Tuesday, December 7, 2010

TIDAK HALANG SELANGOR AMBIL ALIH SYARIKAT KONSESI AIR

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), tidak pernah menghalang hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih Syabas dan tiga lagi syarikat konsesi air di negeri Selangor.

Menteri berkenaan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata ia boleh dilakukan asalkan hasrat tersebut dibuat berasaskan prinsip "sedia beli sedia jual", menghormati perjanjian konsesi sedia ada yang masih sah dan berkuat kuasa serta kerajaan negeri membiayai sendiri pengambilalihan itu sepenuhnya.

Persetujuan ini diberikan sejak cadangan penstrukturan semula industri bekalan air di negeri Selangor dikemukakan kepada Kerajaan pada awal 2008, katanya.

Chin berkata perkara ini telah banyak kali dijelaskan menerusi surat-surat kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kenyataan media selain penjelasan di Parlimen.

Kali terakhir penjelasan dibuat oleh Menteri kepada Menteri Besar Selangor ialah melalui surat bertarikh 24 Nov, kata Chin.

"Berdasarkan persetujuan yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih empat syarikat konsesi secara "willing buyer, willing seller" yang disampaikan melalui surat oleh Menteri, yang terbaharu bertarikh 24 Nov 2010, sepatutnya sudah tiada ada keperluan bagi Kerajaan Negeri Selangor untuk menyerahkan memorandum (kepada Yang di-Pertuan Agong) semalam, ataupun mengajak penyokong-penyokongnya berdemonstrasi.

Apa yang perlu dilakukan secepat yang mungkin oleh Kerajaan Negeri ialah mengemukakan tawaran pengambilalihan kepada empat syarikat konsesi seperti yang dihasratkan oleh Abdul Khalid, kata KeTTHA.

Chin membuat kenyataan itu sebagai reaksi kepada pengumuman Abdul Khalid yang hari Isnin mengumumkan Kerajaan Selangor sudah memperoleh kebenaran bertulis pada 3 Dis daripada KeTTHA untuk membeli kesemua empat konsesi syarikat air di negeri itu.

Berikutan itu, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan tawaran terbuka untuk membeli kempat-empat syarikat konsesi air berkenaan bagi melaksanakan plan penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu dalam tempoh tiga minggu mulai sekarang.

"Kita akan kemukakan tawaran terbuka mengikut syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti bagi tujuan pembelian dalam tempoh antara dua atau tiga minggu," katanya Abdul Khalid di Shah Alam semalam.

Empat syarikat konsesi air di Selangor itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash) and Konsortium ABASS.

Abdul Khalid berkata langkah untuk membeli syarikat-syarikat konsesi itu serta pendirian kerajaan negeri berhubung isu air, akan dimaklumkan kepada kementerian berkenaan.

Menurutnya beliau berpendapat keputusan Kerajaan Persekutuan memberi sedikit kelonggaran dalam isu air itu untuk mempercepatkan projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor bagi membekalkan sebanyak 1,890 juta liter air mentah sehari ke Lembah Klang.

Sebelum ini, wujud masalah antara kerajaan Selangor dengan Syabas, yang merupakan syarikat pengurusan air di negeri itu, termasuk pertikaian mengenai kenaikan kadar tarif air.

November lepas, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mahu menaikkan tarif air sebanyak 15 peratus untuk pengguna air di Selangor menerusi proses penstrukturan industri air di Selangor yang masih dalam rundingan.

Mengikut perjanjian penswastaan industri air Selangor yang ditandatangani oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada 2004, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menetapkan kenaikan tarif air pada kadar 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus lagi pada 2015, katanya.

Pada masa ini, kadar tarif air domestik di Selangor ialah 57 sen bagi setiap 20 meter padu pertama, dan berdasarkan perjanjian konsesi itu, tarif air itu akan meningkat sehingga RM1.17 bagi setiap meter padu pada 2015.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri tidak bersetuju kadar tarif air dinaikkan kerana mendakwa SYABAS tidak mematuhi syarat-syarat perjanjian konsesi air itu.

Jika konsesi industri air disusun semula, kenaikan tarif air dapat dikurangkan dan harga bekalan itu dapat distabilkan, katanya.

No comments: