Saturday, December 15, 2012

PM - DAP, PKR TETAP BERBEZA PENDAPAT DENGAN PAS


Biarlah pakatan pembangang dengan cerita mereka – siapa akan jadi Perdana Menteri.

Rakyat akan menilai kerana Barisan Nasional (BN) tidak menonjolkan isu itu tetapi BN lebih utamakan apa yang dapat diberikan kepada rakyat.

Nyata sekali perbezaan terus wujud antara DAP, PKR dan PAS.

PKR sudah menentukan siapa Perdana Menteri yang tidak akan lain selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, sementara Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini mengulangi sokongannya kepada ketua pembangkang itu untuk menjadi perdana menteri jika pembangkang menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.


Nampaknya PAS terkontang-kanting masih mahukan Presidennya menjadi Perdana Menteri namun DAP dan PKR tidak ada keyakinan kepada Presiden PAS itu untuk menjadi Perdana Menteri.


Rekod Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu selama lima tahun menjadi Menteri Besar tidak menyerlah langsung.

"Apabila kami menang dan tawan Putrajaya, kami dalam DAP akan memberi kerjasama untuk tentukan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri," kata Karpal pada ucapan perasmian Kongres Kebangsaan DAP kali ke-16, di Penang International Sport Arena (PISA) di Pulau Pinang hari ini.

Pendirian beliau itu nyata bertentangan dengan resolusi Pas baru-baru ini yang memilih presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai perdana menteri jika pakatan pembangkang dipilih menjadi kerajaan baharu Malaysia.

Kemelut calon PM juga menjadi perkara utama yang dibincangkan pada Muktamar PAS baru-baru ini apabila delegasi parti Islam tersebut mencadangkan supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengisi jawatan penting itu.

Namun Karpal dalam ucapannya tidak mengulas lanjut terhadap permintaan oleh rakan mereka, PAS tersebut tetapi berkata parti tersebut sebagai rakan paling utuh yang banyak memainkan peranan penting dalam PR.

Walaubagaimanapun, Hadi pula berkata rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai PM yang disifatkannya sebagai “amanah berat” meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

“Apa yang penting kepada kami, kita ke Putrajaya.

“Siapa yang jadi PM, yang diterima oleh rakyat, yang dapat menyatukan rakyat, dapat menegakkan keadilan untuk rakyat,” kata beliau November lalu.

Selain Karpal, penasihat parti Lim Kit Siang sebelum ini juga secara secara terbuka berkata bahawa PR mahukan Anwar memegang tampuk pemerintahan negara itu, dan pendapat itu turut dikongsi oleh setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng awal tahun ini.

Bagaimanapun, bagi Karpal, Pas akan menjadi sekutu penting dalam pakatan pembangkang, meskipun mereka (Pas) mungkin mempunyai prinsip yang berbeza.


Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang hadir sebagai pemerhati pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 hari ini bijak menyimpan perasaan PAS

Baginya, DAP berhak menyatakan calon perdana menteri mereka sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

“Itu adalah hak DAP untuk nyatakan secara terbuka calon pilihan perdana menteri mereka,” kata Mustafa. Memang wajar sekiranya beliau mengatakan PAS masih belum memutuskan tentang siapa pilihan mereka untuk mengisi jawatan penting tersebut.

“Berbeza dengan DAP, kami (PAS) tidak memutuskan siapa lagi calon dan tidak menyatakan secara terbuka mengenai perkara itu.

Lagipun pilihan raya belum mula lagi, malahan kita belum tahu lagi calon itu (Anwar) akan menang atau tidak,” jelas beliau.

Mustafa berkata keputusan muktamad hanya boleh diputuskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia.

Thursday, August 16, 2012

Isu Talam Belum Reda, Kini Kerajaan Selangor Didakwa Rampas Tanah KHSB

“Jika benar berlaku aktiviti perlombongan haram di tanah itu, kenapa tiada tindakan dikenakan terhadap pihak melombongnya dan kenapa selepas lebih setahun baru tindakan merampas tanah itu dilaksanakan? “Kenapa tanah itu dirampas setelah mahkamah memberikan kuasa kepada SAP Holding Berhad sebagai pemilik sah?” - Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed

Belum pun reda dengan siri dakwaan termasuk isu Talam Corporation, Kerajaan Negeri Selangor kini didakwa oleh Barisan Nasional (BN) dengan kontroversi baru melibatkan isu rampasan tanah milik Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) bernilai RM250 juta di Gombak.

Februari lalu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa mengakui rampasan tersebut dibuat kerana berlaku perlombongan haram. Abdul Khalid turut menegaskan ia merupakan tindakan penguatkuasaan kerana pemilik tanah tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Semalam, Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, kenyataan dibuat Menteri Besar itu jelas menimbulkan pelbagai keraguan.

Mohd Zin mendakwa mahkamah telah menetapkan tanah itu dimiliki secara sah oleh anak syarikat KHSB, SAP Holding Berhad tetapi Kerajaan Negeri tetap menjalankan rampasan tersebut tanpa alasan kukuh, malah tidak memaklumkan kepada pemegang saham KHSB.

“Jika benar berlaku aktiviti perlombongan haram di tanah itu, kenapa tiada tindakan dikenakan terhadap pihak melombongnya dan kenapa selepas lebih setahun baru tindakan merampas tanah itu dilaksanakan? “Kenapa tanah itu dirampas setelah mahkamah memberikan kuasa kepada SAP Holding Berhad sebagai pemilik sah?” kata beliau pada sidang media di Bangunan Umno Shah Alam di Shah Alam semalam.

Mohd Zin mempersoalkan mengapa KHSB seperti tidak bersungguh-sungguh mempertahankan tanah milik kumpulan tersebut.

Dakwanya, KHSB hanya membuat rayuan di Pejabat Tanah Daerah (PTD) Gombak pada 15 November lalu sedangkan mereka mengetahui rayuan sepatutnya dibuat di mahkamah tiga bulan dari tarikh berlaku rampasan.

Dalam pada itu, Mohd Zin turut menuntut penjelasan daripada pihak KHSB sama ada berpakat dengan Kerajaan Negeri untuk melepaskan tanah tersebut.

“Adakah ada pihak mendapat untung daripada rampasan tersebut?

Adakah ini konspirasi antara pengerusi KHSB dan Menteri Besar untuk merampas tanah bernilai tinggi bagi kepentingan peribadi mereka?

“Persoalan ditimbulkan ini perlu dijawab oleh Kerajaan Negeri dan KHSB sendiri kerana kami (BN Selangor) percaya mungkin ada berlaku penyelewangan dan rakyat berhak untuk mengetahui kemana hilangnya tanah bernilai RM250 juta itu,” katanya.