Monday, July 20, 2009

BERTUAHLAH MANEK URAI...BAIKI RUMAH DIBERI KEUTAMAAN

Tidak undi Barisan Nasional (BN) tidak mengapa...

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Sukry Mohd Salleh pasti gembira dengan pengumuman itu.

Sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan bagi program membaik pulih 500 buah rumah golongan miskin tegar dan menurap semula beberapa jalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Program yang melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan itu akan dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) walaupun tewas dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 14 Julai lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pihaknya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenal pasti rumah yang perlu dibaik pulih dengan segera.

‘‘Sepanjang kempen pilihan raya tempoh hari, BN memperakui model yang digunakan iaitu tanpa protokol dan buat kerja bersungguh-sungguh hingga ke akar umbi telah berjaya membongkar pelbagai masalah penduduk.

‘‘Selepas dikenal pasti, sebanyak 500 buah rumah akan dibaik pulih melalui peruntukan sebanyak RM2 juta yang mana setiap rumah memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3,000 dalam tempoh terdekat ini,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kota Bharu, semalam.

Mustapa menambah, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM720,000 akan digunakan untuk memperbaiki dan menurap beberapa jalan kecil yang telah dikenal pasti kerana ia menimbulkan masalah kepada penduduk.

Beliau berkata, JKM juga telah mengenal pasti penambahan sebanyak 200 keluarga kepada 500 keluarga sedia ada yang layak menerima bantuan bulanan.

‘‘Selain masalah kemiskinan, terdapat keluarga yang mempunyai anak kurang upaya serta ahli keluarga yang telah uzur dan berhak menerima bantuan,’’ katanya.

Mengenai tuntutan royalti minyak oleh Pas yang digunakan dalam kempen pilihan raya, Mustapa berkata, Petronas dan Pejabat Peguam Negara sedang menyediakan kenyataan berhubung perkara tersebut.

‘‘Kita serahkan kepada pihak yang lebih berwibawa kerana melibatkan undang-undang dan berharap rakyat di negeri ini akan menerima apa jua penjelasan yang diberikan,’’ ujarnya.

Beliau berkata, terdapat undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum yang menetapkan semua minyak di negara ini diberikan kepada Petronas untuk mengusahakannya.

Syarikat itu juga diberi hak untuk mengadakan perjanjian konsesi dengan mana-mana pihak yang dilantik.

1 comment:

mail lambong said...

takkan manek urai je..yang lain-lain kena bagi jugak laa..kalau tidak jangan perintah malaysia lah.. kalau indonesia yang bagi boleh lah cakap macam tu..yang ni kerajaan malaysia.. jangan lah perbodohkan orang..kita sama, sebangsa dan seagama.