Monday, July 20, 2009

BERTUAHLAH MANEK URAI...BAIKI RUMAH DIBERI KEUTAMAAN

Tidak undi Barisan Nasional (BN) tidak mengapa...

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Sukry Mohd Salleh pasti gembira dengan pengumuman itu.

Sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan bagi program membaik pulih 500 buah rumah golongan miskin tegar dan menurap semula beberapa jalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Program yang melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan itu akan dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) walaupun tewas dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 14 Julai lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pihaknya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenal pasti rumah yang perlu dibaik pulih dengan segera.

‘‘Sepanjang kempen pilihan raya tempoh hari, BN memperakui model yang digunakan iaitu tanpa protokol dan buat kerja bersungguh-sungguh hingga ke akar umbi telah berjaya membongkar pelbagai masalah penduduk.

‘‘Selepas dikenal pasti, sebanyak 500 buah rumah akan dibaik pulih melalui peruntukan sebanyak RM2 juta yang mana setiap rumah memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3,000 dalam tempoh terdekat ini,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kota Bharu, semalam.

Mustapa menambah, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM720,000 akan digunakan untuk memperbaiki dan menurap beberapa jalan kecil yang telah dikenal pasti kerana ia menimbulkan masalah kepada penduduk.

Beliau berkata, JKM juga telah mengenal pasti penambahan sebanyak 200 keluarga kepada 500 keluarga sedia ada yang layak menerima bantuan bulanan.

‘‘Selain masalah kemiskinan, terdapat keluarga yang mempunyai anak kurang upaya serta ahli keluarga yang telah uzur dan berhak menerima bantuan,’’ katanya.

Mengenai tuntutan royalti minyak oleh Pas yang digunakan dalam kempen pilihan raya, Mustapa berkata, Petronas dan Pejabat Peguam Negara sedang menyediakan kenyataan berhubung perkara tersebut.

‘‘Kita serahkan kepada pihak yang lebih berwibawa kerana melibatkan undang-undang dan berharap rakyat di negeri ini akan menerima apa jua penjelasan yang diberikan,’’ ujarnya.

Beliau berkata, terdapat undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum yang menetapkan semua minyak di negara ini diberikan kepada Petronas untuk mengusahakannya.

Syarikat itu juga diberi hak untuk mengadakan perjanjian konsesi dengan mana-mana pihak yang dilantik.

SEKS BEBAS PELAJAR SEKOLAH KB MEMBIMBANGKAN

Polis menyifatkan perlakuan seks bebas di kalangan pelajar di beberapa sekolah di jajahan Kota Bharu makin ketara dan membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, sekurang-kurangnya 40 kes dilaporkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Salah siapa?

Salah Sekolah? Ibu bapa? Kerajaan Negeri atau Membangun Bersama Islam yang gagal?
Polis mengatakan kurang didikan agama.

Hairan sungguh kerana di negeri Serambi Mekah, tak kanlah didikan agama kurang kerana di mana-mana sahaja laungan Membangun Bersama Islam menjadi agenda utama pentadbiran negeri.

Sementara Kota Bharu pula ialah Bandaraya Islam. Di manakah kejadian ini berlaku?

Sudah pasti Kerajaan PAS Kelantan akan menyalahkan ibu bapa atau pelajar kerana masalah ini.
Namun, dengan slogan dan kepimpinan ulamak yang diagung-agungkan di Kelantan, apakah kerajaan negeri tidak merasa turut terpalit dengan keadaan ini.

Ini kes-kes yang dapat dikesan.

Bagaimana dengan kes tidak dilaporkan?

Zaharuddin mengakui tentunya banyak kes lagi tidak dilaporkan dan orang ramai juga sering memperkatakan dan merungut mengenai gejala itu.

Hasil siasatan polis mendapati, kurangnya pendidikan agama, pergaulan yang tidak terkawal serta masalah keluarga menjadi penyumbang utama gejala itu.

''Apabila berlakunya seks bebas di kalangan pelajar sekolah bawah umur, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Walaupun ia dilakukan secara suka sama suka, disebabkan mereka bawah umur, polis boleh menjalankan siasatan apabila menerima sebarang laporan yang dibuat oleh mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Cakna Disiplin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, di sini hari ini.

Zahruddin memberitahu, program berkenaan bertujuan menanam dan menyemarakkan semangat sikap cakna disiplin dan prihatin guru terhadap salah laku pelajar.

Beliau berkata, selain perlakuan seks bebas, ada pelajar yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah, lumba haram dan kutu rayau.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pelajar yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada tahun ini berkurangan berbanding pada tahun lalu seramai 48 orang ditahan.

Beliau berkata, penurunan amat ketara sekali apabila pada tahun ini hanya hampir 10 orang pelajar yang ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah termasuk ada yang ditahan di sekolah kerana memiliki dadah jenis pil kuda.

Katanya, untuk mengatasi mengurangkan masalah sosial di kalangan pelajar, ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik dan mengawasi pergerakan anak masing-masing, apabila mereka berada di luar sekolah.

"Ibu bapa yang mempunyai sikap 'tak apa' akan memberi peluang kepada mereka melakukan jenayah atau sebaliknya.

"Sebagai contoh, apabila anak mereka keluar dan tidak balik ke rumah, sikap tak apa itu ada pada ibu bapa, ia akan merosakkan anak mereka sendiri," katanya.

Zahruddin berkata, dalam usaha membantu pihak sekolah dan ibu bapa, polis sudah banyak mengadakan kempen-kempen di sekolah termasuk mengadakan ceramah atau pameran kepada pelajar agar mereka mempunyai kesedaran pada diri masing-masing.

"Kita tidak mahu melihat kejadian yang tidak diingini berlaku di rumah seperti berlakunya kes penderaan atau sumbang mahram,'' katanya.

Persoalannya, apakah kerajaan PAS Kelantan akan lepas tangan dan menuding jari kepada pihak lain apabila masalah sebegini menimpa mereka?

Kita tunggulah jawapan daripada kerajaan negeri.