Sunday, January 3, 2010

GANTIRUGI RM800 JUTA ‘SAMPAH BN’?

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat asyik nak salahkan Barisan Nasional (BN) sahaja. Dalam kepalanya tiada lain, semua kerja BN adalah untuk ‘merosakkan PAS’.

Nik Aziz lupa bahawa apabila sesebuah parti mengambil alih sesebuah kerajaan lama, segala hutang dan liabiliti terpaksa ditanggung oleh mereka. Kalau bentuk kerajaan kemudian mahu menyalahkan kerajaan lama, itu bukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Semalam Nik Aziz berkata BN yang memerintah negeri ini pada 1975 sebagai penyebab kerajaan negeri perlu membayar ganti rugi RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn. Bhd.

Beliau menyifatkan kes tersebut sebagai 'sampah' yang dilakukan oleh kerajaan BN ketika itu dan kerajaan PAS hari ini yang perlu membersihkannya.

"Benda ini orang lain yang buat, sampah orang lain yang buang, kita kena sapu. Ini penyakit bagi jaga negeri kepada orang yang tidak pandai.

"Benda ini bila kita bagi jaga negeri atau Malaysia kepada orang tidak pandai akhirnya imej politik lebih jadi buruk, setengah tok guru tidak mahu ceburi politik kerana disangka buruk, politik itu yang buruk, tetapi politik saya comel, politik Nabi Muhammad, politik Nabi Muhammad yang pertama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Ibu Pejabat PAS Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad, berkata Kerajaan PAS Kelantan tidak boleh menuding jari kepada BN apabila terpaksa membayar ganti rugi RM800 juta kepada syarikat pembalakan, Timbermine Sdn. Bhd. ekoran pelanggaran kontrak.

Beliau berkata, segala keputusan yang dibuat termasuk penamatan kontrak pada 1975 dilakukan oleh kerajaan PAS yang ketika itu berada di bawah komponen BN.
Katanya, PAS jangan hendak berselindung di sebalik lalang sehelai dengan tidak mengambil tanggungjawab ini apabila tewas di mahkamah.

"Kita pun mewarisi daripada dia juga dulu... apa yang BN buat adalah membetulkan keputusan yang salah pada 1964 yang memberikan kontrak kepada syarikat pembalakan ini.

"Lagi pun Menteri Besar Kelantan pada 1975 ialah Datuk Mohd. Nasir, kerajaan BN Kelantan yang diterajui oleh PAS, dia tak fahamkah kerana pada ketika itu kerajaan campuran terbentuk di Kelantan dengan PAS 22 kerusi, UMNO (13) dan MCA satu kerusi. Macam kerajaan BN di Pulau Pinang dulu diterajui oleh Gerakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan kerajaan PAS Kelantan bahawa mereka hanya mewarisi tinggalan kerajaan BN dahulu dan terpaksa menanggung beban atas warisan tersebut.

Ia disebabkan kerajaan BN pada 1975 telah membatalkan perjanjian dengan sebuah syarikat pembalakan Timbermine Sdn. Bhd. yang diberikan kuasa untuk mengeluarkan balak di kawasan seluas 204,095 hektar di Hulu Kelantan.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Bharu Rabu lalu, kerajaan negeri diarah membayar ganti rugi kira-kira RM800 juta kepada Timbermine kerana melanggar perjanjian.

Jumlah ganti rugi tersebut dikatakan yang tertinggi dalam kes saman sivil di negara ini.

Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, pembatalan kontrak itu dibuat disebabkan kerajaan BN pada ketika itu mahu membangunkan kawasan tersebut dan ia terbukti dengan penubuhan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

"Tanah itu diambil balik untuk Kesedar hari ini, semua kawasan Kesedar adalah kawasan Timbermine yang diselesaikan melalui rundingan sebab itu kena bayar pamPASan RM3.5 juta.

"Kawasan Hulu Kelantan hanya dibangunkan pada 1974 selepas Kesedar dibangunkan dengan Datuk Ariffin Said menjadi pengurus besar yang pertama dan mula mengambil orang miskin sebab itu pada zaman BN semuanya dah selesai dan mereka tidak saman ketika itu," katanya.

Katanya, perjanjian pada 1964 amat longgar dan ia tidak dapat membangunkan kawasan tersebut disebabkan kontrak itu hanya untuk mengeluarkan balak serta sebagai timbal balas, Timbermine perlu menyediakan jalan bagi penduduk.

Tambahnya, sewajarnya tidak timbul soal kerajaan BN dahulu kerana berdasarkan prinsip PAS perlu mewarisi semua pusaka yang ditinggalkan sebelum ini.

"Kenapa hendak perintah hendak ambil yang baik sahaja, bila kita ambil kena ambil semua aset dan liabiliti. Macam kita kahwin takkan hendak ambil yang elok saja daripada perempuan yang bakal menjadi isteri, kita harus menerima semuanya.

"Kalau begitu alasannya, keluar sajalah dari Kota Darulnaim, Balai Islam dan JKR 10 kerana semua itu dibuat oleh BN dan peninggalan kerajaan BN.

"Pada masa yang sama, kenapa mereka tidak berunding sebelum 2004 sebab pada masa BN dulu kerajaan boleh selesai di meja rundingan," katanya.

Pada sidang akhbar khas semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, pada 1975, kerajaan BN telah menamatkan perjanjian dengan Timbermine sehingga menyebabkan tindakan undang-undang diambil oleh syarikat itu.

Perjanjian di antara kerajaan negeri dengan Timbermine dibuat pada 1964 ketika pemerintahan PAS bagaimanapun pada 1975 ketika PAS menjadi parti komponen BN, kerajaan negeri ketika itu menamatkan perjanjian tersebut.

Sebagai balasan, kerajaan negeri perlu membayar sebanyak RM3.5 juta dan hasil rundingan itu juga, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan sebuah syarikat dengan memberi pemilikan saham sebanyak 30 peratus kepada syarikat terbabit untuk membangunkan tanah seluas 112,000 hektar di Hulu Kelantan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS turut mendakwa BN tidak menepati janji untuk menyelesaikan masalah yang timbul dengan Timbermine pada ketika itu selePAS berjaya memerintah negeri ini tanpa PAS pada 1978.

"Cerita ketika itu timbul PAS gadai tanah kepada tauke Singapura, tauke ini ialah Timbermine, hendak tebus balik, undi saya (BN), kalau tidak undi akan digadai selamanya.

"Benda ini masuk dalam kepala rakyat, mereka yang melakukannya, setengahnya sudah mati, ada seorang dua lagi mereka kata undilah saya (BN) kalau undi PAS kena gadai sokmo (selalu).

"Akhirnya undilah (menang) kita sangka tebus dah, tapi tidak lagi, buktinya kita kena bayar RM800 juta, mereka tipu saya," katanya.

No comments: