Wednesday, February 17, 2010

FOKUS WANG IHSAN KEPADA GOLONGAN MISKIN

Peruntukan wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan yang dijangka disalur penghujung Mac ini akan bertumpu kepada golongan miskin, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kita akan lebih fokus kepada membantu golongan miskin, seperti memberi bantuan secara langsung atau membaiki rumah mereka kerana untuk projek pembangunan ianya memerlukan peruntukan yang lebih besar," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, bagaimanapun kaedah agihan itu masih pada peringkat perbincangan.
Beliau berkata, tawaran kepada kerajaan negeri yang diteraju Pas untuk menyertai jawatankuasa pengurusan wang ihsan itu juga masih terbuka.

"Kita masih perlukan input kerajaan negeri. Ini adalah wang rakyat Kelantan dan kita ikhlas untuk beri ruang kepada kerajaan negeri berbincang walaupun jumlah peruntukan itu terhad," katanya.

Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai keengganan kerajaan negeri Kelantan menyertai jawatankuasa itu sekalipun telah berulang kali ditawarkan berbuat demikian.
Kerajaan Pas bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan sedangkan Seksyen 4(2) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 menyebut negeri di dalam Malaysia mempunyai perairan wilayah hanya setakat tiga batu nautika (5.5 kilometer) diukur dari paras air surut.

Kerajaan Pusat, bagaimanapun, memutuskan untuk memberi wang ihsan kepada Kelantan sebagai ganti royalti minyak mulai tahun ini, dan RM20 juta itu adalah bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008, sama seperti yang termaktub di dalam perjanjian Akta Peroleum 1975, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

No comments: