Thursday, October 20, 2016

Harga Minyak Masak Naik, Harga Makanan Turut Naik?


Ada beberapa persoalan yang boleh direnungkan bersama apabila kerajaan mengambil keputusan menghapuskan subsidi minyak masak.

Pertamanya, minyak masak akan naik harga bulan depan.

Walaupun ia dilihat akan memberi kesan segera kepada pengguna biasa tetapi peniaga pasti akan mengambil kesempatan.

Apakah ini bermakna, dalam tempoh beberapa bulan akan akan datang, harga makanan juga akan naik akibat kenaikan harga minyak masak?

Keduanya, apakah akan berlaku kejadian sorok bahan itu? Jika berlaku siapa yang melakukannya, pemborong atau pembekal minyak masak?

Kini terdapat 260 pemborong dan pembekal minyak masak di seluruh negara.

Ketiga, jika berlaku aktiviti sorok, sejauh mana berkesannya penguatkuasaan?

Apakah mereka bersedia membayar denda atau akan berlaku kejadian ketirisan dan sebagainya yang akan merugikan rakyat dan kerajaan?

Keempat, apakah peruncit bersedia membuat laporan?

Tidakkan mereka bimbang akan dipulaukan oleh pemborong?

Kelima apakah kerajaan boleh menjamin harga minyak masak terus stabil pada tahap  RM2.50 bagi setiap kilogram dan berapa lama?

Keenam, apakah pelaksanaan penguatkuasaan mempunyai cukup kakitangan dan

Ketujuh,  apakah  jaminan mereka yang melakukan kesalahan di bawa ke muka pengadilan?

Laporan hari ini menyebut, di bawah program penstabilan minyak masak baharu yang akan mula dilaksanakan November ini, harga 1kg minyak masak peket plastik dinaikkan 40 sen kepada RM2.90, manakala minyak masak botol 5kg naik RM1.90 kepada RM15.25.


Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) menegaskan, harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan depan, susulan pemansuhan subsidi oleh kerajaan, kata

Persatuan itu dalam satu kenyataan yang dipetik Oriental Daily berkata, di bawah program penstabilan minyak masak baharu yang akan mula dilaksanakan November ini, harga 1kg minyak masak peket plastik dinaikkan 40 sen kepada RM2.90, manakala minyak masak botol 5kg naik RM1.90 kepada RM15.25.

Program baharu itu dibahagikan kepada dua peringkat:

1.      Mulai 1 November ini sehingga 31 Disember;

Untuk peringkat pertama, subsidi minyak masak campuran botol seberat 500gm, 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg serta minyak masak sawit tulen botol seberat 500gm, 1kg, 2kg dan 3kg, akan dimansuhkan.

Ini bermakna, tanpa harga siling ditetapkan kerajaan, harga minyak masak perlu mengikut apungan pasaran dan ditentukan peniaga.

Minyak masak sawit tulen botol seberat 5kg masih diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini, sebelum ia dihapuskan mulai 1 Januari 2017.

2.      Mulai 1 Januari 2017 dan hanya minyak masak peket plastik akan menikmati subsidi kerajaan pada tahun depan.

Laporan menyebut, sebelum ini, pengeluar minyak masak diberikan kebebasan untuk menggunakan subsidi yang diberikan kerajaan, tetapi mulai bulan depan, mereka perlu memperuntukkan 70% subsidi itu untuk menghasilkan minyak masak peket plastik 1kg, baki 30% lagi untuk minyak masak botol 5kg.

Laporan dari Kota Bharu menyebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan memberi jaminan kuota bekalan minyak masak sebanyak 4,800 metrik tan sebulan, tidak akan terjejas untuk 1.6 juta penduduk negeri ini.

Pengarahnya Datuk Ab Ghani Harun berkata jaminan itu berdasarkan hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas pembekal, pemborong dan peruncit di seluruh negeri ini.

"Melalui pemeriksaan harian yang dilakukan, kita dapati proses penghantaran minyak masak berjalan lancar dan bekalan mencukupi. Jadi pengguna tidak perlu bimbang atau membuat pembelian panik bagi menyimpan stok minyak masak," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas viral di media sosial berhubung dakwaan kononnya peniaga akan menyorok minyak masak untuk menaikkan harganya berikutan khabar angin subsidi minyak masak akan ditamatkan menjelang November ini.

Katanya peniaga yang menyorok barangan kawalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan kompaun sehingga RM1 juta selain barangan dirampas jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (gambar kanan)dipetik Bernama memberi amaran kepada pemborong dan pembekal minyak masak tidak menyorok bekalan bahan itu bagi mengaut keuntungan atau lesen perniagaan mereka akan ditarik balik.

Beliau turut meminta peruncit membuat laporan, jika kuota penghantaran barang itu kurang daripada sepatutnya, bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan terhadap pemborong dan pembekal yang mungkin menyorokkan bekalan minyak masak.

“Apa pun yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan ketika ini harga minyak masak masih lagi berpatutan, iaitu RM2.50 bagi setiap kilogram.

“Subsidi (minyak masak) itu masih lagi harga yang sama dan adalah tak adil kepada rakyat sekiranya ada pihak yang menyorok bekalan,” katanya selepas melakukan tinjauan pelaksanaan skim kawalan sempena perayaan Deepavali di Tapah, semalam.

Katanya, buat masa ini, tiada aduan rasmi diterima berhubung perkara itu dan pihaknya akan menghantar penguat kuasa melakukan siasatan sebaik sahaja menerima laporan.

Hamzah berkata, pemborong dan pembekal yang mencatu dan menyorok bekalan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukaman denda RM100,000 bagi individu serta RM250,000 bagi syarikat, jika sabit kesalahan.

Rakyat yang menanggung kesan akan mememerhati dan mungkin bertindak, walaupun tidak diketahui lagi apa tindakan mereka jika apa yang dicakap dan dijanjikan oleh Menteri tidak berlaku seperti diharapkan.

Persoalannya apakah isu minyak masak ini akan menjadi salah satu perkara yang akan memberikan kesan dalam pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke14 yang akan diadakan tidak lama lagi.


Juga apakah ia antara sebab rakyat menyokong atau menolak Barisan Nasional bagi mengekalkan kuasa selepas PRU itu nanti?

No comments: