Thursday, April 4, 2013

Nik Aziz Buat Hal Lagi...Dakwa Sembahyang Orang UMNO Tidak Dapat Pahala!


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat makin menyusahkan penyokong dan parti PAS.

Beliau terus-menerus mencetuskan kontroversi melalui fatwa-fatwa beliau terhadap keislaman orang UMNO termasuk sebelum ini mendakwa UMNO murtad kerana menolak Islam.

Malam tadi, Nik Aziz mendakwa sembahyang orang UMNO tidak memberi sebarang pahala kerana parti itu telah menolak dasar Islam.

Dalam masa sama, Nik Aziz turut mendakwa UMNO telah menolak Allah SWT kerana selama ini mengamalkan dasar kebangsaan dengan menolak dasar Islam dalam pemerintahan.

"UMNO tolak Islam, tolak Islam maknanya tolak Allah dan kalau sembahyang tokleh (tidak boleh) pahala, boleh pahala gapo (apa) kalau tolak Islam.

"Kalau orang Pas tolak Islam pun tokleh pahala, orang Pas kalau riak tokleh pahala dan kalau kedekut pun tidak boleh pahala.

"Kalau nak boleh pahala ikhlas ini bukan senang, hendak boleh pahala ikhlas lagu mano (bagaimana) kalau tolak Islam, Allah yang bawak turun Islam kepada Nabi Muhammad SAW tiba-tiba UMNO tolak ambil kebangsaan, nak boleh gena (macam mana) pahala kat orang tolak Islam," katanya ketika berceramah di Kampung Jambu di Kota Bharu, i malam tadi.

Kira-kira 500 orang yang rata-ratanya terdiri daripada penyokong tegar Pas menghadiri ceramah berkenaan.

Pada 17 November tahun lalu pada sidang akhbar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu Nik Aziz mendakwa UMNO merupakan sebuah parti yang murtad kerana menolak dan memperlekehkan Islam dalam dasar parti itu. Nik Aziz dalam nada tegas kemudian turut melontarkan persoalan sama ada parti itu kini menganut agama Kristian, Buddha atau pun sebuah parti politik yang tidak mempunyai agama.

Pas sebelum itu menerusi adik Nik Abdul Aziz, Nik Razi Nik Mat turut mendoakan supaya Allah SWT menjahanamkan UMNO dan BN dalam majlis solat hajat di Stadium Muhamad Ke-IV sempena Muktamar Tahunan Pas itu.

Dalam pada itu, Nik Aziz semasa ceramahnya itu kemudian menyeru agar rakyat di Kelantan supaya memberi undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

"Hambo (saya) pesan pada suma rakyat baik Pas lebih-lebih lagi UMNO, tolong undi Pas... demo (kamu) hendak UMNO, UMNO lah, tapi beri kertas undi, undi Pas.

"UMNO bagi duit ambil, bagi gula kacau, bagi kain pakai,bagi lembu sembelih tetapi apabila bagi kertas undi, pangkah Pas, kita nak ajar dia (UMNO)," katanya.

 - UTUSAN ONLINE

Saturday, December 15, 2012

PM - DAP, PKR TETAP BERBEZA PENDAPAT DENGAN PAS


Biarlah pakatan pembangang dengan cerita mereka – siapa akan jadi Perdana Menteri.

Rakyat akan menilai kerana Barisan Nasional (BN) tidak menonjolkan isu itu tetapi BN lebih utamakan apa yang dapat diberikan kepada rakyat.

Nyata sekali perbezaan terus wujud antara DAP, PKR dan PAS.

PKR sudah menentukan siapa Perdana Menteri yang tidak akan lain selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, sementara Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini mengulangi sokongannya kepada ketua pembangkang itu untuk menjadi perdana menteri jika pembangkang menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.


Nampaknya PAS terkontang-kanting masih mahukan Presidennya menjadi Perdana Menteri namun DAP dan PKR tidak ada keyakinan kepada Presiden PAS itu untuk menjadi Perdana Menteri.


Rekod Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu selama lima tahun menjadi Menteri Besar tidak menyerlah langsung.

"Apabila kami menang dan tawan Putrajaya, kami dalam DAP akan memberi kerjasama untuk tentukan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri," kata Karpal pada ucapan perasmian Kongres Kebangsaan DAP kali ke-16, di Penang International Sport Arena (PISA) di Pulau Pinang hari ini.

Pendirian beliau itu nyata bertentangan dengan resolusi Pas baru-baru ini yang memilih presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai perdana menteri jika pakatan pembangkang dipilih menjadi kerajaan baharu Malaysia.

Kemelut calon PM juga menjadi perkara utama yang dibincangkan pada Muktamar PAS baru-baru ini apabila delegasi parti Islam tersebut mencadangkan supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengisi jawatan penting itu.

Namun Karpal dalam ucapannya tidak mengulas lanjut terhadap permintaan oleh rakan mereka, PAS tersebut tetapi berkata parti tersebut sebagai rakan paling utuh yang banyak memainkan peranan penting dalam PR.

Walaubagaimanapun, Hadi pula berkata rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai PM yang disifatkannya sebagai “amanah berat” meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

“Apa yang penting kepada kami, kita ke Putrajaya.

“Siapa yang jadi PM, yang diterima oleh rakyat, yang dapat menyatukan rakyat, dapat menegakkan keadilan untuk rakyat,” kata beliau November lalu.

Selain Karpal, penasihat parti Lim Kit Siang sebelum ini juga secara secara terbuka berkata bahawa PR mahukan Anwar memegang tampuk pemerintahan negara itu, dan pendapat itu turut dikongsi oleh setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng awal tahun ini.

Bagaimanapun, bagi Karpal, Pas akan menjadi sekutu penting dalam pakatan pembangkang, meskipun mereka (Pas) mungkin mempunyai prinsip yang berbeza.


Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang hadir sebagai pemerhati pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 hari ini bijak menyimpan perasaan PAS

Baginya, DAP berhak menyatakan calon perdana menteri mereka sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

“Itu adalah hak DAP untuk nyatakan secara terbuka calon pilihan perdana menteri mereka,” kata Mustafa. Memang wajar sekiranya beliau mengatakan PAS masih belum memutuskan tentang siapa pilihan mereka untuk mengisi jawatan penting tersebut.

“Berbeza dengan DAP, kami (PAS) tidak memutuskan siapa lagi calon dan tidak menyatakan secara terbuka mengenai perkara itu.

Lagipun pilihan raya belum mula lagi, malahan kita belum tahu lagi calon itu (Anwar) akan menang atau tidak,” jelas beliau.

Mustafa berkata keputusan muktamad hanya boleh diputuskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia.