Monday, October 3, 2016

Isu Persempadanan Semua Pilihan Raya – Perlukah Saman SPR?


Perlukah sampai merujuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke mahkamah dalam isu pesempadanan semula pilihan raya?

Kenapa cepat sangat membuat keputusan, sedangkan masa masih ada untuk membantah?

Bimbang akan kalah pilihan raya atau memang cadangan SPR tidak menepati janji atau memang mengikut kesesuaian semasa.

SPR mencadangkan semua negeri - kecuali Sarawak - melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya menjelang pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Secara keseluruhan 128 daripada 222 kawasan parlimen sedia ada akan terlibat dengan persempadanan semula itu.

Tiga negeri yang paling banyak mengalami perubahan ialah Johor (21 kawasan pilihan raya), Selangor (18) dan Perak (17).

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

SPR sedang mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula 15 September hingga 14 Oktober.

Banyak pihak mengatakan pertikaian pelbagai pihak timbul kerana SPR merangka persempadanan semula demi kelangsungan politik UMNO.

Abdul Ghani....SPR terbuka
Persoalan ditimbulkan kononnya langsung tidak mencerminkan semangat demokrasi “satu orang, satu undi”, malah didakwa melanggar peruntukan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Jadual Ketiga Belas memperuntukkan kewajaran (perbezaan jurang pengundi) antara kawasan-kawasan luar bandar, tetapi jurang perbezaan pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar perlu sentiasa merapat dan tidak melebar.

Bagaimanapun ternyata apa yang dicadangkan contohnya  dua kawasan Subang Jaya (bandar) dan Sungai Air Tawar (luar bandar) di Selangor, jurang perbezaan pengundi di antara kedua-dua kawasan tersebut kini telah melebar berbanding Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Melalui cadangan persempadanan itu, menurutnya, Sungai Air Tawar mengalami penurunan jumlah pengundi iaitu 15,033 berbanding 15,187 pada PRU-13 lepas, manakala Subang Jaya mencatatkan peningkatan jumlah pengundi daripada 61,688 kepada 66,059.

Persoalannya mengapa SPR meluaskan dan bukannya merapatkan jurang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor?

Selain pembangkang, parti komponen Barisan Nasional, MCA mendakwa hampir 80 peratus kawasannya bakal terjejas ekoran daripada usul persempadanan semula itu.

Malah cadangan terbaru SPR dikatakan turut membelakangi prisip yang pernah dibentangkan mantan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada tiga tahun lalu, untuk memastikan kawasan pilihan raya akan dihadkan kepada 100,000 jumlah pengundi.

Pada Disember 2013, Abdul Aziz seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia berkata, SPR akan berusaha untuk memecahkan kawasan-kawasan pilihan raya bagi memastikan ia hanya mengandungi tidak lebih 100,000 pengundi.

Kawasan-kawasan yang mempunyai lebih 100,000 pengundi ialah Damansara (Petaling Jaya Utara), Bangi, Klang, Petaling Jaya (Petaling Jaya Selatan), Subang (Kelana Jaya), Gelang Patah, Kota Raja, Pasir Gudang, Kota Melaka, Kuala Terengganu, Sungai Petani, Tumpat dan Kapar.

Semalam, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengesahkan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan merujuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke mahkamah.

Langkah itu dibuat kerana gabungan pembangkang itu berpendapat cadangan pesempadanan semula pilihan raya oleh SPR dianggap tidak adil.

Katanya di peringkat kerajaan Selangor, ramai anggota parlimen - termasuk DAP - bukan saja bantah persempadanan, malah akan saman SPR.

Perkara itu ditimbulkan beliau ketika menyertai sambutan ulang tahun pertama Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Menurut Nurul Izzah yang juga anggota parlimen Lembah Pantai persempadanan semula itu - jika diterima nanti - akan menyaksikan BN memperoleh semula penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Beliau memberi contoh persempadanan semula itu juga menyaksikan beberapa pengundi di Lembah Pantai - termasuk Brickfields 0 dikeluarkan dari kawasan asal, sebaliknya pengundi di Bukit Aman dimasukkan ke kawasannya.

Sebelum ini, pada 24 September lalu, mStar melaporkan Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR  berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan isu diambil susulan kegagalan suruhanjaya itu menjawab isu utama yang dibangkitkan pihaknya pada Rabu lalu.

pada 23 September lalu, beliau menerima jawapan daripada SPR yang sememangnya gagal untuk menjawab isu-isu utama yang dibangkitkan dan ia memberi gambaran bahawa mereka tidak mempunyai justifikasi untuk lakukan persempadanan semula.

"SPR mesti bertindak dengan cara yang bertanggungjawab dan mengabaikan persoalan serius mengenai perkara-perkara asas dan penting dalam sistem demokrasi.

"Berdasarkan tindakan SPR dalam surat mereka, saya dan kerajaan negeri akan mengarahkan peguam untuk melihat semua pilihan undang-undang yang ada," katanya menerusi kenyataan.

Nurul Izzah menegaskan, sesiapa yang sudah bosan atau "geram" dengan kepimpinan sekarang perlu mendaftar untuk menjadi pengundi serta melakukan apa yang termampu untuk memproses, termasuk menyertai himpinan BERSIH 5 pada 19 November ini.

Aanggota parlimen AMANAH Mohd Hatta Ramli mendakwa SPR menjadi alat kepada BN untuk menggagalkan pencapaian HARAPAN melalui persempadanan semula itu.

HARAPAN Wilayah Persekutuan tidak menunggu lama untuk mengambil keputusan membantah cadangan berkenaan kerana memberi kesan negatif kepada masyarakat dan terlalu mengikut pecahan kaum.

"Kita dalam HARAPAN Wilayah Persekutuan akan mengemukakan bantahan di semua kawasan di termasuk bagi Putrajaya.

Menurutnya, AMANAH  tidak akan benarkan SRP mendapat jalan mudah untuk menjadi ‘Pak Turut’ kepada BN.

Pada 26 September lalu, Setiausaha SPR  menegaskan, kritikan dan bantahan yang dikemukan berhubung isu persempadanan semula kawasan pilihan raya akan melalui beberapa proses sebelum cadangannya dimuktamadkan.

Abdul Ghani menjelaskan pihaknya terbuka dan masih menunggu bantahan daripada semua pihak yang terlibat.

"Jika wujud rasa tidak puas hati berhubung cadangan ini, kemukakan bantahan. Semua pihak sama ada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pengundi berhak untuk menyuarakan bantahan.

"Sebab itu kita adakan pameran fasa pertama ini. Kita beri peluang kepada semua pihak untuk kemukakan pandangan kerana ia sebahagian daripada proses yang mengikut undang-undang," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi negatif parti-parti politik termasuk BN berhubung cadangan berkenaan.

No comments: