Wednesday, July 5, 2017

Subky Latif - 'Haji 1MDB' Itu ‘Haji Robin Hood’?


Oleh Subky Latif
(Tulisan ini disiarkan kali pertama di Harakahdaily)

Bertuahnya sekitar 5,711 orang sejak tahun 2011 dapat menunaikan fardu haji atas tajaan 1MDB. Agaknya tidak termasuk musim haji ini.

Hitung panjang dalam masa enam musim haji yang lalu sekitar 952 dapat jadi haji 1MDB. Untuk itu 1MDB telah berbelanja sebanyak RM56 juta.

Peruntukan itu dikira besar tetapi dibandingkan dengan duit 1MDB yang lesap, ia sekitar beberapa peratus saja. Ibarat nasi yang tersangkut di gigi.

Bergeliga otak pentadbir 1MDB berjaya membantu sewajarnya mereka yang tidak mampu atau yang belum cukup simpanan di Tabung Haji untuk menunaikan rukun Islam itu.


Jika semua badan GLC dapat mengikut kemurahan hati 1MDB itu nescaya lebih ramai umat Malaysia yang bertuah. Mungkin KWSP, PNB, Amanah Raya, TNB, PKNS, Bank Negara, Bank Rakyat dan lain-lain dapat mencontohi 1MDB.

Jika tidak sampai menaja 200 orang setahun, sekurang-kurangnya 100 setahun pun amat digalakkan.

Tidak ada curang

Ketika PAS memerintah Terengganu antara 1999 hingga 2004 ia menyewa hotel di Mekah, menganjurkan pemergian haji.

Kerana penganjuran di bawah syarikat TDM - badan perladangan sawit kerajaan negeri - ramai pekerja yang lama berkhidmat dihantar naik haji percuma. Ia tutup selepas BN mengambil semula kuasa.

Memandangkan 1MDB adalah syarikat pelaburan kementerian kewangan yang dipercayai melesapkan berguni-guni duitnya, maka apa agaknya pandangan panel syariyah badan itu jika ia ada panel syariahnya?

Jika orang naik haji dengan duit loteri dipercayai sah haji, tetapi yang terpilih ke Mekah itu tidak ada curang dengan tadbir 1MDB, kerana yang berangkara ialah 1MDB sendiri.

Mungkin tidak timbul sah atau tidaknya. Dengan duit apa orang bertuah itu naik haji, usah ditanya. Cuma ia dapat haji mabrur atau tidak, mungkin berbangkit.

Jika yang naik haji secara sah pun belum tentu dapat mabrur, yang punca membiayai mereka yang ditakwil itu mungkin baliknya dengan Haji 1MDB saja.

Moga-moga mereka dapat haji mabrur, tetapi yang nyata bagi orang bertuah itu ialah Haji 1MDB.

Sekalipun 1MDB mengeluarkan peruntukan RM56 juta, tetapi ia tidak dapat membasuh debu dan daki yang dihadapinya.

Pada tahun 1970-an ada seorang perompak di Kuala Lumpur bernama Botak Chin. Hasil rompakannya dicurahkan kepada kaum gelandangan.

Ali Baba dan 40 penyamun

Sekalipun dia membuat kebajikan besar tetapi dia tetap diburu kerana jenayahnya. Robin Hood Malaysia itu akhirnya dibunuh.

Robin Hood terkenal sebagai penyamun yang menggunakan hasil rompakannaya bagi membela golongan idak berada, tetapi undang-undang tidak dapat memihak kepadanya.
Sekalipun berjuta dan berbilion diperuntukan 1MDB untuk ribuan haji, tetapi ia tidak dapat menutup angkara lesapnya duit yang diambil daripada kerajaan itu.

Nawaitu 1MDB itu justeru apa?

Lillah-kah atau bagi menghalalkan rompakannya?

Yang berkebajikan dan berpahala ialah yang dibuat kerana Allah. Sebarang amalan yang kerana Allah itu mestilah sumbernya bersih.

Jika berniat seperti Robin Hood tidak dapat diterima bersih nawaitunya, apa lagilah kalau rompakan bernawaitu seperti Ali Baba dengan 40 penyamun.

Memang dalam dunia ini ada orang menggunakan duit syarikat atas nama agama, tapi ia sebagai perisai bagi mengelabui pandangan orang ramai.

1MDB mungkin selepas ini mengadakan alumni haji-haji 1MDB dan setiap haji itu tidak percaya duit 1MDB dirompak.


Untuk lebih glamor, haji yang bertuah itu jadi Haji Robin Hood.

Thursday, June 29, 2017

Berjayakan Cubaan Putrajaya Batal Saman RM100 Juta Keluarga Altantuya?


Segala-galanya dijangka ditentukan pada akhir Julai depan.

Pada 22 Jun lalu ada laporan mengatakan Putrajaya cuba membatalkan saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu yang dibunuh 2 anggota polis.
Kenapa kerajaan mahu membatalkannya? Dan kenapa dibuat selepas lebih 10 tahun kes ini berlegar di mahkamah Malaysia?
Persoalan juga, kenapa Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya masih tidak diekstradisi ke Malaysia, sehingga kini?
Malah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut digesa mengesahkan jika kerajaan bercadang mengekstradisi Sirul Azhar ke Malaysia.
Perkara ini disifatkan menjadi kepentingan awam dan memerlukan perhatian segera kerana sudah dua  tahun sejak Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan.
Berkaitan hasrat Putrajaya membatalkan sama itu, di pihak keluarga Altantuya, mereka menyifatkan permohonan kerajaan itu sebagai melampau, remeh dan menyusahkan.
Ini kerana bagi mereka kerajaan Malaysia turut bertanggungjawab kerana ia adalah majikan kepada polis terbabit.
Menurut peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh, liabiliti defendan hanya boleh ditentukan selepas perbicaraan penuh, di mana bukti akan diserahkan.
Ramkarpal berkata, kerajaan akan membalas afidavit Shaariibuu dan kedua-dua pihak akan terus memfailkan penghujahan bertulis.

“Hakim Mahkamah Tinggi (Ahmad Nasfy Yasin) dijangka membuat keputusannya pada 26 Julai ini,” katanya.
Kerajaan dikatakan memfailkan permohonan itu pada Mac lalu atas alasan saman itu tidak mendedahkan tindakan betul terhadap mereka.
Kerajaan yang merupakan defendan ke-4 dalam afidavitnya berkata, plaintif gagal menyatakan ia bertanggungjawab terhadap tindakan anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.
Peguam bagi pihak keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh berkata bapa Altantuya (Shaariibuu Setev) memfailkan 1 afidavit untuk membantah permohonan itu pada minggu lalu.
Shaariibuu berkata, saman yang mula difailkan pada 6 Jun 2007 mempunyai asas dan merit.
“Selain kuasa tindakan dalam tort, saman itu juga terdiri daripada tuntutan tanggungan dan ganti rugi oleh semua defendan,” katanya dalam afidavit yang dilihat FMT.
Shaariibuu bersama isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan dua  cucu menyaman kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah yang disabitkan kesalahan membunuh.
Keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya.
Perbicaraan saman itu ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian kes pembunuhan berkenaan di Mahkamah Tinggi. Selain itu, ada rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Sirul dan Azilah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya yang dikatakan ialah penterjemah dan model.
Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada awal 2015 mengembalikan sabitan itu dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-duanya.
Sirul tidak muncul untuk mendengar keputusan akhir itu dan kemudiannya dia didapati sudah meninggalkan Malaysia. Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
Razak yang merupakan kekasih Altantuya, dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah memutuskan pertuduhan terhadapnya tidak dapat dibuktikan dan kerajaan bagaimanapun tidak membuat rayuan, tindakan yang mengundang kritikan awam.
Ramkarpal berkata, Sirul yang kini ditahan di sebuah pusat tahanan Australia dan Azilah pula menunggu hukuman mati di Penjara Kajang, tidak mencabar saman itu.

Katanya, peguam mereka sudah menarik diri daripada saman sivil itu, manakala Razak melantik peguam untuk mencabar saman berkenaan.