Tuesday, February 17, 2009

NIK AZIZ MAHU PAK LAH KEKAL PM

Bukan sekali tetapi dah banyak kali Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minta Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Maknanya Abdullah diminta pegang jawatan hingga pilihan raya umum depan.

Apakah Nik Aziz ikhlas atau strategi mudah untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN).
Walau apa juga kata Nik Aziz, rasanya beliau melihat kekuatan yang ada pada Datuk Seri Mohd Najib Razak memang sukar untuk PAS rebahkan.

Nik Aziz melihat ‘merebahkan’ Abdullah lebih mudah berbanding Najib dan kerana itu beliau hari ini mengulangi sekali lagi supaya Abdullah diminta kekal jawatan PM sehingga PRU 13.

Walau apa juga alasan diberikan Nik Aziz mengenai Najib tetapi yang jelas Nik Aziz mesti tahu punca kenapa meminta Abdullah jangan berundur selepas perhimpunan agung Umno Mac depan.

Sebab utama menurut Nik Aziz ialah bagi mengelakkan politik negara terus menjadi kalut.
Kata Nik Aziz, ini kerana PAS melihat sudah terpalit dengan banyak isu dan kepemimpinannya semakin tidak dihormati rakyat di negara ini.

Beliau menyeru Abdullah usah mudah menyerah kalah kepada Najib biar pun pada perhimpunan agung Mac depan Presiden Umno sudah beralih kepada anggota parlimen Pekan itu.

"Kejadian penculikan tiga bekas Adun Pakatan Rakyat di Perak merupakan rancangan jahat Umno yang dikatakan turut melibatkan Najib. Ini kerana setelah menghilang diri beberapa hari mereka muncul bersama Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

"Bagi saya sahlah Najib punca kekalutan politik di Perak. Menculik wakil rakyat adalah salah dalam Islam. Malangnya perkara itu berlaku ketika Najib bakal menduduki kerusi Perdana Menteri tidak lama lagi," katanya.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur petang semalam.

Baru-baru ini Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong menghilangkan diri dan hanya muncul bersama Najib di Putrajaya bagi mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat.

Ekoran tindakan itu Najib mengadap Sultan Perak bagi membolehkan Menteri Besar BN dilantik.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cara yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri tidak kena adat orang Timur dengan merampas kuasa melalui penculikan wakil rakyat.

"Saya tak dapat terima cara Najib memancing tiga Adun terbabit yang menghilangkan diri dan kemudian muncul di televisyen.

"Kalau di Kelantan perkara seperti itu kita katakan pekerjaan hantu raya yang menyembunyikan orang," katanya.

Oleh itu beliau berkata, Abdullah perlu mempertahankan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi mengekalkan kestabilan negara.
Menurutnya tidak sepatutnya beliau melepaskan jawatan disebabkan faktor kekalahan teruk Umno pada pilihan raya umum lalu.

Nik Aziz menasihatkan Abdullah supaya terus memikul tanggungjawab tanpa mudah menyerah kalah.

"Kalau Dato' Seri Abdullah rasa tak bersalah dalam hal ini, mengapa harus ambil tindakan untuk berundur? Saya tak faham politik Umno sekarang," ujar beliau.

Katanya, tidak menjadi halangan beliau terus kekal sebagai ketua kerajaan di Malaysia biar pun bukan lagi mengetuai UMNO.

No comments: