Sunday, February 26, 2012

Undi Sesiapa Sahaja Asalkan Calon BN - Dr Mahathir

"Walaupun peringkat bahagian parti mencadangkan beberapa nama tetapi atas sebab tertentu individu yang bukan ahli parti dipilih sebagai calon, anggota UMNO mesti menyokong dan mengundi calon itu kerana yang penting ialah kemenangan parti, bukannya individu...." Tun Dr Mahathir Mohamad

Anggota UMNO hendaklah mengetepikan semua soal lain berkaitan pencalonan dalam pilihan raya umum akan datang dan sebaliknya mengundi sesiapa saja yang mewakili Barisan Nasional (BN) untuk menjamin kemenangan dengan majoriti yang selesa.

Hal ini ditegaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kira-kira 7,000 pemimpin akar umbi yang terdiri daripada ketua cawangan, ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri dalam satu perjumpaan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dalam satu kenyataan mengenai perjumpaan itu berkata:

"Dr Mahathir menekankan paling penting ialah Barisan Nasional menang majoriti dua pertiga kerusi di peringkat negeri dan Parlimen kerana ia akan menentukan BN dapat menubuhkan kerajaan atau tidak."

Dr Mahathir berkata walaupun peringkat bahagian parti mencadangkan beberapa nama tetapi atas sebab tertentu individu yang bukan ahli parti dipilih sebagai calon, anggota UMNO mesti menyokong dan mengundi calon itu kerana yang penting ialah kemenangan parti, bukannya individu.

Menurut Dr Mahathir, tiada guna jika hanya orang tertentu yang kita mahu menjadi calon itu menang tetapi akhirnya BN tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan.

Bekas presiden Umno itu turut mengingatkan pemimpin UMNO dan parti komponen BN di semua peringkat supaya jangan sekali-kali mensabotaj parti dan calon parti jika mereka tidak dicalonkan kali ini.

"Beliau juga menasihatkan ahli UMNO jangan melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati dan sensitivi masyarakat, apatah lagi ahli parti komponen lain supaya kelebihan utama BN iaitu perpaduan, dapat diperkuatkan," kata Mohd Zin.

Pada keseluruhannya, Mahathir menyarankan tiga pendekatan untuk anggota UMNO iaitu berbakti secara berterusan kepada setiap individu dalam masyarakat setempat, berdoa semoga mendapat kejayaan dan bertawakal dengan memberi sokongan dan undi kepada sesiapa saja yang menjadi calon BN dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

Turut berucap pada perjumpaan itu adalah Timbalan Pengerusi UMNO dan BN Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani.

No comments: