Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS gagal menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat sejak memerintah negeri ini hampir 20 tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, berikutan kegagalan kerajaan negeri itu membawa perubahan dan pembangunan ekonomi kepada rakyat negeri itu, akhirnya yang akan menjadi mangsa adalah wanita.
"Saya amat dukacita Kerajaan PAS Kelantan mengabaikan kebajikan rakyat dan wanita menjadi mangsa utamanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jejak Bestari di Pusat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Temalir, Manik Urai, semalam.
Menurutnya, rakyat Kelantan masih bernasib baik kerana adanya Kerajaan Barisan (BN) yang menolong mereka dalam menyediakan pelbagai kemudahan, terutama di bawah kementeriannya.
Shahrizat berkata, sejak 2007 lalu, Kerajaan Pusat menambahkan peruntukan dari setahun ke setahun menerusi kementeriannya berbanding peruntukan yang disediakan kerajaan negeri.
"Contohnya pada 2007 kerajaan Pusat membelanjakan peruntukan 26.9 juta berbanding kerajaan negeri hanya RM10 juta.
"Peruntukan yang sama bertambah RM41.2 juta pada 2008 berbanding kerajaan negeri (RM14 juta)," katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini, Kerajaan Pusat membelanjakan RM21.7 juta berbanding kerajaan negeri hanya RM2.5 juta.
Menurut beliau, sebagai Menteri bertanggungjawab dan Ketua Pergerakan Wanita Umno, beliau akan meneruskan perjuangan bagi membantu kaum wanita menerusi program-program pembangunan ekonominya, seperti "Jalinan Rakyat" dan projek kepakaran teknologi maklumat (IT).
Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan pemimpin parti itu bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang adalah berasaskan konsep kerajaan kebajikan. "Mereka hanya mengadakan projek dan masuk ke kampung-kampung apabila tiba musim pilihan raya," katanya.
No comments:
Post a Comment