Friday, September 23, 2016

‘Parti Malaya’ Pecahkan Masyarakat, Pupuk Perkauman, Musnahkan Malaysia?


Apakah Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO, PKR, PAS, DAP dan parti-lain yang ada di Semenanjung memecahbelahkan masyarkat. khususnya di Sabah?

Juga benarkah "politik Malaya sudah memusnahkan negara" ini?

Hari ini Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee berkata orang ramai berpecah-belah disebabkan konflik yang berpunca daripada politik perkauman.

Menurutnya "parti Malaya" telah gagal dan "politik Malaya sudah memusnahkan negara" ini.

Kerana itu semua suku kaum orang Sabah kembali ke parti Sabah," katanya seperti yang dipetik oleh Malaysiakini.
  
Malaya yang disebut Yong itu merujuk kepada Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, politik Malaya amat bersifat memecah-belahkan. ia tidak baik untuk Malaysia. Tidak baik untuk Sabah dan Sarawak.


Kecenderungan kini ialah, semakin ramai orang meninggalkan parti (bersifat nasional) untuk menyertai parti tempatan di Sabah.

Yong yang berkhidmat sebagai ketua menteri antara 1996 hingga 1998 berkata negara amat terjejas oleh polarisasi perkauman dan agama.

Menurut presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) itu, sementara di Sabah dan Sarawak (masyarakatnya hidup dalam) harmoni, negara Malaysia sedang dibankrapkan oleh parti-parti politik Malaya.

Yong mengulas demikian tiada kena mengena dengan keputusan anggota parlimen Penampang, Darell Leiking keluar dari PKR. Bekas naib presiden PKR itu kini bersama Datuk Seri Shafie Apdal yang dalam proses menggerakkan sebuah parti baru menggunakan pertubuhan sedia ada di Sabah.

"(Ia berdasarkan) situasi secara keseluruhan, bukannya kerana Darell," kata Yong. Bagi beliau,  kembalinya Leiking berpolitik di Sabah membuktikan betapa sia-sianya parti dari Semenanjung.

Darell...letak jawatan berkuatkuasa serta merta.
Semalam (22 September 2016),  Naib Presiden PKR itu  mengumumkan meletak jawatan dan keluar PKR.

Peletakan jawatan itu  berkuat kuasa serta merta.

Beliau menjelaskan sudah menemui Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menyatakan hasratnya itu dan menurutnya presiden menghormati keputusannya.

Darell mengesahkan menyertai parti tempatan Sabah yang bakal diterajui bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengenai jawatan yang ditawarkan kepadanya dalam parti yang akan disertainya, Darell berkata beliau ada berbincang mengenai jawatan dengan Mohd Shafie namun belum membuat keputusan sama ada menerimanya atau tidak.

Mohd Shafie yang bertindak keluar UMNO pada 4 Julai lepas hari ini berkata, beliau berhasrat mengambil alih sebuah parti politik di Sabah untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang. 

Wednesday, September 21, 2016

Rancang Guling Dr Mahathir – Sah Anwar Melakukannya...


Kenyataan bahawa Anwar memang rancang untuk guling Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri bukan dibuat di kedai kopi atau kedai mamak tetapi di mahkamah.

Apakah Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Lokman Noor Adam, 43, sengaja berbohong dengan jawapannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam?

Pastinya tidak.

Semalam Lokman berkata bahawa bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang untuk menggulingkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1998.

Rancangan Anwar itu telah dimaklumkan oleh setiausaha politiknya, Mohamad Ezam Mohd Nor ketika mereka berjumpa di sebuah hotel di Batu Pahat, Johor Bahru, pada tahun berkenaan.

Menurut Lokman Mohamad Ezam memberitahu beliau dan dua orang lagi mengenai rancangan Anwar dan turut memaklumkan Anwar yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak boleh bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Mohamad Ezam memaklumkan Anwar sudah tidak boleh tahan dengan Dr Mahathir dan tidak bersetuju dengan dasar ekonomi dan politik yang dibawa oleh Mahathir.

Beliau menyatakan demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.


Lokman (gambar atas) merupakan saksi keempat defendan yang memberi keterangan pada hari kedua pendengaran kes saman fitnah RM100 juta difailkan Anwar terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Lokman, yang merupakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata Mohamad Ezam pernah memujuknya untuk menjadi sebahagian daripada rancangan Anwar untuk menjadi Presiden UMNO.


Saksi keempat itu berkata beliau ada berjumpa dengan seorang pegawai khas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika itu (1998) untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya sama ada Anwar mempunyai rancangan untuk 'menikam  belakang' Dr Mahathir ataupun ia rancangan Mohamad Ezam.

Lokman berkata rancangan Anwar itu telah disahkan oleh pegawai khas kepada Ahmad Zahid.

Lokman turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau berada di kediaman rasmi Anwar pada 2 September 1998 semasa tiga orang polis menyerahkan surat kepada Anwar berhubung pemecatan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Saya katakan beliau (Anwar) dipecat kerana usahanya untuk menggulingkan Dr Mahathir," katanya.

Lokman berkata beliau juga telah dipecat sebagai anggota UMNO pada 6 Okt 1998 selepas Anwar dipecat daripada jawatannya itu pada 2 September  1998.

"Selepas itu, saya masuk PKR dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Pemuda PKR tetapi digugurkan daripada parti itu pada 2004.

Ia dibuat  selepas mengkritik kepimpinan parti itu," katanya yang turut memaklumkan Anwar adalah idolanya sebelum ini.

Pendengaran kes saman di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan bersambung Khamis. Khairy turut hadir di mahkamah semalam.

Beliau yang merupakan saksi defendan pertama selesai memberi keterangannya semalam.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman fitnah itu dengan mendakwa Khairy, yang ketika itu naib ketua Pemuda UMNO, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Feb 2008.

Katanya perkataan fitnah dan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan di laman web, termasuk dalam portal Malaysiakini.com.