Sunday, July 10, 2016

Malaysia Berusaha Cegah Kemasukan Pengikut Abu Bakar Bashir – Dr Ahmad Zahid


Terdapat kebimbangan berhubung lebih 300 pengikut radikal ulama Indonesia Abu Bakar Bashir yang dipenjarakan kerana kegiatan pengganas, bakal dibebaskan dari penjara-penjara tidak lama lagi.

Berikutan itu, Malaysia dan Indonesia mengemas kini pertukaran maklumat, termasuk cap jari serta biometrik berikutan pembebasan pengikut ulama kontroversi Indonesia itu.

Abu Bakar dianggap sebagai pemimpin kerohanian kumpulan militan di Indonesia dan disifatkan tokoh utama rangkaian Jemaah Islamiyah (JI).

JI dipersalahkan atas pengeboman di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa.

Abu Bakar kini menjalani hukuman penjara di Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jabatan imigresen kedua-dua negara melakukan persiapan bagi mengelak mereka yang dibebaskan tidak terlepas ke Malaysia dan mempengaruhi orang ramai dengan propaganda kumpulan militan IS.

"Indonesia dan Malaysia berkongsi maklumat serta akan meningkatkan usaha ini, terutama apabila undang-undang antikeganasan mula diperbahaskan di di Dewan Perwakilan Rakyat iaitu Parlimen Indonesia.

"Kita juga berkongsi bentuk program deradikalisasi, banyak bentuk pertukaran maklumat disediakan pihak Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan senarai itu dihantar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta polis Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan tetamu yang hadir semalam.
"Kita khuatir kerana pengikut Abu Bakar Bashir (yang dibebaskan) menjalani hukuman berikutan dakwaan terbabit dalam keganasan di Indonesia," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah terbuka Aidilfitri bersama Timbalan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, di Putrajaya semalam.

Turut hadir pada majlis di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria itu ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
  
Mengulas sama ada kerajaan akan meningkatkan pemantauan terhadap madrasah di negara ini bagi mengekang penularan ideologi IS, Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pemantauan itu sudah lama dilakukan.

"Kita bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan setakat ini tidak ada maklumat mengenainya dilaporkan.

"Sekiranya ada, pihak polis akan mengambil langkah untuk meningkatkan pemantauan lebih rapi dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam peringkat negeri serta daerah," katanya.

Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga sentiasa memantau semua madrasah di negara ini untuk memastikan tempat pengajian itu tidak terlibat dengan aktiviti ancaman militan Daesh.

Dr  Ahmad Zahid mengesahkan, setakat ini pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri mendapati tidak ada pembabitan madrasah dengan kegiatan militan Daesh.

"Setakat ini, kita tidak dapat sebarang maklumat mengenai pembabitan madrasah.

"Jika ada, pihak polis sudah tentu mengambil beberapa langkah dan tindakan termasuk pertukaran maklumat dibuat oleh pihak Interpol dan diberikan kepada pihak polis dan Polis Indonesia.

Undang-undang anti-keganasan yang akan dibahaskan di Parlimen Indonesia tidak lama lagi turut akan dikongsi kepada Malaysia.

Ini bertujuan agar Malaysia dan Indonesia boleh bekerjsama untuk membanteras sepenuhnya pengaruh keganasan di dalam negara, katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Negara mengingatkan akhbar agar tidak menyiarkan gambar berhubung militan IS, terutamanya ahli dan anak-anak mereka berpakaian seragam serta membawa senjata.

Kata khalid, tindakan itu akan hanya akan mengagung-agungkan kumpulan pengganas itu, dan juga memberi inspirasi kepada belia Malaysia untuk menyertai mereka.

“Janganlah kita menyiarkan gambar-gambar mereka berpakaian seragam, gambar budak-budak pakai seragam, bawa senjata. Ini semua akan beri inspirasi (kepada) budak-budak kita sini untuk menyertai mereka.

“Budak-budak kita suka pakaian seragam, jadi jangan siarkan, jangan gambarkan mereka (sebagai) satu pasukan hebat.

“Kutuk mereka habis-habisan. Jangan mengagung-agungkan mereka sebab itu yang mereka hendak,” katanya.

Pada 28 Jun lalu berlaku satu letupan bom di sebuah kelab malam di Puchong, yang kemudian disahkan oleh Khalid sebagai mempunyai kaitan dengan elemen IS.

Ini menjadikan serangan itu sebagai yang pertama membabitkan IS di Malaysia.


Terdapat juga peningkatan dalam serangan pengganas di seluruh dunia ketika bulan Ramadan sebelum ini yang dianggap bulan paling suci dalam Islam.

Saturday, July 9, 2016

Ada Yang Sesatkan Umat Islam Dengan Keganasan - Dr Zakir Naik


Pendakwah Islam tersohor Dr Zakir Naik hari ini terus mempertahankan dirinya terhadap dakwaan beliau memberi inspirasi kepada serangan pengganas di Dhaka, Bangladesh Sabtu lalu.

Sambil mengakui "memberi inspirasi kepada ratusan ribu, berjuta-juta," orang mendekati Islam, Zakir berkata tidak semua "pengikutnya" mematuhi apa yang diperkatakannya.

"Apabila seseorang datang mendekati Islam ada kemungkinan mereka mendengar daripada pendakwah lain.

"Dan hari ini, kita sedar, terdapat orang yang menyesatkan umat Islam, dan atas nama Islam mereka menggalakkan pembunuhan orang yang tidak bersalah, manusia yang tidak berdosa yang bertentangan sama sekali dengan al-Quran," kata Zakir menerusi sebuah rakaman video di YouTube hari ini .


Zakir juga menafikan beliau pernah berceramah menggalakan keganasan dan berkata laporan media yang mengatakan sebaliknya adalah "setan".

Bercakap dari Makkah, dengan berlatar belakangkan Kaabah, Dr Zakir turut menafikan pernah menggalakkan keganasan pada ceramahnya sebelum ini.

"Saya kutuk semua bentuk keganasan."

Sabtu lalu, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah kafe mewah di ibu negara Bangladesh dan membunuh 20 orang, sebelum polis menyerbu bangunan itu dan menyelamatkan 13 tebusan.

Dilaporkan bahawa enam lelaki bersenjata itu terbunuh dalam operasi berkenaan dan polis berjaya menawan seorang daripada mereka.


Dua daripada lelaki bersenjata itu kemudian dilaporkan adalah pengikut media sosial Dr Zakir.