Friday, October 21, 2016

Altantuya Akan ‘Berhantu Semula’ Dalam Politik Malaysia Tahun Depan?

 
Mengikut  tradisi Mongolia, upacara dan pengebumian perlu diadakan dalam tempoh 49 hari selepas ada kematian.

Namun bagi keluarga Dr Setev Shaariibuu, bapa kepada  Altantuya Shaariibuu, ketika dibunuh berusia 28 tahun, terus bersedih dengan pembunuhan anak perempuannya itu.

Berikutan itu, mereka belum mengadakan pengebumiannya sejak 10 tahun lalu.

Seorang peguam Malaysia membantu keluarga itu menerima "kotak kecil" mengandungi cebisan tulang dibakar di tempat pembakaran mayat di sana yang dihantar oleh kerajaan Malaysia ke kedutaan Mongolia di Thailand.

Bekas abu itu mulanya ditempatkan di sebuah kuil di sebuah tanah perkuburan selama tujuh tahun sehinggalah mereka tidak mampu lagi untuk membayar kos penyimpanannya dan membawanya pulang.

Mereka telah menjual apartmen untuk membayar kos guaman, tambang penerbangan dan tempat penginapan yang diperlukan apabila Setev ke Malaysia untuk cuba memastikan keadilan ditegakkan.

Bekas polis elit - Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar - disabitkan bersalah kerana pembunuhan Altantuya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009.

Sirul...lari ke Australia
Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua  cucu mereka menyaman kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah yang turut disabitkan bersalah membunuh Altantuya, sebanyak RM100 juta.

Mereka mendakwa wujudnya konspirasi dalam pembunuhan model dari Mongolia itu.

Tuntutan saman pada 2007 itu tertangguh kerana perbicaraan kes berlangsung di Mahkamah Tinggi yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sirul dan Azilah kemudian berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013.

Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka kerana membunuh model sambilan itu.

Ketetapan tersebut dicapai hasil keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 yang membebaskan kedua-duanya dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati setelah mereka didapati bersalah pada 9 April 2009.

Mahkamah tertinggi negara menyampaikan keputusan tersebut tanpa kehadiran Sirul, 44, walaupun kedua-dua didakwa bersama-sama membunuh Altantuya yang merupakan seorang penterjemah Mongolia.

Selesai keputusan dibaca dalam tempoh kira-kira 40 minit, panel itu memaklumkan bahawa waran tangkap dan perintah komital dikeluarkan terhadap Sirul ekoran ketidakhadirannya ke mahkamah.

Pada ketika Sirul lari meninggalkan Malaysia, Razak yang pada awalnya didakwa kerana bersubahat membunuh Altantuya, dibebaskan di akhir kes pendakwaan. Mahkamah memutuskan pertuduhan terhadapnya tidak dapat dibuktikan.

Setev...mencari keadilan untuk anaknya secara berterusan.
Hasrat Setev sebagai bapa untuk mendapatkan keadilan bagi anaknya berterusan.

Satev dan keluarganya “sudah menunggu terlalu lama” sepanjang satu dekad (10 tahun) untuk tuntutan saman itu dilaksanakan.

Kini bagai ada cahaya di hujung terowong apabila salinan pindaan terhadap penyata tuntutan itu berjaya diserahkan kepada pembunuh model Mongolia itu yang kini berada di pusat tahanan Australia.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili keluarga Altantuya berkata, proses penyerahan itu akhirnya dapat dilakukan selepas penghantar saman menyerahkan salinan penyata tuntutan kepada Sirul Azhar Umar di Pusat tahanan Imigresen Villawood di Sydney, baru-baru ini.

Sirul ditahan di Villawood selepas ditangkap pihak berkuasa Australia yang mendapat permakluman polis antarabangsa (Interpol).

Dia telah terbang ke negara kanggaru itu sebelum kesnya yang dibawa ke Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkaitan kesnya.

Sirul dan Azilah didapati bersalah dan disabitkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 1 Januari 2015 atas pembunuhan Altantuya pada Oktober 2006 di Puncak Alam, Selangor.

Pindaan kenyataan tuntutan yang diserahkan itu dibuat selepas sabitan kes pada Sirul dan Azilah.

“Saya kini menunggu makluman rasmi daripada penghantar saman Australia. Selepas itu saya akan maklumkan kepada mahkamah pada tarikh pengurusan kes minggu depan,” katanya.

Pengurusan kes itu ditetapkan pada Rabu, 26 Oktober depan, di hadapan hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Razak Baginda...kini bebas
Ramkarpal berkata Sirul diberi tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dokumen itu untuk membalasnya sama ada mahu mencabar atau tidak pindaan terhadap tuntutan itu.

“Secara asasnya, kami hanya mahu memasukkan yang sabitan terhadap Sirul dan Azilah Hadri disahkan oleh Mahkamah Persekutuan tahun lalu,” katanya.

Katanya, beliau berharap perbicaraan boleh dijalankan pada pertengahan kedua tahun depan.

Ramkarpal berkata Azilah yang kini di penjara Kajang juga diserahkan salinan tuntutan itu tetapi beliau atau peguamnya masih belum menjawab.

Sebelum ini, syarikat guaman itu dilapor menyerahkan dokumen termaterai kepada Wisma Putra untuk dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, sebagai sebahagian daripada proses mahkamah.

Bulan lalu, Ram Karpal berkata mereka mengupah penghantar saman kerana tiada jawapan berkaitan perkara itu daripada pegawai di Kementerian Luar Negara.

No comments: