Friday, March 31, 2017

Umrah Guru - ADUN BN Cuba Lindungi Seseorang Atau Kumpulan Menipu?

 

Berkesempatan mengikuti perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu melalui media sosial semalam sangat menarik, terutamanya isu penipuan umrah oleh sebuah yayasan di Terengganu.

Projek yang dinamakan 'Umrah Guru' sepatutnya tidak dilepas tangan oleh kerajaan Terengganu walaupun ia tiada kaitan secara langsung dengan skim itu.

Guru-guru mengharapkan kerajaan membantu mereka dalam isu ini, bukan lepas tangan atau buat-buat tidak tahu mengenainya.

Benarkah kerajaan negeri ppimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman atau Ahmad Razif sendiri tidak tahu mengenai pergerakan yayasan berkenaan.

Namun ternyata, di pihak Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional, mereka terlalu sensitif dengan isu berkenaan.

Kerana itu, terima kasih wakil Bukit Payong (PAS) Mohd Nor Hamzah kerana menimbulkan isu Umrah Guru walaupun cuba diganggu dan dihalang oleh ADUN  Barisan Nasional (BN), Mohd Iskandar Jaafar.

Amat nyata ADUN BN (Jabi) itu berusaha menenggelamkan isu Umrah Guru ini dengan mengatakan ia tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Sedangkan ia sudah menjadi ‘barah’ dan kemarahan guru kepada pihak yang berkaitan dan Mohd Nor meminta kerajaan negeri campur tangan untuk membantu guru-guru mendapatkan hak dan keadilan untuk mereka.

Persoalannya kenapa Iskandar jadi ‘tidak ketentuan’ dan ‘meroyan’ apabila isu ini diketengahkan?
  
Pada 29 Disember 2016 lalu, Polis Terengganu membongkar kegiatan penipuan pakej umrah yang dijalankan sebuah yayasan di Terengganu  melibatkan kerugian kira-kira RM14.2 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata jumlah itu melibatkan kira-kira 4,800 mangsa yang terdiri dalam kalangan guru dan berikutan itu pihaknya telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap pengarah dan akauntan yayasan terbabit.

Pada 14 Disember 2016 lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mendedahkan, pihaknya pernah menolak tawaran mengadakan usaha sama dengan Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) sebelum ini.

Apakah ADUN Jabi itu cuba melindungi seseorang atau kumpulan yang terlibat dalam kes menipu yang sedang dalam siasatan ini?

Semalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menyaksikan adegan agak panas yang sengaja dicipta oleh ADUN BN itu kerana mengganggu ucapan wakil PAS pada sebelah sesi petang.


Kejadian berlaku apabila Mohd Nor menyampaikan  ucapan menjunjung kasih kepada ucapan perasmian pembukaan Dun oleh DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Ketika Mohd Nor menyentuh berkenaan penipuan Umrah Guru yang menganianya sebahagian guru di Terengganu dan pada ketika masih belum menghabiskan seluruh tujuan ucapan beliau, wakil Jabi (BN) bangun mencelah.

Beliau yang terus mengkritik ucapan  Mohd Nor itu tanpa meminta laluan dan terus bercakap seperti seorang yang tidak tahu peraturan sidang DUN.

Malah, Iskandar mendakwa ADUN Bukit Payong itu cuba mengheret kerajaan dalam isu itu.

Sedangkan ucapan sepenuhnya oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu itu hanyalah sebagai rayuan memohon jasa baik agar kerajaan Negeri untuk membantu guru-guru terlibat disamping mengenakan langkah ketat bagi mengelak ianya berulang.

Akibat daripada sikap gelojoh wakil Jabi itu keadaan menjadi tegang dengan campur tangan dari beberapa lagi ADUN  lain yang akhirnya menyebabkan perang mulut berlaku.

ADUN  Jabi itu kemudiannya duduk setelah diarahkan Speaker DUN, Datuk Zubir Embong tanpa beliau meminta maaf diatas perbuatan beliau itu.

Mohd Nor kemudiannya dibenarkan menyambung ucapan yang di dalamnya ada memuji kehebatan guru di Terengganu yang menjulang kecemerlangan pendidikan anak-anak Terengganu dan sewajarnya mereka dibela.

Kes Umrah Guru ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Hasil pemeriksaan di dalam satu akaun milik anak syarikat yayasan berkenaan oleh  pihak polis mengesan terdapat kemasukan wang sebanyak RM14.2 juta ke dalam akaun tersebut.

Yayasan berkenaan menggunakan modus operandi dengan mengeluarkan surat tawaran untuk menarik perhatian guru-guru di negeri ini menyertai pakej umrah yang ditawarkan mereka menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Pengarah Pelajaran Negeri turut disoal.
Katanya pakej berkenaan bernilai RM6,990 seorang namun mereka hanya perlu membayar kira-kira RM3,000 sahaja manakala baki selebihnya dikatakan akan dibiayai oleh syarikat yang membuat tajaan.

Rosli berkata sehingga kini pihaknya telah menerima sebanyak 47 laporan, daripada mangsa manakala satu laporan oleh syarikat agensi pelancongan.

Malah, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu turut dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pakej penipuan pakej umrah yang melibatkan guru.

Polis turut memanggil seorang lagi pegawainya bagi membantu siasatan.


Sehingga kini tiada perkembangan terbaru mengenai siasatan itu.

No comments: