Showing posts with label mandat. Show all posts
Showing posts with label mandat. Show all posts

Sunday, July 19, 2009

BIARPUN KALAH, BN TIDAK ABAI MANIK URAI

Inilah baiknya pimpinan UMNO Negeri Kelantan.

Tidak kira musim kempen atau kalah. Pada ketika orang PAS sedang merayakan kemenangan, pemimpin UMNO terus berjumpa penduduk dan berusaha meyakinkan mereka bahawa BN tidak pernah melupakan penduduk Manek Urai.

Pemimpinnya tetap turun padang dan bertemu dengan pekerja Barisan Nasional (BN) dan yang bertungkus lumus berusaha memenangkan BN.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed memberi jaminan BN tidak akan mengabaikan penduduk Manik Urai walaupun tidak diberi mandat pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Selasa lalu.

Beliau berkata parti itu juga akan menunaikan janji yang dibuat sepanjang pilihan raya kecil tersebut berlangsung, terutama dalam aspek pembangunan di kawasan yang agak ketinggalan itu berbanding dengan kawasan lain.

"Kita akan menunaikan janji-janji yang kita buat bergantung kepada keupayaan kewangan kita."

"Sebulan sebelum pilihan raya kecil, kerajaan pusat sudah belanja RM11 juta untuk kawasan Manik Urai untuk baiki jambatan, baiki jalan dan sebagainya. Ini peruntukan biasa yang kita beri, kerana kita tahu kalau nak harapkan kerajaan negeri sikit sangat peruntukan daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Manik Urai di Kuala Krai.

Hadir sama, calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman, bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dan jentera parti itu.

BN tewas dengan majoriti tipis 65 undi pada pilihan raya kecil itu di mana calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50 mendapat 5,348 undi manakala Tuan Aziz memperoleh 5,283 undi.

Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob daripada PAS pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.
Mustapa yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Manik Urai berkata beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memutuskan dalam masa terdekat projek yang dijanjikan atau yang diminta penduduk.

"Kita tak nak tinggalkan terus Manik Urai kerana pilihan raya kecil lalu buktikan rakyat sokong kita dan mahukan pembangunan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata semua sembilan peti undi DUN Manik Urai akan dijadikan anak angkat kepada menteri-menteri bagi memastikan kawasan itu terus mendapat perhatian walaupun ia dikuasai pembangkang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata BN menunggu keputusan pilihan raya kecil itu diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu sebelum menimbang untuk mengambil tindakan susulan termasuk mengemukakan petisyen mengenainya.

Katanya BN juga meneliti maklumat yang diperoleh yang mendakwa pembangkang juga menggunakan wang untuk memancing undi pada pilihan raya kecil itu.

Beliau mengulas desas desus wujud keraguan pada keputusan pengiraan di peti undi Manek Urai Lama di mana BN sepatutnya dikatakan menang dengan majoriti 289 undi tetapi hanya diumumkan 189 undi oleh SPR.

Keputusan yang dibuat SPR itu dikatakan memberi kesan yang besar sehingga menyebabkan BN kalah pada pilihan raya kecil itu dengan majoriti 65 undi.

Sementara itu, Tuan Aziz ketika ditemui pemberita berkata beliau menyerahkan kepada pimpinan parti untuk memutuskan sama ada ingin membawa perkara itu ke mahkamah atau sebaliknya.

"Saya difahamkan perkara itu kini sedang dikaji, terpulanglah nanti apa keputusannya," katanya.

Saturday, July 18, 2009

PAS MENYEBABKAN ISLAM DILABEL MUNDUR - KELANTAN SEBAGAI MODELNYA

Daripada http://tamingsari.blogspot.com/

Pada Pilihan Raya Umum 1990, rakyat dipujuk untuk menukar kerajaan negeri Kelantan daripada Barisan Nasional (BN) kepada PAS supaya negeri itu "membangun bersama Islam".

Rakyat Kelantan akhirnya setuju menukar kerajaan. Oleh itu, BN tewas pada PRU tersebut. PAS pula memerintah Kelantan hingga ke hari ini.

Mandat itu diberikan kerana manifesto "membangun bersama Islam" yang bererti PAS akan membangunkan Kelantan selaras dengan prinsip dan tuntutan Islam. Agama suci itu sememangnya menggalakkan ekonomi umat, keluarga dan negara atau negeri diperkasakan.

Ini juga kerana satu daripada prinsip utama politik Islam adalah mengenai keadilan sosial yang perlu diwujudkan menerusi sistem sosial dan ekonomi Islam.

Rakyat Kelantan melakukan perubahan itu kerana Islam mempunyai prinsip-prinsip pembangunan ekonomi dan masyarakat seperti yang ditentukan oleh al-Quran dan diperjelaskan lagi oleh para sarjana termasuklah Abu Yusof, Tusi, Ibn Taimiya dan Ibn Khaldun yang diiktiraf secara universal sebagai Bapa Sains Sosial.

Antara lain, Ibn Taimiya menitikberatkan aspek tanggungjawab negara (pemerintah) untuk memenuhi keperluan asas rakyat. Tusi memfokus kepada kebajikan masyarakat. Ibn Khaldun pula menghuraikan pertalian antara faktor-faktor ekonomi, politik, sosial, etika dan pendidikan.

Ini bermakna pertukaran kerajaan BN kepada PAS di Kelantan pada 1990 adalah kerana rakyat mengharapkan "pembangunan ekonomi Kelantan secara Islam akan menjadi agenda penting kerajaan PAS".

Walaupun hampir 20 tahun berlalu, janji PAS untuk membolehkan rakyat dan negeri Kelantan "membangun bersama Islam" masih dinanti-nantikan. Sepanjang tempoh itu, majoriti hasil Kelantan bergantung kepada tanah, balak dan lombong. Hasil perindustrian yang besar hanya sekadar impian.

Contohnya, kerajaan negeri menjangka hasil sebanyak RM401 juta menerusi Belanjawan 2008. Perbelanjaan mengurusnya pula melebihi perolehan hasil, iaitu sebanyak RM424.73 juta. Ini bermakna ia adalah belanjawan defisit.

Anggaran hasil bagi 2008 sebanyak RM401 juta itu, majoritinya daripada hasil tanah dan perhutanan. Hasil tanah sebanyak RM166.68 juta atau 41.57 peratus, dan hasil perhutanan sebanyak RM90.97 juta atau 22.69 peratus daripada jumlah seluruhnya.

Lain-lain sumber hasil adalah daripada penjualan batu kuari, fee Mahkamah Syariah, fee untuk Laporan Cadangan Pemajuan di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa, serta pungutan fee pendaftaran nikah melalui e-nikah.

Ini bermakna kerajaan negeri hanya bergantung sepenuhnya kepada tanah, hutan, batu kuari, Mahkamah Syariah dan pernikahan rakyatnya untuk mendapatkan hasil negeri.

Kedudukan kewangan seperti ini sebenarnya sangat mengecewakan rakyat Kelantan kerana hasil sebuah syarikat yang tersenarai di Papan Kedua BSKL pun lebih besar daripada itu.

Jika ramai rakyat Kelantan tidak bayar cukai tanah, kayu balak makin pupus, batu kuari tidak ada pembeli, kes-kes Mahkamah Syariah berkurangan dan pernikahan juga kian merosot, maka akan kosonglah kocek kerajaan negeri.

Sekiranya Kerajaan Pusat memberhentikan terus pembiayaan projek-projek pembangunan di Kelantan yang bernilai berbilion ringgit, rakyat negeri berkenaan PASti hanya mampu menghisap jari kerana kempunan.

Hakikatnya ia tidak harus berlaku. Kerajaan negeri sepatutnya memajukan sektor perindustrian. Tetapi, mengapakah ia gagal dilakukan? Kenapa kilang-kilang yang sedia ada memberhentikan operasinya?

Ekonomi Kelantan sepatutnya sudah menjadi lebih kukuh daripada sewaktu pemerintahan BN. Di Kelantan ada banyak pantai yang indah dan menarik. Ada air terjun dan ada gua. Sungai Kelantan pun patut penuh dengan restoran terapung seperti di Sungai Nil di Mesir.

Anehnya, mengapakah potensi pelancongan seperti ini tidak dibangunkan? Kenapa tidak dieksploitasi wang pelabur dari dunia Islam? Tempoh 20 tahun adalah terlalu lama untuk berdepan dengan kegagalan!

Beribu-ribu anak Kelantan telah lulus universiti, menjadi tenaga professional dan warga korporat di luar Kelantan. Sumber intelek dan tenaga insan seperti ini juga mengapa tidak digembleng untuk membangunkan negeri?

Kelantan mempunyai beraneka jenis kuih- muih yang unik dan lazat. Ada jala emas, ada tahi itik, ada akuk dan lain-lainnya. Ini pun tidak mampu untuk dikomersialkan?
Begitu juga Kelantan mempunyai budaya yang tersohor. Ada mak yong dan menora. Ada dikir barat, ada wayang kulit. Ini semua tidak boleh dijadikan sumber pendapatan negeri? Kelantan cukup masyhur dengan kraf, batik dan songket. Itu pun tidak mampu untuk diperkasakan oleh kerajaan PAS?

Kalau ini semua sukar untuk dilaksanakan, industri serban, kopiah dan jubah seperti dibangunkan oleh masyarakat Islam di China, pun susah untuk dimajukan?

Kerajaan Kelantan sepatutnya sudah menganjurkan seminar untuk menarik pelaburan negara-negara Islam. Kerajaan negeri juga sepatutnya sudah menganjurkan misi perdagangan ke Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Iran dan lain-lain negara di Asia Barat.
Namun semua ini hanya tinggal harapan. Ia belum jadi kenyataan. Malangnya bila rakyat bersuara, kerajaan negeri mula menuding ke arah kerajaan pusat sebagai punca kegagalannya.

Berdasarkan seluruh hakikat di atas, rakyat Kelantan perlu berani bangkit dan mempersoalkan kegagalan PAS dalam melaksanakan manifesto "membangun bersama Islam" yang dijanjikan pada 1990. Tindakan ini diizinkan oleh Islam.

Kerajaan Kelantan perlu menjelaskan kepada rakyat, apakah punca yang menggagalkan pelaksanaan manifesto itu.

Saya memang menghuraikan seluruh perkara di atas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Pilihan raya kecil itu adalah pentas terbaik untuk rakyat memulakan gerakan mengaudit kerajaan Kelantan yang gagal melaksanakan manifesto itu.

Rakyat perlu insaf, pembangunan bukan setakat mengharamkan kedai empat nombor ekor. Pembangunan bukan hanya membuka PASar raya besar. Pembangunan bererti mampu menjana peluang pekerjaan yang besar untuk rakyat.

Oleh itu, isu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat perlu mengatasi seluruh retorik politik dalam kempen di Manek Urai.

Pihak BN perlu menggunakan isu-isu ini sebagai "serangan ke tahap maksimum". Jangan asyik bersikap defensif dan akhirnya terjebak dengan retorik PAS.
Jika BN juga masih belum mengotakan apa-apa janji, tunaikan segera sebagai bukti BN bersikap budiman dan tetap mengotakan janjinya.

PAS pula perlu menggunakan Manek Urai sebagai pentas utama untuk memberitahu rakyat mengapakah ia gagal melaksanakan manifesto PRU 1990.

PAS jangan asyik salahkan pihak lain. Jangan enggan bermuhasabah diri. Jangan marah bila ditegur. Dan janganlah pihak yang menegur secara ikhlas pula didesak untuk meletak jawatan atau keluar parti.

Para pengundi Manek Urai akan berkesempatan menilai parti manakah yang mampu menunaikan janji dan mampu pula membawa pembangunan.

Menerusi kaedah ini, calon yang wajar diberikan sokongan dan kemenangan hendaklah dikaji daripada sudut kemampuan partinya untuk membawa pembangunan fizikal kepada rakyat.

Rakyat Kelantan perlu bertindak sekarang. Kalau dalam PRU 12, rakyat bertindak menyedarkan BN supaya jangan asyik terlena, di Manek Urai kita sedarkan PAS bahawa mandat rakyat jangan dipersia-siakan.

Tindakan ini perlu terutamanya bila situasi mutakhir ini menyaksikan agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan keistimewaan Melayu sedang diganggu-gugat oleh sesetengah pihak.

Rakyat perlu diberitahu dan dididik untuk memilih kail, bukannya ikan.

Akhir sekali, rakyat perlu insaf bahawa Kelantan boleh jadi maju jika pemimpin PAS bersikap berani, jujur dan penuh kreativiti.

Sejak 20 tahun lalu, semuanya hanya retorik bukannya realiti. Bertindaklah sekarang demi kemajuan bersama!