimpin yang benar-benar jiwanya mementingkan rakyat atau pemimpin yang mementingkan rakyat demi kedudukannya.

Masa masih ada sebelum kudis menjadi semakin besar dan akhirnya memburuk dan membusung.

Pada ketika itu masa sudah tidak banyak untuk diubati.

Mungkin juga apabila sudah parah, kalangan pemimpin juga terpaksa dipotong daripada bahagian badan UMNO kerana mereka juga sudah dijangkiti dan turut menghidap ‘sindrom kudis’.


Ketika ini meraka tidak boleh menyalahkan orang lain kerana terdeah sudah merekalah sebenarnya menyebabkan berlaku dan berjangkitnya ‘kudis’ dalam UMNO.

No comments: