Sumber: Bernama Online
Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai perlu membuat pemilihan bijak dalam pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini bagi menentukan masa depan mereka, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, di tangan merekalah yang akan menentukan untung nasib masa depannya.
“Apa yang saya harapkan hasrat Kerajaan Pusat untuk menjadikan Manek Urai sebagai anak angkat apabila menang dalam pilihan raya nanti akan menjadi kenyataan,” katanya ketika melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) DUN itu, hari ini.
Terdahulu, beliau melepaskan anak ikan keli di Projek Membasmi Kemiskinan Rakyat Kawasan Parlimen Bachok, di Kampung Telok Merbau, Perupok, Bachok.
Menurutnya, Kerajaan Pusat sebelum ini sudah bersetuju untuk menjadikan Bachok sebagai anak angkat, tetapi oleh kerana pengundi kawasan itu tidak memilih BN dalam pilihan raya umum lalu, hasrat tersebut gagal dilaksanakan.
“Kalau boleh saya mahu Bachok lebih dulu dipilih sebagai anak angkat kepada Kerajaan Pusat, tetapi oleh kerana rakyat kawasan ini menolak, maka kerajaan terpaksa membuat pilihan lain.
“Apa yang diharapkan pengundi kawasan Manek Urai kali ini membuat pilihan yang bijak dalam menentukan sikap mereka untuk melihat perubahan demi masa depan anak cucu mereka,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok.
Mengulas pemilihan calon BN yang akan bertanding dalam pilihan raya DUN itu kali ini, katanya ini adalah yang terbaik pernah dikemukakan oleh Umno atas kehendak semua ahli di peringkat akar umbi.
“Soal ada suara-suara sumbang daripada mana-mana pihak kononnya wujud rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pihak dalam parti tidak berbangkit.
“Ia mungkin sengaja ditimbulkan pihak parti lawan yang sengaja menjadikan isu dan mencari kelemahan parti lawan dalam menghadapi kempen politik menjelang saat-saat akhir pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, hampir separuh daripada jumlah pengundi kawasan DUN itu adalah pengundi muda yang bakal mewarisi pemimpin masa depan negara.
Katanya, inilah masanya kerajaan memberi perhatian kepada golongan itu untuk menyokong perjuangan parti demi menjamin masa depan agama, bangsa dan negara.
Awang Adek berkata, hampir 50 peratus pengundi kawasan itu adalah golongan muda yang berumur bawah 40 tahun dan pemilihan calon yang mempunyai pendidikan tinggi dibuat oleh Umno adalah tepat untuk berhadapan dengan golongan berkenaan.
“Calon BN adalah kalangan pemimpin yang berpendidikan tinggi dan golongan inilah yang menjadi pelopor kepada pemimpin masa depan generasi muda ke arah kemajuan dan pembangunan Negara,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya DUN itu ialah pada Isnin ini.
Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Ismail Yaakob akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment