Thursday, March 29, 2012

Wajar Sekali Jika BN Selangor Hantar Memo Kepada Sultan

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan mengambil langkah tertentu bagi membantah tindakan Speaker DUN Datuk Teng Chang Khim menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) pada persidangan Dun itu semalam.

Mereka menyifatkan tindakan Teng yang menggesa anggota exco kerajaan negeri agar membahaskan kejayaan empat tahun pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor sebagai berat sebelah dan tidak profesional.

Ketua Penerangan UMNO Selangor Abdul Shukor Idrus berkata antara tindakan yang difikirkan ialah menghantar memorandum kepada Sultan Selangor bagi membantah tindakan itu.

BN merupakan pembangkang dalam DUN Selangor.

Semalam, enam anggota DUN dari BN bertindak keluar dewan kerana membantah SMS itu dengan menyifatkannya sebagai berat sebelah oleh Speaker berkenaan.

Teng ketika mengulas perkara itu semalam menjelaskan bahawa beliau secara tidak sengaja menghantar SMS itu kepada anggota DUN Bebas Datuk Dr Hasan Ali kerana nama beliau masih diletakkan sebagai exco dalam telefon Teng.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Program Rapat 1Malaysia bersama Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUUiTM) di Shah Alam, semalam, Abdul Shukor, Adun Kuang, berkata sebagai Speaker Teng harus bebas, adil dan bertanggungjawab dalam mengendalikan sidang DUN.

Beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor daripada Barisan Nasional bertindak meninggalkan persidangan kelmarin kerana membantah tindakan Teng yang mereka anggap sebagai tidak adil.

Abdul Shukur berkata Teng telah menyalahgunakan kuasanya apabila menghantar SMS meminta semua anggota Exco kerajaan negeri "menggunakan peluang secukupnya" untuk menjelaskan kejayaan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat itu memerintah Selangor selama empat tahun dalam sesi penggulungan perbahasan.

"Speaker tidak boleh hantar SMS sebegini kepada ahli exco sebab hanya MB (Menteri Besar) sahaja boleh hantar SMS untuk meminta semua ahli Exco membahas tentang kejayaan pakatan PKR-DAP-PAS memerintah Selangor.

"Ini jelas menunjukkan Speaker mengambil pendirian berat sebelah apabila hantar SMS yang memberi rangsangan kepada anggota exco supaya menjawab baik mengenai pemerintahan pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas keluar dari dewan itu kelmarin.

Turut bertindak keluar adalah Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong), Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali), Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baharu), Datuk Abdul Rahman Palil (BN-Sementa) dan Badrul Hisham Abdullah (BN-Pelabuhan Klang).

Mohd Shamsudin pula berkata Teng sepatutnya meminta maaf kepada semua anggota dewan kerana SMS yang dihantarnya itu bertentangan dengan amalan seorang Speaker kerana ia cuba mempengaruhi pemikiran orang lain untuk membahas sesuatu isu.

SMS dalam bahasa Inggeris itu antara lain berbunyi: "Ini mungkin penggulungan terakhir bagi exco, peluang harus digunakan sepenuhnya bagi menjelaskan tentang kejayaan kita sejak empat tahun lepas."

Teng pula berkata beliau tidak mengambil sikap berat sebelah "dalam usaha mendekati dan menegur semua anggota dewan".

Beliau berkata SMS yang dihantarnya itu hanya untuk memberi peringatan kepada semua anggota exco untuk menggunakan peluang sebaik-baiknya membahaskan tentang sesuatu isu.

Teng berkata mana-mana wakil rakyat BN boleh membawa usul terhadap beliau jika beliau menyalahgunakan kuasanya.

No comments: