Sunday, August 15, 2010

ISU KEPALA SURAT JEJASKAN SOKONGAN TERHADAP DAP?

Oleh Alan Ting (Bernama, 14 Ogos 2010)

Para penganalisis politik berbeza pendapat tentang sama ada kekecohan berhubung isu penyalahgunaan kepala surat DAP di Selangor baru-baru ini akan menjejaskan sokongan orang ramai terhadap parti yang mengganggotai Pakatan Rakyat itu.

Dr Sivamurugan Pandian percaya isu itu boleh menjejaskan imej DAP, tetapi James Chin pula berpendapat sebaliknya.

Kekecohan itu tercetus selepas anggota Majlis Perbandaran Klang Tee Boon Hock (gambar kanan) didapati menggunakan kepala surat DAP kepunyaan anggota exco Selangor Ronnie Liu (gambar kiri) untuk menulis surat sokongannya. Akibat perbuatan itu, Tee dipecat daripada jawatannya.

Berikutan isu itu, DAP turut memecat Tee daripada parti itu, manakala Liu pula diberi amaran keras oleh jawatankuasa disiplin parti kerana gagal mengurus pejabatnya seperti yang diharapkan oleh orang ramai.

Jawatankuasa itu juga meminta speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim supaya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan atau berkomunikasi melalui "tweeter" setelah beliau didapati menyebarkan maklumat melalui perkhidmatan itu, dengan menulis "OMG, the real culprit freed", berikutan pemecatan Tee.

Ada pihak berpendapat keputusan yang diambil jawatankuasa itu adalah tepat untuk mengelak daripada tercetusnya perbalahan berikutan isu penyalahgunaan kepala surat berkenaan.

Sesetengah pihak pula berpendapat kini, DAP perlu menangani masalah berkaitan integriti dalam pentadbirannya untuk memenuhi harapan para penyokongnya.

Dr Sivamurugan berkata sebelum 2008, orang ramai tidak begitu peduli tentang apa yang berlaku dalam DAP.

"Ketika itu, mereka tidak begitu mengambil kesah, tapi kini mereka mengikuti dengan cukup teliti kerana ingin berhati-hati dengan undi yang akan mereka berikan pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata selama ini, DAP meuwar-uarkan bahawa kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (CAT) menjadi dasarnya dalam mentadbir kerajaan, seperti yang dilakukannya di Pulau Pinang selepas pilihan raya umum 2008.

Tetapi, kata Dr Sivamurugan, DAP tidak boleh menafikan bahawa wujud "keretakan, penjahat atau puak" dalam parti itu.

"Perkara yang akan menjadi isu ialah bagaimana DAP boleh membiarkan perkara itu berlaku, sedangkan ia memperjuangkan CAT," kata beliau.

Bagaimanapun, Chin pula yakin bahawa kes Tee tidak memberi kesan langsung terhadap para penyokong tegar parti itu.

Beberapa anggota parti itu mendedahkan bahawa perkara tersebut telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP pada Khamis malam, yang dihadiri semua anggota CEC, kecuali Teng.

Malah, Liu diminta meninggalkan mesyuarat itu apabila perkara berkenaan dibincangkan, kata seorang pemimpin DAP.

Ada pihak berpendapat bahawa keputusan yang diambil jawatankuasa disiplin DAP itu samalah seperti memberi kad kuning kepada Liu dan amaran lisan kepada Teng dalam satu perlawanan bola sepak.

Pada waktu yang sama, ada pula pihak yang bertanya sama ada keputusan yang diambil jawatankuasa disipilin itu adalah memadai untuk memperbaiki kerosakan yang mereka rasa telah berlaku terhadap imej parti berkenaan.

Satu sumber berkata pengerusi jawatankuasa disiplin, yang juga anggota Perlimen Cheras, Tan Kok Wai menjelaskan bahawa jawatankuasa itu hanya boleh memberi amaran keras kepada Liu kerana tidak terdapat bukti yang boleh menyokong dakwaan Tee bahawa Liu memang tahu tentang surat sokongan yang telah dikeluarkannya.

Ini mendorong beberapa pemimpin kanan DAP meminta jawatankuasa disiplin menambahkan hukuman memandangkan keseluruhan episod itu menimbulkan keraguan orang ramai terhadap parti berkenaan dan parti itu tidak perlu "memperbaiki imejnya".

"Banyak orang bercakap tentang isu ini, malah ada yang mencadangkan agar Liu berundur secara sukarela sebagai anggota exco, tetapi perkara ini ditentang oleh beberapa pemimpin dengan alasan hukuman itu tidak boleh ditambah kerana tiada peruntukan mengenainya," kata sumber berkenaan.

CEC menangguhkan keputusannya berhubung rayuan Tee agar keputusan jawatankuasa disiplin memecatnya, dibatalkan.

Setiausaha agung parti, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata CEC perlu berbincang dengan kerajaan Selangor sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Nampaknya, Tee dipecat oleh kerajaan negeri kerana sebab lain. Oleh itu, kami perlu mendapatkan penjelasan mereka terlebih dulu," katanya.

Ketika mengumumkan keputusan jawatankuasa itu pada Rabu, pengerusinya berkata "episod ini telah merosakkan imej parti".

Tetapi, soalan seterusnya ialah adakah episod berkenaan menjejaskan sokongan orang ramai terhadap DAP? Yang pasti, jawapan bagi soalan ini akan diketahui apabila tiba masanya kelak.

No comments: