Thursday, May 6, 2010

KRISIS ISTANA - NIK AZIZ ENGGAN ULAS


ZULKIFLI menunjukkan salinan risalah yang mencemarkan nama penjawat awam yang diletakkan dalam peti surat rumahnya di IPD Kota Bharu, semalam.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mengambil pendirian untuk mendiamkan diri daripada memberi sebarang ulasan berhubung perkembangan terkini Istana Kelantan.

Pendirian Nik Aziz itu disampaikan Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari, kepada wakil media yang menunggu, ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

“Buat masa ini, Tok Guru (Nik Aziz) tidak bercadang untuk mengulas apa-apa pun, termasuk mengenai keadaan Tuanku (Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra).

Tuanku Ismail Petra kini dalam rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Baginda berada dalam rawatan di situ sejak malam kelmarin dengan diiringi sepasukan anggota polis ke situ, yang memintas kenderaan dinaikinya sejurus keluar dari Istana Mahkota, kira-kira jam 7.15 malam.

Sementara itu, Majlis Belia Kelantan semalam, membuat laporan polis berhubung sebaran risalah menggambarkan lapan penjawat kerajaan dan orang awam di sini, yang digambarkan sebagai Penderhaka Sultan.

Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Kerjanya, Zulkifli Mat Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kira-kira jam 10 pagi.

Dalam laporannya, Zulkifli mendakwa, menerima risalah bertajuk ‘Penderhaka Sultan? (Lapan Jahanam)’ dalam peti surat rumahnya di Kampung Tok Sadang dekat Badang, kira-kira jam 7.30 pagi semalam. Risalah itu menyiarkan lima kenamaan negeri ini terdiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias; Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN), Datuk Ismail Mohd Noor serta peguam, Datuk Shukri Mohamed.

Tiga lagi individu yang terdiri daripada ahli perniagaan sekadar disenaraikan nama mereka tanpa gambar.

Zulkifli berkata, beliau mendapati kandungan risalah itu berniat jahat serta mempunyai unsur fitnah yang boleh mengakibatkan kekeliruan di kalangan rakyat, sekali gus menjejaskan kewibawaan mereka.

Katanya, penyebaran risalah itu bertujuan mengheret penjawat awam ke dalam kancah pergolakan Istana Kelantan dengan niat melagakan mereka dengan kerabat diraja yang mana ia tidak seharusnya berlaku.
“Mereka semua menjalankan tugas seperti yang diamanahkan. Tuduhan dilemparkan terhadap mereka terlalu berat seperti salah guna kuasa, rasuah dan derhaka kepada Sultan.

“Ia boleh dianggap sebagai menghina penjawat awam,” katanya yang berharap polis dapat menjalankan siasatan bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

No comments: