Monday, November 24, 2008

MAT SAID BAIK HATI...

Orang Putih kata ‘dont judge the book by its cover’ – ramai menggambarkan Datuk Ahmad Said sebagai orang yang ‘pemanas’ dan kadangkala ‘samseng’.

Menteri Besar itu ‘baran’ ada bertempat. Sebenarnya dia baik hati, cakaplah baik-baik jangan tuduh tidak menentu, nanti malu sendiri.

Tidak percaya?

Tanya orang Pas, tidak payah tanya orang UMNO.

Orang Pas dan berterima kasih kepada MB berkenaan.

Menurut laporan Sinar Harian kelmarin, peluang menggunakan Dewan Datuk Seri Amar Diraja, di sini amat dihargai oleh pemimpin Pas daerah ini terutama setelah diberi peluang menjayakan Program Ijtimak Pas Kali ke 12 yang berlangsung baru-baru ini.

Ijtimak Pas kali ke 12 telah berlangsung di dewan tersebut yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang serta lebih 10,000 anggota dan penyokong parti itu dari seluruh negara.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kemaman, Ismail Harun berkata, situasi yang berlaku menggambarkan sikap keterbukaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said untuk menerima program pihak pembangkang di dewan berkenaan.

Katanya, sikap terbuka Menteri Besar memberi kelulusan penggunaan dewan itu kepada pihak pembangkang mencerminkan keperibadian beliau yang wajar dihormati.

“Perjuangan dalam Islam tidak pernah mengira tempat, namun peluang yang ada tidak harus dipersia-siakan. Saya bersyukur melihat sambutan hebat yang diberi oleh penyokong Pas yang hadir dalam jumlah yang begitu ramai,”katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ismail berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan Majlis Jamuan Kesyukuran meraikan lebih 500 petugas Ijtimak Pas kali ke 12 yang berlangsung di pekarangan Pejabat Pas Bandar Chukai.

Katanya, hasil kerja kuat pimpinan Pas peringkat negeri Terengganu yang berhajat menggunakan Dewan Datuk Seri Amar Diraja akhirnya tercapai dan beliau berharap peluang yang sama akan diberikan lagi pada masa akan datang.

“Dalam sejarah, pihak kami pernah menggunakan Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman ( MPK ) untuk program yang sama pada tahun 2000. Saya berharap peluang seperti ini akan diberikan lagi pada tahun 2012 untuk melangsungkan Ijtimak Pas Kali ke 13,” katanya.

Ismail turut mengambil peluang untuk menghulurkan salam terima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan program tersebut terutama kepada Menteri Besar.

Hadir sama pada majlis jamuan kesyukuran itu, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kemaman, Hanafiah Mat dan Pengarah Ijtimak Pas kali ke 12, Abdul Wahid Endut.

No comments: