Thursday, November 17, 2016

MLA 1MDB – Mungkinkah Malaysia Berdepan Tindakan Sekatan Antarabangsa?


Apakah Malaysia boleh dikenakan tindakan umpamanya sekatan tertentu kerana enggan membantu Switzerland dalam siasat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Walaupun Malaysia tidak boleh dihukum kerana enggan membantu Switzerland (Swiss)  di bawah bantuan undang-undang bersama (MLA) berhubung siasatan ke atas 1MDB, namun negara dan Pejabat Peguam Negara Malaysia mengundang pelbagai pertanyaan dan tindakan.

MLA adalah perjanjian persendirian antara dua negara berdaulat sama ada mereka boleh bersikap memilih apabila menghulurkan bantuan, atau menolak, tanpa memberi sebarang sebab.

Menghairankan ialah ketika Malaysia sebelum ini berdolak-dalik mengenai MLA dan kini enggan bekerjasama, kerajaan Republik Singapura menyatakan mahu bekerjasama dalam kadar yang amat segera ('expeditiously) bagi tujuan itu.

Pada 12 April lalu, Pejabat AG Singapura (AGC) berkata pihaknya menerima permintaan AG Switzerland (OAG) bagi kerjasama MLA dalam siasatan 1MDB dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.

Peguam S N Nair,  mengulas keengganan Pejabat Peguam Negara melayan permintaan Switzerland itu, menjelaskan  secara diplomatiknya tidak betul kerana tidak menawarkan bantuan apabila diminta kerana terdapat perjanjian bersama antara dua  kerajaan.


Menurutnya,  di mana perjanjian antarabangsa atau konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu  (PBB) terlibat, Malaysia boleh menghadapi sekatan antarabangsa jika pihak berkuasa di negara ini gagal menghormatinya.

“Dalam kes itu, Malaysia perlu mematuhi kepada mereka kerana kita menandatangani dan mengesahkan perjanjian tersebut,” kata Nair.

Beliau hanya merujuk  kepada kedudukan undang-undang dalam perkara 1MDB.

Beliau menyatakannya mengulas kenyataan Peguam Negara Switzerland,  Michael Lauber (gambar atas) minggu lepas yang pihak berkuasa Malaysia tidak akan membalas permintaan negara itu untuk menyiasat penyelewengan dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Mengulas keengganan Pejabat AG  bekerjasama dalam isu MLA dengan Swiss ini, bekas Hakim Mahkamah Rayuan hairan dengan keputusan Malaysia yang menolak permohonan perjanjian MLA  daripada OAG dalam siasatan ke atas 1MDB itu.

Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, yang berkhidmat dengan Mahkamah Rayuan sepanjang tempoh 2009-2015, mengakui beliau tidak berkongsi maklumat sulit yang mungkin dimiliki Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkaitan dengan siasatan 1MDB di negara ini.

Namun, Mohd Hishamudin mendapati sukar untuk memahami bagaimana bantuan kepada pihak berkuasa Switzerland boleh "menjejaskan" siasatan jenayah yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara ini seperti yang didakwa oleh Apandi.


"Apa yang 'prejudis' bagi siasatan pihak berkuasa? Sebaliknya, Malaysia harus bersemangat memberi apa jua bantuan kepada pihak berkuasa Swiss, terutama sekali apabila pihak berkuasa Swiss berkata penyelewengan dana 1MDB mungkin melangkaui AS$4.8 bilion yang diumumkan (oleh pihak berkuasa Swiss) awal tahun ini.

"Sudah pasti pemberian bantuan oleh Malaysia, seperti yang diminta oleh pihak berkuasa Swiss, akan dilakukan dengan penuh rahsia.

"Kita juga seharusnya menyambut tawaran pihak berkuasa Swiss untuk berkongsi hasil siasatan ke atas 1MDB dengan pihak berkuasa Malaysia," kata Mohd Hishamudin kepada Malaysiakini ketika dihubungi14 Nov 2016 lalu.

Pada 11 November lalu, secara rasmi Malaysia sekali lagi menolak permintaan Switzerland mendapatkan MLA bagi menyiasat dakwaan rasuah berkaitan 1MDB.

Penolakan itu diumumkan oleh Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, malah berkata keputusan Kuala Lumpur itu tidak akan menghalang siasatan terbabit kerana mereka turut bekerjasama dengan negara lain dalam kes berkenaan.

“Kami hormat keputusan bebas Malaysia berhubung perkara ini. Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia kekal bebas menggunakan maklumat yang diberikan dalam permohonan bantuan Switzerland untuk siasatan mereka,” kata Lauber yang mengesahkan laporan Financial Times (FT).

“Apa yang pasti ialah prosiding jenayah kami sendiri untuk mengekalkan integriti sistem kewangan Swiss akan diteruskan. Kami akan meminta bantuan negara-negara lain, contohnya Singapura yang kita sudah kerjasama dengan baik, bidang kuasa Eropah lain dan Amerika Syarikat.”

FT memetik Jabatan Peguam Negara Malaysia sebagai berkata, ia tidak boleh menerima permohonan Switzerland kerana siasatan jenayah berterusan Polis Diraja Malaysia ke atas perkara berkaitan 1MDB.

Malaysia komited bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa dan “tiada isu Malaysia menyekat siasatan jenayah Switzerland,” kata jabatan itu kepada FT.

Pejabat Lauber berkata, Januari lalu ia mengesyaki penyelewengan daripada 1MDB berjumlah kira-kira AS$4 bilion dan bulan lalu mendakwa skim Ponzi mungkin ditubuhkan untuk menyembunyikan dakwaan penipuan AS$800 juta.

Pendakwa raya persekutuan Swiss membuka siasatan jenayah terhadap duA bank swasta Switzerland dan empat individu tidak dikenali berhubung kaitan mereka dengan 1MDB.

S N Nair mengulas lanjut mengenai keengganan Pejabat AG Malaysia itu menjelaskan, walaupun berdepan risiko tindakan diplomatic, ia adalah budi bicara Malaysia dalam kes 1MDB untuk tidak melanjutkan bantuan kepada pihak Switzerland.

“Mereka hanya berkata di bawah rangka kerja undang-undang, mereka tidak dapat membalasnya,” Lauber memberitahu Financial Times UK (FT) dalam satu temu bual.

FT melaporkan Pejabat Peguam Negara Malaysia menafikan ia cuba menggagalkan siasatan Switzerland tetapi berkata negara “polis Malaysia meneruskan siasatan jenayah berhubung perkara berkaitan 1MDB”.

FT memetik Pejabat Peguam Negara sebagai berkata “Peguam negara berpendapat permintaan ini boleh menjejaskan perkara jenayah di Malaysia”, sambil menambah “tiada isu Malaysia menyekat siasatan jenayah Switzerland”.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 28 Oktober, mulanya mengatakan pihaknya dalam proses menjawab permintaan ked-2 MLA oleh Switzerland.


Ini berlaku selepas Apandi berkata beliau tidak menerima permohonan pertama.

No comments: