Monday, July 5, 2010

KBS TARIK BALIK PERUNTUKAN BINA GELANGGANG FUTSAL

Kementerian Belia dan Sukan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik peruntukan bagi pembinaan gelanggang futsal di negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang sekiranya tidak mendapat kerjasama berhubung tapak pembinaannya.

Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ibrahim berkata, sebaliknya peruntukan itu akan diagih-agihkan kepada negeri-negeri yang memberi kesanggupan untuk meluluskan tapak terutama kerajaan negeri yang diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Sejak projek itu diperkenalkan tahun lepas pihak kementerian sukar untuk mendapatkan tapak, termasuk di Kelantan dan Pulau Pinang, tanpa sebarang alasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Puteh di Pasir Puteh malam semalam.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata hanya 60 daripada 90 gelanggang yang diluluskan sehingga ini di Kelantan, dapat dilaksanakan.

"Itupun ia terpaksa dibina di sekolah-sekolah dan kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang tapaknya dimilki oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata begitu juga dengan cadangan untuk membina 80 gelanggang di Pulau Pinang tetapi hanya 11 dapat dilaksanakan disebabkan masalah yang sama.

Katanya kementerian itu bercadang membina 1,178 buah gelanggang di seluruh negara yang membabitkan peruntukan RM150,000 sebuah bagi faedah belia menggunakannya untuk aktiviti sukan futsal, badminton dan sepak takraw.

Beliau berkata gelanggang itu penting bagi mengurangkan gejala sosial di kalangan belia seperti kegiatan "mat rempit tanpa mempunyai agenda politik.

"Kita menerima maklum balas, sejak pembinaan itu diperkenalkan, ia telah berjaya mengurangkan kegiatan yang tidak bermoral kerana mereka dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan yang lebih berfaedah di gelanggang berkenaan," katanya.

No comments: