Wednesday, February 17, 2010

PEMBINAAN RUMAH RAKYAT MISKIN KB DIMASUKKAN DI DALAM RMK-10

Projek pembinaan rumah untuk rakyat miskin di Kota Baharu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar di bandar ini memiliki rumah sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata lebih 50 peratus daripada 100,000 penduduk bandar Kota Baharu masih menyewa dan tidak mampu memiliki rumah sendiri disebabkan kemiskinan.

"Kalau di negeri lain kebanyakan masalah yang dihadapi adalah masalah kemudahan atau kekurangan infrastruktur tetapi di Kelantan masalah pemilikan rumah di kawasan bandar khususnya.

"Sudah lebih 20 tahun kerajaan negeri memerintah Kelantan tetapi sehingga kini isu itu (pemilikan rumah) masih tidak selesai dan menjadi masalah utama penduduk di sini yang masih ramai terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Khas Mustapa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Bersama Pemimpin BN semalam.

Sambil menyifatkan jumlah itu adalah tinggi berbanding negeri lain, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata peruntukan dalam RMK-10 itu bukan sahaja untuk pembinaan rumah mampu milik, tetapi turut merangkumi peruntukan menyediakan tanah yang mampu dibeli oleh golongan tidak berkemampuan itu bagi membina kediaman masing-masing.

No comments: