Saturday, June 13, 2009

‘CAKNA RAKYAT’ PENDEKATAN PEMUDA UMNO

Ada dua perkara menarik mengenai keputusan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam mendekati pengundi Manek Urai.
Pertama slogan ‘cakna rakyat’ memang sesuai untuk kempen menghadapi pilihan raya kecil 14 Julai nanti. DUN tersebut kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaacob, meninggal dunia akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 6 Julai depan sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, 14 Julai sebagai hari pembuangan undi.
Kedua, jentera akan diketuai oleh Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim adalah tepat.
Jelas di sini, Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin tahu menempatkan dirinya serta menyesuaikan dengan keadaan di Manek Urai.Khairy mungkin sudah belajar pada pilihan raya umum lalu, rakyat Kelantan tidak gemar dengan kehadirannya di negeri itu.

Malah, ramai yang mengatakan ‘menyampah’ dengan gelagat Khairy ketika itu bersama dengan Pemuda UMNO Kelantan. Pendekatannya di Kelantan dikatakan tidak sesuai.
Orang UMNO sendiri pun kurang gemar, termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Dengan keputusan mengambil pendekatan ‘Cakna Rakyat’ terutama dalam melaksanakan program bagi mendekati hati golongan muda dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Julai ini akan memudahkan sedikit tugas Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Mesyuarat Exco pergerakan itu petang Khamis lalu memutuskan Razali mengetuai jentera pemuda berkempen.

Kata Khairy: “Kita yakin dalam pilihan raya kecil ini peluang bagi Barisan Nasional (BN) semakin cerah sekiranya kita dapat memilih calon yang tepat dan kita akan menggunakan pendekatan berbeza sikit, pendekatan yang lebih saintifik dari segi kajian sikap untuk peringkat pemuda dapat dilaksanakan dengan baik,” kata Khairy.

Berhubung dengan calon dari kalangan pemuda, Khairy berkata, “Pemuda sokong calon yang diterima oleh rakyat dan pengundi Manek Urai, kita tidak kisah calon itu datang dari pemuda, wanita atau mana-mana pun, kita akan sokong.”

Pergerakan Puteri UMNO pula akan menggerakkan 300 jentera tempatannya untuk menawan kira-kira 3,000 golongan pengundi wanita muda dalam pilihan raya kecil itu.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, jentera terbabit akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dan alam maya untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dapat menawan kembali DUN tersebut.

Friday, June 12, 2009

MANEK URAI – CALON TERBAIK ADA...

Agak menarik perbualan telefon dengan seseorang malam semalam mengenai calon di Manek Urai.

Menurut ‘orang ini’ Barisan Nasional (BN) boleh menang jika letak calon anak tempatan walaupun tinggal di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, ini bukan strategi PAS untuk mengalahkan UMNO tetapi pandangan ikhlas beliau.
Lagipun, katanya orang yang dimaksudkannya bukan calang-calang.
Ini kerana dia bukan sahaja dikenali malah bapa dan ibunya pernah jadi wakil rakyat di kawasan Kuala Krai.
“Bawa balik orang ini, BN akan menang. Saya yakin,” katanya berseungguh-sungguh.
Ironinya, dia ini penyokong kuat PAS. Berkarat Hijau, kata orang Kelantan.
Saya yakin kepada orang yang saya berbual melalui telefon kerana pandangan dan pengalamannya banyak dipakai oleh pemimpin PAS.
Apa salahnya kalau mengambil pandangan beliau jika ikhlas.
“Beri namanya kepada Datuk Seri Mohd Najib...saya yakin BN akan menang,” katanya.
Saya tidak pasti kerana rakan saya itu mahu membantu BN di Manek Urai.

Kebetulan, seorang penjenguk posting saya bertajuk ‘Manek Urai – Mencari Calon Cakna Rakyat’ pada 9 Jun, Nik Amir membuat ulasan berikut:

“Bagitahu Dato' Pa, jangan pilih pimpinan tempatan untuk jadi calon Manik Urai. Dendam mendendam amat tinggi dikalangan ahli UMNO tempatan. Buat polisi cari anak tempatan yang berkerja di KL untuk balik bertanding. Macam Dato' Pa buat pada tahun 2004 dahulu.

Orang ini tidak ada musuh. masing-maing kabilah akan membantu habis-habisan untuk menunjukkan komitmen kepada orang baru....adalah peluang sikit..menang belum tentu.”
Sedikit sebanyak pendapat Nik Amir dan rakan yang saya berbual melalui telefon itu ada persamaan.

Rasanya pendapat Nik Amir sedikit bertentangan dengan cadangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin semalam yang mahukan anak tempatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Julai depan sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, 14 Julai sebagai hari pembuangan undi berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob (Pas), akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.

Saya bersetuju 100 peratus jika anak tempatan diutamakan sebagai calon Barisan Nasional yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
Tidak syak lagi, dia akan kenal penduduk tempatan dan penduduk tempatan juga mengenalinya.
Difahamkan dalam sejarah pilihan raya di Manek Urai, anak tempatan belum pernah diletakkan sebagai calon.

Banyak pihak berpendapat, faktor utama untuk menang dalam pilihan raya kecil di sini dikatakan bukan bergantung kepada pengaruh parti tetapi lebih terarah kepada ‘kekuatan’ calon.

Kerana itu pandangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mengenai calon yang semestinya anak tempatan saya sokong seratus peratus.

Namun, sekiranya anak tempatan yang ditonjolkan akan menyebabkan ‘perpecahan dan pertelingkahan’, buat apa diletakkan calon sedemikian.

Kata Awang Adek di Pasir Puteh semalam, anak tempatan yang dapat diterima meluas oleh pengundi wajar diberi keutamaan dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau percaya, ia langkah yang sebaik-baiknya bagi memastikan pengundi dapat diyakinkan dalam proses melakukan perubahan di kawasan itu.

Bagi Awang Adek, ia penting bukan hanya diterima semua lapisan rakyat tetapi berkeupayaan melaksanakan misi Perdana Menteri iaitu konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan , Pencapaian Diutamakan.

Katanya, BN akan menggunakan pendekatan terbaik dalam memenangi hati rakyat untuk kembali mencetuskan satu gelombang baru dalam politik di negeri ini.