Monday, August 31, 2009

MOMENTUM KEBANGKITAN UMNO KELANTAN DITERUSKAN

UMNO Kelantan akan meneruskan usaha mengekalkan momentum kebangkitannya seperti yang tercetus dalam pilihan raya kecil Manek Urai, bulan lalu, bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai parti yang menjadi ejen perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata berdasarkan keputusan pilihan raya kecil berkenaan, pengundi khususnya di kawasan kubu kuat parti lawan, jelas memberi isyarat mereka mahukan perpaduan dan menolak retorik politik yang memecah belahkan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, bagi menjayakan hasrat itu, semua ahli UMNO di semua peringkat perlu mengeratkan perpaduan dan hubungan silaturahim terutama ketika umat Islam menyambut Ramadan bagi memastikan kedudukan parti terus kukuh.

“Rakyat sekarang ini inginkan perpaduan dan melihat UMNO sebagai ejen perpaduan dan parti yang mampu membawa orang Melayu dan rakyat Malaysia di bawah satu bumbung.

“Petanda itu dapat dilihat dengan jelas pada pilihan raya kecil Manek Urai dan usaha berterusan yang kita lakukan sekarang adalah momentum daripada apa yang sudah dimulakan di Manek Urai bagi memastikan UMNO semakin kukuh,” katanya selepas menerima borang keahlian menyertai UMNO daripada 27 penyokong dan ahli Pas di Kampung Chekak 2, Paloh Rawa, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO bahagian Machang, Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas penyertaan 27 penyokong dan ahli Pas itu ke dalam UMNO, Mustapa berkata, ia jelas menunjukkan rakyat Kelantan semakin menerima UMNO kerana ingin melihat perpaduan di kalangan masyarakat serta pembangunan dilaksanakan di negeri ini.

“Ini bukti jelas rakyat Kelantan semakin menerima perjuangan UMNO. Memang kita kalah dalam pilihan raya umum tahun lalu, tetapi kita sedang bekerja keras untuk membuktikan kemampuan dan saya bersyukur kerana sudah ada petanda perubahan di kalangan rakyat.

“Namun begitu, kita akan meneruskan usaha merapatkan perpaduan dan silaturahim di kalangan orang Melayu serta berusaha memastikan mereka bersatu di bawah UMNO,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Chekak 2, Mokhtar Che Harun, 63, berkata beliau menyertai UMNO kerana yakin dengan perjuangan parti itu yang sentiasa membantu rakyat.

Beliau yang sebelum ini menjadi ahli Pas selama 40 tahun berkata, keputusan itu juga dibuat selepas melihat tiada perubahan dan pembangunan dilakukan di kampungnya sejak Pas memerintah negeri ini, hampir 20 tahun lalu.

“Cukuplah 40 tahun saya jadi ahli Pas dan sekarang saya ahli UMNO. Ini semua berlaku atas kehendak Ilahi,” katanya.

No comments: