Sunday, November 13, 2016

Konvensyen Pakatan Harapan Memulakan Langkah Jitu, Semangat Tinggi Lawan BN


Semalam berbagai momen dan ucapan menarik berlaku  sempena konvensyen Pakatan Harapan 2016.

Antaranya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat memakai lencana 'bebas Anwar sekarang' di bahagian  poket kirinya.

Mahathir yang ditemani isterinya Tun Dr Hasmah Mohd Ali dilihat duduk sebelah menyebelah sepanjang konvensyen berlangsung.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam ucapannya mengesahkan hasrat parti itu untuk  menjadi sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan.

Menurutnya, tidak ada sebab PPBM tidak bersetuju dengan perjuangan Pakatan Harapan memandangkan ia berpegang kepada dasar-dasar yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. 
 
Malah, dilaporkan Sinar Harian, Suasana panas menyelubungi Konvensyen Pakatan Harapan 2016 hari ini apabila sesetengah peserta konvensyen berteriak melahirkan rasa tidak puas hati.

Ini kerana pandangan mereka terhadap Pengerusi PPBM  yang tiba tepat jam 11.47 pagi semalam dihalang oleh petugas media dan peserta ketika menyambut kehadiran bekas Perdana Menteri itu.


Rata-rata peserta teruja menyambut kedatangan beliau bersama isterinya, Dr Siti Hasmah. Kekecohan berterusan apabila peserta dan petugas media berterusan merakamkan foto Mahathir di bahagian tempat duduk VVIP.

Ia memaksa wakil Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Aiman Athirah Aljundi menghentikan pidatonya yang sedang berlangsung buat sementara waktu.

Selain itu, dalam ucapannya Dr Mahathir menuduh parti Islam itu makan “dedak”. Ini menyebabkan ada laporan bahawa sebarang kemungkinan PAS bergabung untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang musnah.

Berucap di hadapan lebih 1,000 orang di konvensyen Pakatan Harapan itu  bekas perdana menteri itu berkata mana-mana parti yang menghalang matlamat pembangkang untuk menewaskan BN – realitinya ia adalah penyokong kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir tidak menamakan parti mana, namun PAS yang masih belum bersetuju untuk sekutu pilihan raya dengan DAP, PKR dan Amanah bagi menentang BN.


Bagaimapaun, menurut FMI, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, selain bersama Pakatan Harapan, PPBM ) juga sedang menunggu untuk membentuk kerjasama secara rasmi dengan PAS.

Katanya, sebagai parti baharu, sudah menjadi dasar PPBM untuk menjalinkan kerjasama dengan semua parti politik.

Beliau berkata pertemuan pertama antara PPBM dengan PAS berjalan baik dengan pihaknya kini sedang menunggu untuk mengadakan perbincangan seterusnya.

“PAS juga menunjukkan kesanggupannya untuk berbincang dengan kita berhubung pilihan raya seterusnya, misalnya soal 1 lawan 1. Perbincangan pertama sudah diadakan.

“Sekarang (PPBM) menunggu isyarat bila kita akan dapat kembali duduk berbincang, sebelum memeterainya mungkin melalui perjanjian persefahaman. Saya akan menunggu respons mereka,” katanya pada sidang media selePAS konvensyen itu.


Pada 7 November lalu, Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan partinya memang berbincang dengan PPBM berhubung pilihan raya akan datang, namun perlu berbincang secara lebih lanjut.

Di sebalik kritikan terhadap PAS oleh Dr Mahathir itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan walaupun PAS tidak menyertai konvensyen Pakatan Harapan hari ini, namun beliau percaya bahawa parti itu 'bersama'  dengan  gabungan itu.

Ujarnya,  ini kerana menerusi kenyataan Mursyidul Amnya, Hashim Jasin yang sebelum ini telah menawarkan kerjasama politik dengan mana-mana parti dalam gabungan itu bagi menentang BN.

"Kita memang jemput PAS...mereka pilih tak datang  tapi saya baca kenyataan  akhbar Mursyidul Am PAS untuk pilih satu lawan satu," katanya dalam sidang media konvensyen berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ketidakhadiran PAS ke konvensyen itu.  Sebelum ini, PAS menerusi kenyataan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang  bertegas PAS  tidak akan menghadiri konvensyen tersebut.


Apapun cadangan Dr Mahathir bahawa hanya satu cara saja untuk menewaskan BN  iaitu dengan bersatu – pakatan pembangkang perlu berdaftar sebagai satu parti, guna manifesto dan logo yang sama tetap sebagai langkah jitu dan bersemangat tinggi menentang BN.

Menurutnya, pakatan pembangkang perlu bersatu dan meletakkan seorang calon dalam pilihan raya tanpa mengira daripada DAP, PKR, Amanah atau PPBM.

“Dia adalah calon kita dan kita akan sokong (dalam pilihan raya). Dengan itu kita akan dapat kemenangan.

  “Kalau kita teragak, (kalau) guna (logo) mana-mana parti mungkin ada yang tak sanggup undi. Mungkin dia sokong pakatan tapi (kata) ‘undi parti tu kami tak sanggup’,” katanya ketika berucap di konvensyen pertama pembangkang itu.


No comments: