Tuesday, September 6, 2016

Bantah MKN - Kenapa Persoal Dr Mahathir-Anwar Bergabung Tenaga?


Harapkan pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) bercakap baik mengenai ‘pertemuan Dr Mahathir – Anwar’ di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam?

Jangan haraplah.

Juga mengharapkan media prokerajaan dan proUMNO mengulas pertemuan itu sebagai yang akan membawa kebaikan kepada politik dan pentadbiran negara?

Jauh sekali.

Akhirnya pertemuan itu dianggap sebagai tidak akan menyumbang apa-apa makna kepada politik dan pentadbiran negara.

Hakikat sebenar disembunyikan tetapi yang ditonjolkan melalui kenyataan-kenyataan membidas Dr Mahathir ke pertemuan itu  ialah Datuk Seri Mohd Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak disisihkan ke luar gelanggang kuasa di negara ini.

Kerana itu dipusing-dipusingkan cerita kepada berbagai perkara, sedangkan pertemuan itu bagi Dr Mahathir bertujuan menunjukkan sokongan kepada bantahan Anwar dalam perkara membabitkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Ditanya wartawan tujuan beliau berjumpa Anwar, Dr Mahathir berkata: “Saya berminat dengan kes ini kerana seperti yang kamu tahu ia berkaitan MKN. Saya telah tulis blog dan beliau juga buat perkara sama. Beliau akan hentikan (akta itu).

Jadi saya datang jumpa beliau dan berbual panjang berkaitan apa yang beliau sedang buat.”

Anwar, 68, yang kini menjalani hukuman penjara kedua selama 5 tahun, mendakwa Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menuntut deklarasi Akta MKN tidak berperlembagaan dan terbatal serta perintah injunksi menghalang penguatkuasaan MKN.


Akta MKN yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu antara lain memberikan kuasa kepada perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” di mana beliau boleh membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.

Akta itu diluluskan tanpa mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong, walaupun istana pernah mencadangkan beberapa perubahan.

Mengenai pertemuan itu, Dr Mahathir apabila disasak wartawan sama ada pertemuan dengan bekas timbalannya bermakna kedua-dua mereka sudah bermaafan dan “berkawan semula”.turut menjelaskan bahawa ‘kisah lama’ tidak dibincang. 

Itulah hakikat sebenar kenapa  Dr Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi semata-mata bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta MKN.

Langkah itu dilihat sebagai sokongan moral terhadap Anwar kerana kedua-dua pemimpin itu kini senada menentang akta itu dan menolak kepimpinan Najib Razak.

Anwar, yang juga bekas ketua pembangkang, memohon pengisytiharan bahawa Akta MKN bertentangan dengan perlembagaan.

Pertemuan yang dianggap mesra itu dapat dilihat apabila tangan kiri Anwar juga kelihatan menggenggam tangan kiri Mahathir. Sementara Mahathir pula kelihatan menepuk bahu Anwar.

Kedua-duanya dilihat bersalaman dan beramah mesra sambil disaksikan sejumlah pemimpin pembangkang seperti Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan juga bekas naib ketua cawangan Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Pertemuan kedua-dua tokoh selepas 18 tahun itu pada tengah hari adalah ketika perbicaraan kes saman Anwar terhadap pelaksanaan Akta MKN.

Akibat daripada kedatangan Dr Mahathir bertemu Anwar itu maka terkeluarlah pelbagai kenyataan bersifat bimbang dan ‘dendam’ apabila ada pendapat mengatakan pertemuan iyu tidak bermakna selagi bekas perdana menteri itu tidak memohon maaf kepada Anwar dan rakyat Malaysia.

Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang memang kental menyokong Najib mengingkatkan bekas ketua pembangkang itu  supaya tidak lupa berhubung apa yang berlaku pada tahun 1998.

Katanya, tidak lama selepas bekas mentornya Dr Mahathir bersalaman dengan Anwar, bekas perdana menteri itu bertindak nekad menghancurkan kerjaya politik Anwar.

Menurut Salleh, Dr Mahathir bersalaman dengan Anwar hari ini adalah seperti apa yang berlaku pada tahun 1998 sehari sebelum Dr Mahathir memusnahkan Anwar.  "Ciuman Mahathir adalah ciuman maut," katanya dalam blognya.

Bagi Salleh, tindakan itu satu kompromi politik yang agak biasa, yang membuktikan bahawa Dr Mahathir sudah sampai ke penghujungnya.

Hujah Salleh selanjutnya, Dr Mahathir menyedari parti baru yang dinaunginya, Parti Pribumi Bersatu tidak mendapat sambutan dan perlu suntikan semangat daripada Anwar.

Kerana itu, Dr Mahathir cuba membina jambatan dengan Anwar - supaya melamar Pakatan Harapan Mahathir akhirnya mengakui beliau tidak lagi mempunyai kekuatan untuk kejayaan partinya.

"Beliau terpaksa menumpang daripada Anwar dan Harapan (Pakatan)," tegasnya.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pula berpendapat, sekiranya bekas Perdana Menteri dan anak didiknya itu bergabung tenaga sekali lagi, mereka akan saling ‘berbunuh’ akhirnya seperti dulu.

Bagi Idris, pertemuan itu hanya mendedahkan betapa terdesaknya Mahathir sekarang ini. “Mahathir sangat terdesak. Anwar tidak akan lupa perbuatan Mahathir pada 1998.”

Idris, yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata sekiranya kedua bekas pemimpin Umno itu kembali bersatu, luka lama akan berdarah kembali.
Sementara dua bekas aktivis reformasi menyifatkan pertemuan kedua-dua mereka membuktikan bekas perdana menteri itu sudah terdesak.

Mereka berkata Dr Mahathir kehilangan punca dalam usahanya menentang Perdana Menteri menyebabkan beliau mengambil tindakan bertemu Anwar.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin berkata pertemuan itu tidak akan membawa apa-apa makna selagi Dr Mahathir tidak memohon maaf kepada Anwar dan rakyat Malaysia.


“Dr Mahathir tiada jalan lain untuk berdepan dengan suasana politik kini yang sudah betul-betul santak ke dinding.

Bekas setiausaha Pemuda PKR yang menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA),  Datuk Dr Mahathir terlalu terdesak, dan kehabisan idea untuk menjatuhkan Najib kecuali dengan bersama orang yang pernah dipecat dan hina.

“Jika Anwar sanggup memaafkan dan bersatu dengan Dr Mahathir sekalipun, pembangkang tetap tidak akan mempunyai satu suara untuk berdepan BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya

Mahathir setakat ini enggan mengulas kehadirannya di mahkamah itu.

Berbeza dengan pandangan penyokong Najib, Datuk Husam Musa melalui blognya menganggap pertemuan itu sebagai ‘Sinergi Dua Gergasi., Kata Husam, ‘Demi Malaysia’: pertautan dua tiang seri politik Malaysia sangat dialukan.

“Saya sudah impikan dua tokoh yang bersalingan selama 19 tahun untuk kembali duduk sebaris.

Saya nyatakan 'mimpi' saya itu dalam ucapan saya di depan Tun dalam majlis ceramah Tun yang pertama di atas pentas Pakatan di Pandan, awal Mac tahun ini,” tegas Husam.

Kata Husam, itulah yang beliau  mampu lakukan untuk melihat dua elemen yang dulunya sangat serasi tetapi kemudian bertentangan atas pengaruh keadaan, untuk kembali mencari 'sinergi ying dan yang'  politik Malaysia.

Tegasnya, keadaan negara masa kini sangat memerlukan sinergi itu.

Bagi Husam, Anwar adalah 'natural succesor' yang masih aktif. Ku Li (Tengku razaleigh Hamzah) dan Tun Musa (Musa Hitam) telah berada di tepi gelanggang atas sebab tersendiri. Keguguran mereka antara lain telah mencipta 'vacuum' kepimpinan. Tun Ghafar (Baba) pula telah pergi.


Bagi Husam, Malaysia masih memerlukan Anwar, selain Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi negara ini keluar dari perairan berbatu dan bergelora pada masa ini.

Walaupun diperlekehkan dan dikatakan sebagai tindakan terdesak ‘oleh penyokong Najib, Anwar sangat menghargai kehadiran bekas bosnya itu.

Beliau berterima kasih kerana kesudian Dr Mahathir datang untuk memberi sokongan kepada usaha beliau sambil mengatakan terharu dengan sikap bekas Perdana Menteri itu.

“Kita bincang masalah MKN, dan hal-hal lain juga. Beliau berbaik hati hadir,” kata Anwar ketika dibawa warden Penjara Sungai Buloh keluar daripada perkarangan mahkamah.

Dr Wan Azizah Ismail yang juga presiden PKR mengelak soalan sama ada beliau kini memberikan kepercayaan kepada Dr Mahathir.

“Beliau hadir memberikan kata-kata semangat, kita bertolak dari situ,” katanya ringkas.

Semalam  genap 18 tahun dan 3 hari Anwar dipecat Dr Mahathir, selepas dituduh menyalah guna kuasa dan salah laku seks.

Anwar kemudian ditangkap di bawah Akta Keselamatan Negara pada 20 September, sebelum dibicarakan dan dipenjarakan 6 tahun atas kesalahan salah guna kuasa.

Monday, September 5, 2016

1MDB - Cerita Kebun Pisang Atas Angin



Seorang bekas wartawan Bernama bagi tahu saya Sabtu lalu (3 September) orang kampung tak faham cerita 1MBD.

Saya tahu. Bukan orang kampung saja tak faham. Orang bandar dan orang berpelajaran pun tak faham melainkan yang arif urus niaga korporat dan kewangan canggih.

Saya pun dah cerita macam-macam cara. Saya yakin ramai yang faham tetapi lebih ramai yang masih tak faham atau samar-samar.

Pernah juga saya ceritakan kepada beberapa orang rakan blogger secara kiasan. Izinkan saya kongsi cerita kiasan itu dengan para pembaca dan pembahas sekalian. Saudara saudari pula boleh kongsi dengan orang lain kalau ada kesempatan.

Saya ibaratkan sebagai cerita dongeng orang berniaga pisang. Minta maaf kalau panjang sikit. Ceritanya macam ini.

1. Ada seorang saudagar minyak unta yang kononnya sangat pandai berniaga. Kalau dia jual batu yang dikutip tepi jalan pun laku. Dulu ada banyak peniaga macam ini di pekan-pekan sehari. Orang putih gelar wheeler dealer atau snake oil salesman. Lebih kurang macam penaja skim cepat kaya Pak Man Telo dan labu peram. Dia Cina. Nama dia Joe Hai.

2. Mula-mula dia pergi ke sebuah kampung nama Kampung Terang. Dia pujuk ketua kampung kongsi tanam pisang. Mereka pun tubuh syarikat Tanaman Istimewa Antarabangsa. Singkatannya TIA.

3. Punyalah hebat putar belit si Joe Hai ini dengan modal hanya RM1 dia boleh pinjam RM5,000 dari bank dalam dan luar negara. Ertinya dia pinjam lima ribu kali ganda daripada modal.

4. Tak pernah jadi dalam dunia di mana beza di antara modal dengan hutang 5,000 kali ganda. Selalunya bank bagi pinjam 50 peratus daripada modal saja. Itu pun dah dikira tinggi dan bahaya. Pernah kah kita dengar orang yang ada modal RM1 boleh pinjam sampai RM5,000? Along dan ceti pun tak bagi hutang sebanyak itu.

5. Yang banyak orang tak sedar, dalam diam-diam Joe Hai gadai tanah orang Kampung Terang yang nak dijadikan tapak projek pisang itu.

6. Perkara ini berlaku pada tahun 2008. Masa tu tak banyak orang sedar. Hanya ketua kampung dan beberapa orang suruhan dia saja tahu. Ikut cerita, tak lama lepas itu Joe Hai lesap dari Kampung Terang. Apa yang jadi dengan tanah orang kampung yang Joe Hai gadai sampai hari ini masih dipertikai.

7. Tiba-tiba, pada tahun 2009, Joe Hai timbul di Kuala Lumpur dan pakat dengan seorang pawang buaya yang tersohor nama Mat Nujum. Dalam kerja dia mudik hulu hilir tangkap buaya ganas, Mat Nujum tahu siapa ada tanah, di mana dan berapa luas. Joe Hai pakat dengan Mat Nujum tukar TIA kepada syarikat baru dengan nama Satu Melayu Dan Baba atau singkatannya 1MDB.

8. Mat Nujum tahu ramai suku sakat dia ada tanah. 1MDB “beli” tanah itu dengan harga murah dan lepas itu jual atau gadai dengan harga mahal. Kerja mereka ambil tanah, pecah lot, gadai atau jual. Tak cukup dengan jual tanah mereka berhutang pula.

9. Nasib mereka baik pasal suku-sakat Mat Nujum tak berapa cerdik dan Mat Nujum pandai reka cerita. Dia  kata, mereka akan untung juta-juta bila tanah mereka dah jadi projek raksasa.

10. Dia ambil hati mereka dengan guna duit hutang dan duit pinjam hantar mereka naik haji dan belanja anak-anak mereka mengaji dalam dan luar negara. Sekali-sekala mereka anjur majlis suka ria sampai bawa masuk artis top dari Korea.

11. Mat Nujum dan Joe Hai gadai sana pajak sini, hutang sana pinjam sini. Bila tak cukup nak bayar bunga dan pokok, mereka berhutang lagi. Kerja mereka korek lubang kambus lubang macam dalam skim cepat kaya.

12. Joe Hai dia pandai. Dia main dari belakang. Dia sendiri orang tak nampak. Dia duduk nun jauh di Amerika. Dia guna Mat Nujum sebagai orang depan. Semua Mat Nujum arah dan tandatangan. Mat Nujum jadi sangat berkuasa dalam kampung pasal duit banyak. Dia kata jalan, jalan. Tak ada siapa nak lawan pasal dah dapat habuan. Macam ayam dapat dedak. Yang tak setuju boleh jalan atau tunggu kena tendang. Pendek kata, Joe Hai jerit ayuh, Mat Nujum pun kayuh.

13. Walaupun Joe Hai ni muda, dia banyak tipu helah. Hasil pakatan dengan Mat Nujum dia jadi kaya-raya dalam sekelip mata walaupun projek pisang tak banyak hasil. Nak bayar bunga pun tak cukup.

14. Dia bagi tahu orang dia usahawan, dermawan, karyawan dan jadi kawan kepada anak tiri Mat Nujum. Dia pun baik dengan pak-pak Arab. Dia tahu, orang Melayu jadi lemah bila berdepan dengan orang Arab. Arab bela unta pun mereka sanjung macam ulama dari Makkah.

15. Dengan hasil perniagaan atas angin itu mereka pun berpesta, beli harta, joli sini joli sana. Nak cepat tunjuk hasil mereka beli kebun pisang orang lain yang pokok-pokok dah tua. Bila sesak tak boleh bayar balik hutang, mereka jual. Ada yang mereka beli mahal tapi jual murah. Beli mahal dari tauke tempatan jual murah kepada tauke Negeri China.
16. Mana pergi duit yang mereka pinjam, tuan tanah dan orang kampung tak tahu. Mat Nujum dan Joe Hai tak bagi tahu. Tiap-tiap tahun buku kira-kira lambat tutup. Bila juruaudit tanya atau tak mahu sahkan akaun, mereka kena tendang. Bila ditanya, Mat Nujum kata rahsia.

17. Satu dunia tahu cerita buruk dan busuk syarikat pisang 1MDB. Tapi dalam kampung semua orang diam. Ada yang diam pasal tak tahu apa-apa tapi ramai yang diam sebab sudah kenyang terbahak macam ayam dibagi makan dedak.

18. Sekonyong-konyong muncul Tok Pendeta yang bertapa di dalam gua. Dia tilik, dia renung dan dia buat congak. Dia tanya, macam mana habis tanah orang kampung kena gadai? Dibeli murah dijual mahal tapi perniagaan tak untung, hutang melambung. Bila sesak jual kepada tauke dari Negeri China dengan potongan harga.

19. Dia kata hutang projek pisang 1MDB dah naik jadi RM42 bilion. Satu bilion (1,000,000,000) bersamaan satu ribu juta. Jadi 42 bilion ringgit bersamaan 42 ribu juta ringgit. Kalau tulis jadi macam ini RM42,000,000,000.

20. Berapa Banyak RM42 bilion? Seorang bekas pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PSRM) kata, RM1 bilion boleh buat 100 buah sekolah rendah, jalan tanah merah 6,600 kilometer dan 500 buah jambatan biasa.

21. Ikut laman web Finance Twitter, RM42 bilion boleh beli sebuah Apple iPad Air bagi setiap orang daripada 30 juta penduduk Malaysia atau boleh bagi makan 100,000 orang hidangan McDonald selama 99 tahun. Boleh beli antara 105,000 hingga 420,000 buah rumah PR1MA. Tapi kalau tukar RM42 bilion jadi beban hutang, setiap orang rakyat Malaysia, termasuk bayi baru lahir, akan tanggung RM1,400 hutang 1MDB tiap seorang tak termasuk faedah.

22. Apakah yang boleh kita tengok hasil hutang RM42 bilion itu? Lubang di tapak TRX Jalan Tun Razak, tanah pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang dah dijual kepada syarikat usaha sama Malaysia-China dan penjana elektrik bebas (IPP) yang dijual kepada kompeni negeri China.

23. Tapi hutang projek pisang atas angin rekaan Mat Nujum dan Joe Hai bukan RM42 bilion lagi. Dah naik jadi RM50 bilion pada bulan Januari tahun ini. Ini bukan Tok Pendeta yang kata. Ini Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang kata. Takkan auta. Orang yang jadi ketua PAC Mat Nujum sendiri lantik.

24. Orang cerdik dah tahu mana pergi baki duit projek pisang atas angin 1MDB itu. Dah kena songlap. Dah pusing satu dunia. Dari Malaysia ke negeri Arab, dari negeri Arab ke Pulau Caymans, dari Pulau Caymans ke Pulau British Virgin Islands (BVI), dari BVI ke Singapura, Hong Kong, Switzerland, England, Australia dan Amerika.

25. Macam-macam tipu helah dan cerita dongeng Mat Nujum serta konco-konco dia buat untuk lesapkan duit projek pisang atas angin 1MDB. Mula-mula mereka kata duit itu akan dibawa balik. Lepas itu kata kena simpan di Singapura pasal nak atasi syarat Bank Negara. Mula-mula duit tunai dolar Amerika. Lepas itu jadi sijil pelaburan. Kemudian tukar jadi unit. Akhir sekali lesap.

26. Dok tak dok, khabar dari luar negeri kata Mat Nujum terima RM2.6 bilion dalam buku bank dia. Mula-mula Mat Nujum dan budak-budak suruhan dia kata, bohong. Mereka kata fitnah. Kerja orang dengki haram zadah.
27. Tapi bila temberang mereka pecah, mereka kata duit derma Tok Arab. Kata mereka, Tok Arab itu sangat teruja dengan kerja Mat Nujum majukan Islam dan lawan pelampau agama. Ada budak-budak suruhan Mat Nujum bagi gelaran Pahlawan Islam kepada dia. Sama taraf dengan Salahuddin Al-Ayubi perwira Islam dulu kala.

27. Bila Tok Pendeta minta tunjuk Tok Arab peniaga unta yang kaya dan baik hati itu, Mat Nujum dan budak-budak suruhan dia kata rahsia. Mereka kata bukan seorang tapi beberapa. Ada yang kata mereka jumpa sendiri Tok Arab itu di Tanah Suci.

28. Banyak tak percaya. Mereka syak duit itu adalah duit projek pisang atas angin 1MDB yang Mat Nujum dan Joe Hai songlap. Pejabat Peguam Negara Switzerland syak sebanyak AS$4 bilion (kira-kira RM16 bilion) telah kena songlap.

29. Sekonyong-konyong, seorang budak suruhan Mat Nujum kata, Mat Nujum dah bagi balik RM2.08 bilion duit sedekah Tok Arab itu. Pelik sungguh. Tok Arab yang baik hati dan pemurah bagi derma (sedekah) kepada Mat Nujum untuk tegakkan agama dan majukan ekonomi orang Islam Malaysia, pasal apa Mat Nujum bagi balik pula? Tak masuk akal. Di Malaysia ni ramai lagi orang Islam yang susah.

30. Pasal apa tak guna duit sedekah Tok Arab itu bantu orang Islam yang susah atau buat projek ekonomi untuk mereka? Sebabnya duit itu bukan sedekah Raja atau Tok Syeikh Arab tapi duit projek pisang atas angin 1MDB yang Mat Nujum dan Joe Hai songlap.

31. Pengaruh Mat Nujum dalam kampung kuat. Semua dia jaga, semua dia bela. Yang ada kuasa dia bagi satu, dua juta. Yang miskin dia bagi dedak dan serdak. Jadi tak ramai berani bangkit atau angkat muka. Yang berani lawan dia ugut, dia surah polis siasat dan pecat.

32. Tapi di luar kampung, projek pisang atas angin Mat Nujum dan Joe Hai dah kena londeh. Satu dunia dah tahu rahsia kotor mereka. Dah kena siasat, duit mereka dah kena beku dan orang yang subahat pindah duit haram mereka dah kena tangkap dan bank yang pindahkan duit haram kena tutup. Seorang dah kena tuduh di mahkamah di Singapura. Singapura tahu banyak rahsia Mat Nujum. Pasal itulah dia sangat takut kepada Singapura.

33. Tahun lepas kerajaan Amerika tubuh badan penyiasat Juri Agung (Grand Jury) dan pada bulanJulai lalu, Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) kemukakan saman KARI (Kleptocracy Assets Recovery Initiative) ke atas lima orang termasuk anak tiri Perdana Menteri, Riza Shahriz Abdul Aziz, di Los Angeles untuk rampas harta yang mereka beli dengan duit yang disonglap dari 1MDB. Kleptokrasi maksudnya kerajaan yang mencuri.

34. Cerita macam mana Joe Hai pujuk Mat Nujum berniaga, macam mana mereka kelentong orang kampung, karut-marut berkenaan Tok Arab dan beban yang mereka hempap ke atas kepala rakyat jelata tak boleh sembunyi lagi. Bangkai gajah Tok Miah tak boleh dikambus lagi.

35. Angkara Mat Nujum dan Joe Hai dah sebabkan nama Malaysia busuk satu dunia. Dah jadi bahan lawak jenaka. Orang yang tahu dah tak percaya kepada kita. Kaki sapu ambil kesempatan beli harta benda kita dengan harga istimewa. Sikit demi sikit, kedaulatan dan ekonomi kita dijajah semula. Kalau kita masih tak akur, masih nak santai dan tidur, satu hari tak lama lagi negara kita akan jadi padang jarak padang tekukur. Kera di hutang terbahak kekenyangan anak di rumah menangis kelaparan.

Wallahuaklam.