Thursday, October 10, 2013

Ketua Pembangkang Selangor Dapat Elaun RM8,620

Datuk Shamsuddin Lias....elaun RM8,620.
Pertama kali dalam sejarah, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bakal menikmati elaun dan keistimewaan tambahan berjumlah RM8,620 sebulan.

Menerusi keistimewaan tersebut, Ketua Pembangkang Selangor bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja serta kereta rasmi kerajaan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan untuk memberikan keistimewaan tambahan itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat semalam (9Oktober 2013) mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan peranan semak dan imbang kepada kerajaan pemerintah sedia ada.

"Pemberian elaun dan keistimewaan ini sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi," katanya hari ini.

Menurut Abdul Khalid kelulusan tersebut akan dikuatkuasakan selepas usul mengenainya dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke-13 yang dijangka mula bersidang pada 19 November depan.

Selepas PRU-13, Barisan Nasional (BN) yang menjadi parti pembangkang di Selangor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baharu, menggantikan Datuk Mohd Satim Diman. MStar

Thursday, September 19, 2013

Perkasa Desak Khalid Ibrahim Jelas Mesyuarat Exco, Pemukiman Di Bangkok


Dua NGO di Selangor mendesak Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim memberi penjelasan berhubung tindakan kerajaan negeri mengadakan mesyuarat exco dan permukiman di Bangkok, Thailand bermula semalam.

Yang Dipertua PERKASA Selangor Abu Bakar Yahya berkata Khalid perlu memberi penjelasan berhubung maksud tersirat program 'retreat' yang bermula semalam dan hari ini, lapor Berita Harian hari ini.

"Penjelasan itu penting bagi menafikan dakwaan mereka pergi ke sana juga bertujuan menziarahi mendiang Chin Peng, yang mati Isnin lalu.

"PERKASA Selangor berharap pemergian mereka ini tiada helah lain. Apapun biar rakyat menilai sama ada benar-benar untuk rakyat negeri ini atau sebaliknya," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Dalam laporan yang sama, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor Datuk Sohaimi Shahadan mempersoal keperluan tindakan kerajaan negeri itu dan menganggap tindakan tersebut langsung tiada keperluan.

"Abdul Khalid perlu perjelas kerana sebelum ini beliau mendabik dada kononnya menguruskan belanjawan berhemat.

Lawatan seperti itu pasti membabitkan implikasi kewangan kerana pegawai kerajaan negeri juga turut dibawa.

"Dimana punca kewangan untuk lawatan itu kerana jika tidak, ia pasti dianggap membazirkan wang rakyat," katanya. Sementara itu, akhbar itu juga memetik sumber di Pejabat Menteri Besar Selangor sebagai berkata permukiman itu telah diatur lebih dua minggu lalu dan menafikan lawatan berkenaan mempunyai kaitan dengan kematian Chin Peng.

"Ia sudah dirancang pejabat Dewan Undangan Negeri. Selain menteri besar dan exco, setiausaha kerajaan negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Penasihat Undang-undang Negeri Datin Paduka Zauyah T Loth Khan, dan Pegawai Kewangan Datuk Noordin Sulaiman turut menyertai program itu di sana.

"Mesyuarat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) serta mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) juga diadakan di sana hari ini (semalam) dan esok (hari ini). Abdul Khalid dijangka pulang ke tanah air esok," kata sumber dalam laporan itu.