Monday, July 20, 2009

MANEK URAI HIDUPKAN KEMBALI ROH UMNO

Daripada Harakahdaily.net





Kota Darul Naim Kini Sedang Melambai BN




Sama ada benar atau palsu janji dilafazkan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai, namun hakikatnya dari sudut fizikal Umno-Barisan Nasional (BN) telah berjaya mempengaruhi hampir 95 peratus pencapaian majoriti PAS pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Secara tidak langsung percaturan politik Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno, seolah-olah hampir memberi pukulan maut tidak mampu disangkal oleh PAS.

Sebagaimana dilaporkan, BN mendominasikan seluruh jentera kerajaan sebagai senjata kempennya. Tetapi umpan dilihat paling berkesan ialah janji projek jambatan baru, kota agropolitan dan anak emas.

Selain itu taktik paling buruk dan kotor seperti mana didakwa pihak lawannya ialah sogokan rasuah bernilai tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.

Sejauh manakah kebenaran itu, tuhan saja yang maha tahu. Yang pasti kemenangan tipis PAS menggambarkan keupayaan Umno mengubah senario politik semasa di Manek Urai. Secara tidak langsung Umno boleh berbangga walaupun tewas di pertarungan kali ini.

Tinjauan The Malaysian Insider sepanjang tempoh berlangsungnya kempen pilihan raya ternyata PAS lebih terkehadapan menguasai keadaan berbanding Umno.

Hampir setiap tempat, bermula dari Sungai Sok hingga ke Laloh program PAS sentiasa sesak, laungan takbir tanda sokongan padu kepada parti itu tidak pernah menyepikan kesunyian malam.

Apatah lagi kalau melihat tiga malam terakhir, mengikut adat Umno sudah boleh gulung tikar dan angkat bendera putih. Kehadiran Anwar Ibrahim di kampung Peria disambut 5,000 penyokong. Tetapi program Umno yang diadakan bersebelahan cuma dihadiri penonton seramai paling tinggipun 50 orang. Betapa nazak sambutan diberi kepada BN.

Benar kata orang, di dalam politik serba kemungkinan. Sebab itu banyak telahan dan spekulasi jarang menepati sasaran hatta dari penganalisis politik hebat sekalipun.

Kehadiran ribuan audien tidak boleh dijadikan referendum kekuatan sesebuah parti kerana mungkin ia terdiri daripada penyokong-penyokong luar kawasan. Jadi, tidak wajar persoalan ke mana pergi ribuan penyokong yang pernah membanjiri ceramah PAS sebelum ini dikaitkan dengan kemenangan tipis dialaminya.

Sebaliknya PAS akan diihat lebih rasional sekiranya cuba beralternatif mencari di mana pengundi luar seramai lebih 1,000 orang dikatakan penyokong tegar PAS dilaporkan pulang dan memberi jaminan mengundi bulan?

Mengambil sikap berterusan menyelar parti lawan menggunakan rasuah selepas keputusan sudahpun muktamad bukan jalan penyelesaian sesuatu masalah. Jika benar dakwaan itu serahkan saja kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya. Mengadakan 'domestic inquiry' parti barangkali lebih utama.

Walau apapun, perspektif politik pasca PRK Dun Manek Urai 14 Julai menjadi momentum baru kepada kedua-dua parti menghadapi PRU akan datang.

Justeru PAS tidak wajar berbangga dengan bayang-bayang sendiri menjulang kemenangan tipisnya itu. Sebaliknya PAS mesti sedar bahawa roh Umno telah kembali pulih di Manek Urai bagi mengisi methodologi baru menjejaki rentak lawan.

Sunday, July 19, 2009

BIARPUN KALAH, BN TIDAK ABAI MANIK URAI

Inilah baiknya pimpinan UMNO Negeri Kelantan.

Tidak kira musim kempen atau kalah. Pada ketika orang PAS sedang merayakan kemenangan, pemimpin UMNO terus berjumpa penduduk dan berusaha meyakinkan mereka bahawa BN tidak pernah melupakan penduduk Manek Urai.

Pemimpinnya tetap turun padang dan bertemu dengan pekerja Barisan Nasional (BN) dan yang bertungkus lumus berusaha memenangkan BN.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed memberi jaminan BN tidak akan mengabaikan penduduk Manik Urai walaupun tidak diberi mandat pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Selasa lalu.

Beliau berkata parti itu juga akan menunaikan janji yang dibuat sepanjang pilihan raya kecil tersebut berlangsung, terutama dalam aspek pembangunan di kawasan yang agak ketinggalan itu berbanding dengan kawasan lain.

"Kita akan menunaikan janji-janji yang kita buat bergantung kepada keupayaan kewangan kita."

"Sebulan sebelum pilihan raya kecil, kerajaan pusat sudah belanja RM11 juta untuk kawasan Manik Urai untuk baiki jambatan, baiki jalan dan sebagainya. Ini peruntukan biasa yang kita beri, kerana kita tahu kalau nak harapkan kerajaan negeri sikit sangat peruntukan daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Manik Urai di Kuala Krai.

Hadir sama, calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman, bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dan jentera parti itu.

BN tewas dengan majoriti tipis 65 undi pada pilihan raya kecil itu di mana calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50 mendapat 5,348 undi manakala Tuan Aziz memperoleh 5,283 undi.

Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob daripada PAS pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.
Mustapa yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Manik Urai berkata beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memutuskan dalam masa terdekat projek yang dijanjikan atau yang diminta penduduk.

"Kita tak nak tinggalkan terus Manik Urai kerana pilihan raya kecil lalu buktikan rakyat sokong kita dan mahukan pembangunan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata semua sembilan peti undi DUN Manik Urai akan dijadikan anak angkat kepada menteri-menteri bagi memastikan kawasan itu terus mendapat perhatian walaupun ia dikuasai pembangkang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata BN menunggu keputusan pilihan raya kecil itu diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu sebelum menimbang untuk mengambil tindakan susulan termasuk mengemukakan petisyen mengenainya.

Katanya BN juga meneliti maklumat yang diperoleh yang mendakwa pembangkang juga menggunakan wang untuk memancing undi pada pilihan raya kecil itu.

Beliau mengulas desas desus wujud keraguan pada keputusan pengiraan di peti undi Manek Urai Lama di mana BN sepatutnya dikatakan menang dengan majoriti 289 undi tetapi hanya diumumkan 189 undi oleh SPR.

Keputusan yang dibuat SPR itu dikatakan memberi kesan yang besar sehingga menyebabkan BN kalah pada pilihan raya kecil itu dengan majoriti 65 undi.

Sementara itu, Tuan Aziz ketika ditemui pemberita berkata beliau menyerahkan kepada pimpinan parti untuk memutuskan sama ada ingin membawa perkara itu ke mahkamah atau sebaliknya.

"Saya difahamkan perkara itu kini sedang dikaji, terpulanglah nanti apa keputusannya," katanya.