Terdapat kebimbangan berhubung lebih 300 pengikut radikal
ulama Indonesia Abu Bakar Bashir yang dipenjarakan kerana kegiatan pengganas, bakal dibebaskan dari penjara-penjara tidak lama lagi.
Berikutan itu, Malaysia dan Indonesia mengemas kini
pertukaran maklumat, termasuk cap jari serta biometrik berikutan pembebasan pengikut
ulama kontroversi Indonesia itu.
Abu Bakar dianggap sebagai pemimpin kerohanian kumpulan militan di Indonesia dan disifatkan tokoh utama rangkaian Jemaah Islamiyah (JI).
JI dipersalahkan atas pengeboman di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa.
Abu Bakar kini menjalani hukuman penjara di Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi, berkata jabatan imigresen kedua-dua negara melakukan persiapan bagi
mengelak mereka yang dibebaskan tidak terlepas ke Malaysia dan mempengaruhi
orang ramai dengan propaganda kumpulan militan IS.
"Indonesia dan Malaysia berkongsi maklumat serta
akan meningkatkan usaha ini, terutama apabila undang-undang antikeganasan mula
diperbahaskan di di Dewan Perwakilan Rakyat iaitu Parlimen Indonesia.
"Kita juga berkongsi bentuk program deradikalisasi,
banyak bentuk pertukaran maklumat disediakan pihak Polis Antarabangsa
(INTERPOL) dan senarai itu dihantar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta
polis Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan tetamu yang hadir semalam. |
"Kita khuatir kerana pengikut Abu Bakar Bashir (yang
dibebaskan) menjalani hukuman berikutan dakwaan terbabit dalam keganasan di
Indonesia," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah terbuka Aidilfitri
bersama Timbalan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, di Putrajaya
semalam.
Turut hadir pada majlis di kediaman rasmi Timbalan
Perdana Menteri di Sri Satria itu ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu
Bakar.
Mengulas sama ada kerajaan akan meningkatkan pemantauan
terhadap madrasah di negara ini bagi mengekang penularan ideologi IS, Dr Ahmad
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pemantauan itu sudah lama
dilakukan.
"Kita bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri
(JAIN) dan setakat ini tidak ada maklumat mengenainya dilaporkan.
"Sekiranya ada, pihak polis akan mengambil langkah
untuk meningkatkan pemantauan lebih rapi dengan kerjasama Majlis Agama Islam
Negeri dan Jabatan Agama Islam peringkat negeri serta daerah," katanya.
Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) juga sentiasa memantau semua madrasah di negara ini untuk
memastikan tempat pengajian itu tidak terlibat dengan aktiviti ancaman militan
Daesh.
Dr Ahmad Zahid mengesahkan,
setakat ini pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Islam
negeri-negeri mendapati tidak ada pembabitan madrasah dengan kegiatan militan
Daesh.
"Setakat ini, kita tidak dapat sebarang maklumat
mengenai pembabitan madrasah.
"Jika ada, pihak polis sudah tentu mengambil
beberapa langkah dan tindakan termasuk pertukaran maklumat dibuat oleh pihak
Interpol dan diberikan kepada pihak polis dan Polis Indonesia.
Undang-undang anti-keganasan yang akan dibahaskan di
Parlimen Indonesia tidak lama lagi turut akan dikongsi kepada Malaysia.
Ini bertujuan agar Malaysia dan Indonesia boleh
bekerjsama untuk membanteras sepenuhnya pengaruh keganasan di dalam negara, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara mengingatkan akhbar
agar tidak menyiarkan gambar berhubung militan IS, terutamanya ahli dan
anak-anak mereka berpakaian seragam serta membawa senjata.
Kata khalid, tindakan itu akan hanya akan
mengagung-agungkan kumpulan pengganas itu, dan juga memberi inspirasi kepada
belia Malaysia untuk menyertai mereka.
“Janganlah kita menyiarkan gambar-gambar mereka
berpakaian seragam, gambar budak-budak pakai seragam, bawa senjata. Ini semua
akan beri inspirasi (kepada) budak-budak kita sini untuk menyertai mereka.
“Budak-budak kita suka pakaian seragam, jadi jangan siarkan,
jangan gambarkan mereka (sebagai) satu pasukan hebat.
“Kutuk mereka habis-habisan. Jangan mengagung-agungkan
mereka sebab itu yang mereka hendak,” katanya.
Pada 28 Jun lalu berlaku satu letupan bom di sebuah kelab
malam di Puchong, yang kemudian disahkan oleh Khalid sebagai mempunyai kaitan
dengan elemen IS.
Ini menjadikan serangan itu sebagai yang pertama
membabitkan IS di Malaysia.
Terdapat juga peningkatan dalam serangan pengganas di
seluruh dunia ketika bulan Ramadan sebelum ini yang dianggap bulan paling suci
dalam Islam.
No comments:
Post a Comment