Sunday, June 6, 2010

WANG IHSAN TURUT DIAGIH KEPADA PELAJAR TINGKATAN ENAM

Pengagihan wang ihsan di Kelantan yang sebelum ini hanya untuk pelajar sekolah rendah akan turut diberi kepada pelajar tingkatan enam bawah dan enam atas yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pihaknya telah mengenal pasti antara 6,000 dan 8,000 pelajar tingkatan enam yang akan menerima wang tersebut.

Selain itu, antara 12,000 dan 14,000 murid sekolah rendah juga akan menerima wang ihsan tersebut yang akan diberi dalam tempoh terdekat membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM10 juta, katanya kepada Bernama selepas merasmikan Ujian Kemahiran Menembak di Lapang Sasar Gunung, Bachok semalam.

Masing-masing akan menerima RM200, katanya.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata kerajaan persekutuan juga bersetuju garis pendapatan ibu bapa yang melayakkan anak mereka menerima wang ihsan itu dinaikkan daripada RM530 kepada RM1,500 sebulan.

Peningkatan garis pendapatan bulanan ini akan membolehkan penjawat awam berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak turut menikmati bantuan tersebut, katanya.

Bagaimanapun, Awang Adek berkata pelajar sekolah rendah yang menerima bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin tidak akan diberi wang ihsan itu.

No comments: