Monday, February 23, 2009

TAK PAYAH CAKAP BESARLAH NIK AZIZ

Lihat apa kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali komen mengenai Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Mursyidul Am PAS berkata, parti itu tidak bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri itu berkata: "Keputusan PAS mencabar beliau (Ibrahim) supaya meletakkan jawatan kerana mengkritik PAS daripada belakang adalah keputusan PAS negeri yang dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri yang saya sendiri selaku Pengerusi (perhubungan)."

"PAS tidak bimbang jika Ibrahim letak jawatan dan bertanding semula atas tiket Bebas jika benar-benar ingin menguji kekuatan pengaruhnya dalam politik kerusi Parlimen itu jika ia mahu menyahut cabaran PAS supaya meletakkan jawatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, kelmarin.

Ibrahim pula berkata beliau bukan "bodoh" untuk meletakkan jawatan semata-mata untuk menguji kekuatan pengaruh politiknya dengan bertanding semula dalam pilihan raya kecil.

"Tok Guru Nik Aziz patut sudah tahu, ikut undang-undang kalau saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen, saya tidak boleh bertanding untuk tempoh lima tahun hingga pilihan raya umum ke-13.

"Jadi macam mana saya nak uji kekuatan pengaruh politik saya?

"Dia (Nik Aziz) pun pernah hampir hilang pengaruh masa pilihan raya umum ke-11 ketika PAS hampir jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

"Masa itu saya pun ada bantu PAS dengan meraih undi orang-orang Umno untuk memilih mereka. Jadi tak perlu dia (Nik Aziz) cakap besar," katanya kepada mStar Online semalam.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau akan hanya meletakkan jawatan jika mendapat desakan daripada pengundi-pengundi bahagian Pasir Mas.

Tambah beliau, pendirian PAS sejak kebelakangan ini sering berubah-ubah dan demi kepentingan politik, parti itu sanggup menyokong Hindraf untuk mendapat sokongan daripada kumpulan minoriti.

Ditanya adakah beliau akan menyertai Umno selepas mendapat desakan daripada Nik Aziz dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan mahu beliau meletakkan jawatannya, Ibrahim berkata: "Saya akan ambil tindakan langkah demi langkah untuk atasi masalah ini.

"Selama ini pun saya tidak pernah fikir untuk masuk mana-mana parti. Buat masa ini saya lebih senang menjadi calon Bebas," katanya.

PAS yang tidak berpuas hati dengan kelantangan Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang sering mengkritik parti itu meminta beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat yang diberi peluang oleh PAS bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum 2008, Ahli Parlimen Bebas itu tidak sepatutnya sering menghentam PAS seolah-olah beliau sahaja yang betul.

"Kalau dia bermaruah, dia boleh meletak jawatan," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan Jambatan Pachor oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Takiyuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkatam Ibrahim meminta untuk bertanding pada pilihan raya umum tahun lepas atas tiket PAS walaupun pemimpin PAS kawasan Pasir Mas ketika itu menolak cadangan itu.

"Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) telah memberi peluang kepada dia bertanding (atas tiket PAS) walaupun kita terpaksa membelakangi kehendak ahli di kawasan itu," katanya.
Mengenai kemungkinan Ibrahim akan menawar diri untuk masuk PAS, beliau berkata, terpulang kepada bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu berbuat demikian.

"Kita tidak buat tawaran kepada dia dan kita juga tidak pernah menolak kalau dia hendak masuk PAS, tetapi setakat ini dia tidak pernah meminta untuk masuk PAS," katanya.
Tegas Ibrahim, beliau bukan hanya mengkritik PAS malah turut mengkritik BN.

Namun katanya, berita mengenai beliau mengkritik parti itu jarang dipaparkan di media sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran, dan ada yang mengatakannya menyokong BN.

"Biarlah mereka (PAS) bercakap apa pun. Saya hanya dengar sahaja dulu. Mereka ada isu nak bercakap tapi jangan sampai lupa tanggungjawab di kawasan sendiri sudah," ujarnya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11.

Ibrahim bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.
Beliau turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.

No comments: