Friday, February 10, 2017

UMNO Di Bawah Najib Pengkhianat Melayu, Malaysia - Dr Mahathir

 

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Annuar Ibrahim bersetuju Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus berundur.

Dr Mahathir ketika ditemui selepas pertemuan itu berkata, mereka komited untuk mengukuhkan pembangkang dalam keadaan keadaan politik semasa negara.

"Kita (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) komited untuk mengukuhkan pembangkang," kata Pengerusi BERSATU itu.

"Mengenai pertemuan kami, kami berdua bersetuju mengenai hal-ehwal politik semasa negara, dan bahawa PM Najib harus pergi kerana dia menjual negara ini," katanya.

Ini adalah pertemuan kali kedua membabitkan kedua-dua tokoh berkenaan.

Bekas Perdana Menteri itu bertemu selama 45 minit dengan Anwar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Pertemuan pertama Dr Mahathir-Anwar juga di mahkamah.
Dr Mahathir membuat kejutan dengan kehadiran beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 11.45 hari ini dan duduk di samping Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Kes di mahkamah itu berhubung saman Anwar terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pertemuan tersebut berlangsung ketika  mahkamah berhenti rehat.

Terdahulu sebelum prosiding mahkamah bermula presiden PPBM yang juga bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bertemu Anwar.

Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah memberitahu Hakim Azizul Azmi Adnan di mahkamah bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk memanggil Mahathir dan Muhyiddin sebagai saksi mereka.

Dalam blognya pula Dr Mahathir berkata UMNO di bawah presidennya (Datuk Seri Najib Razak) sekarang  adalah pengkhianat kepada bangsa Melayu dan negara amnya, kata bekas presiden parti itu.

Dr Mahathir mengulas kenyataan presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui kejayaan kerajaan pimpinan UMNO-BN dalam mengemudi negara.

"Apabila Muhyiddin mengaku bahawa UMNO dan BN telah membangun dan memaju negara Malaysia, maka pembodek Najib pun gembira dengan pengakuan ini.

"Bahawa kenyataan ini adalah berkenaan UMNO dan BN dahulu yang memerdeka dan membangun Malaysia, tidak segan-segan diterima sebagai kepujian kepada UMNO dan BN sekarang.


"Malaysia dahulu dikenali sebagai Asian Tiger. Tetapi sekarang Malaysia dikenali seluruh dunia sebagai negara rasuah yang tertinggi.

"Juga ia didakwa diperintah oleh seorang kleptokrat, iaitu pemerintahan penyamun dan penyangak yang mencuri duit rakyat," kata penasihat PPBM itu di blognya hari ini.

Isnin lalu, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata kemajuan yang dilaksanakan UMNO-BN, menerusi pimpinannya yang silih berganti, tidak boleh dinafikan.

Berucap di Sungai Lembing, Pahang, Muhyiddin berkata Malaysia bermula daripada sebuah negara yang tidak mempunyai apa-apa selepas merdeka.

Muhyiddin turut mengakui 'agak janggal' bagi orang mendengar beliau berkata demikian kerana kedengaran seolah-olah beliau masih 'berada dalam kerajaan'.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata UMNO yang dimaksudkan Muhyiddin bukan UMNO pimpinan Najib sekarang.

"UMNO ini (kini) dikenali sebagai kleptokrasi pimpinan penyangak dan pencuri yang memberi nama yang amat buruk kepada Malaysia di seluruh dunia.

"UMNO Najib ini adalah pengkhianat kepada bangsa Melayu terutamanya dan kepada Negara amnya.

"Penyokong-penyokong Najib, sama ada dibeli atau tidak oleh Najib, tidak kurang dari mengkhianati bangsa dan negara," kata Mahathir.

Sementara itu, Amnesty International menggesa "pembebasan segera dan tanpa syarat" bekas ketua pembangkang itu pada ulang tahun kedua pemenjaraan beliau.

"Penganiayaan politik berterusan terhadap Anwar Ibrahim adalah simbolik kepada tindakan keras Malaysia terhadap hak asasi manusia.

"Beliau telah secara tidak adil menghabiskan dua tahun yang lalu di penjara atas tuduhan yang direka-reka bertujuan untuk menutup mulut beliau dan menamatkan kerjaya politik beliau," dakwa Josef Benedict, Timbalan Pengarah Amnesty International bagi Asia Tenggara dan Pasifik dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 Februari 2015, Anwar gagal di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan mahkamah rayuan yang menterbalikkan keputusan pembebasan beliau daripada tuduhan liwat dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.


Anwar pada mulanya dibebaskan pada 9 Januari 2012 selepas Mahkamah Tinggi mendapati keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ketua Umum PKR itu kekal menyatakan pertuduhan itu bermotifkan politik.

Daripada Malaysiakini

No comments: