Tuesday, February 10, 2009

JANGAN TERPERANGKAP DENGAN JERANGKAP

Belum apa-apa, DAP dan PAS dah ada perbezaan pendapat!

Tapia was, ini mungkin sandiwara pembangkang sahaja.

Sementara Pergerakan Pemuda UMNO seperti biasa ‘melompat awal’ untuk menunjukkan mereka mampu melakukan semuanya.

Jangan cepat membuat kenyataan itu boleh menang dan ini boleh menang.

Sejarah dua pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan Pemuda UMNO tidak boleh menolak jika dikatakan antara punca kekalahan sama ada di Permatang Pauh mahupun Kuala Terengganu.

Tolonglah Pemuda UMNO -jadilah dewasa sedikit - jangan terperangkap dengan jerangkap pembangkang.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini tidak bersetuju dengan cadangan DAP supaya bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang nanti.

Menteri Besar Kelantan itu berpendapat selagi Mohd Nizar masih dianggap oleh Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak, adalah tidak sesuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu dicalonkan bertanding untuk kerusi Parlimen itu.

"Kalau tanya saya, saya tidak boleh terima seorang yang berjawatan MB (Menteri Besar) ambil (wakili kawasan) Parlimen...kecuali orang yang tidak berjawatan MB.

"Bagi saya tidak elok kalau MB Perak (Mohammad Nizar) turut bertanding di kawasan lain, sedangkan dia mempunyai kedudukan di kawasan lama. Ini seperti yang dilakukan bekas Presiden PAS dahulu, (Allahyarham) Datuk Asri Muda, yang bertanding di dua kerusi ketika memegang jawatan Menteri Besar Kelantan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bahru hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan PAS menimbang untuk meletakkan Mohd Nizar diletakkan sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Sambil menyatakan beliau membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, Ngeh berkata adalah elok jika Nizar dipilih sebagai calon kerana rakyat boleh menyatakan pandangan mereka mengenai perubahan kerajaan negeri itu.

"Ini hanya pandangan peribadi saya. Terpulang kepada Pas untuk membuat keputusan. Walau siapa pun calonnya, kami akan memberikan sokongan penuh kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Nizar diarah meletak jawatan sebagai Menteri Besar minggu lalu oleh Sultan Azlan Shah berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pakatan itu meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Nizar enggan meletak jawatan dan bertegas beliau masih Menteri Besar yang sah dan terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Kerusi Bukit Gantang kosong berikutan kematian Ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, 50, daripada Pas hari ini akibat sakit jantung.

Adalah terlalu awal untuk mendabik dada BN berupaya merampas kerusi Parlimen Bukit Gantang jika pilihan raya kecil diadakan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata politik Perak mula menampakkan angin perubahan berikutan penolakan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang gagal membela nasib mereka.

Ini berdasarkan keadaan politik semasa membabitkan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perubahan corak pemikiran rakyat Perak memberi gambaran awal terhadap keupayaan BN merampas kerusi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda Umno dan BN akan menggerakkan seluruh jentera bagi membantu kempen ke arah memastikan BN berjaya menawan kerusi berkenaan.

"Berdasarkan kematangan penduduk Perak berpolitik dengan menolak kerajaan Pakatan Rakyat, saya yakin BN mempunyai peluang cerah mendapatkan semula kerusi Parlimen Bukit Gantang,” kata Hishamuddin.

Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Roslan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan menewaskan calon BN yang juga Bendahari Umno, Datuk Abdul Azim Zabidi dan calon Bebas, Mohganan P Manikam dengan majoriti 1,566 undi.

Allahyarham meraih 20,015 undi berbanding Azim (18,449) manakala Mohganan hilang wang pertaruhan apabila cuma mendapat 872 undi.

No comments: